SINOPSIS SLOT SAMARINDA TV3 "BAHAGIA BUKAN BIDAAN"
Apabila berbicara tentang cinta, tidak ramai yang memahami konteks sebenar cinta, atau boleh dikatakan cinta itu subjektif. Mempunyai seribu persepsi tercipta daripada seribu akal.
Namun di sebalik sesebuah kisah cinta agung, sudah tentu pelbagai kisah perlu dilalui tidak kira onak duri, arus dengki melaju deras, pengorbanan hati, riuk patah derap denyut jantung serta masa dan tenaga.
TV3 membawakan slot Samarinda, “Bahagia Bukan Bidaan” dengan barisan pelakon popular seperti Nora Danish, Dato’ Adi Putra, Zamarul Hisham, Ika Nabella.
Ia mengisahkan Hana (Nora Danish), seorang wanita berkerjaya yang juga ibu kepada dua orang anak sanggup berkorban untuk mempertahankan rumah tangga yang dibina dengan Azlan (Zamarul Hisham) selama 16 tahun.
Bukan sahaja sering tertekan dengan sikap suaminya yang suka berpoya-poya, Hana juga terpaksa menguruskan operasi bisnes yang ditubuhkan bersama Azlan.
Azlan menyerahkan segala urusan rumah tangga dan bisnes kepada Hana. Kesabaran dan maruah Hana sebagai seorang isteri dan majikan tercabar apabila Aina (Ika Nabella) muncul sebagai orang ketiga. Hana terpukul dengan pengakuan Azlan dan niatnya mahu bermadu.
Hana rasa pengorbanan dan usahanya hanyalah sia-sia. Tanpa rasa bersalah, Azlan mahu Hana memaafkannya sekali lagi demi anak-anak dan menerima keputusan untuk bermadu.
Bertahun- tahun Hana mengalami penderaan emosi kerana kecurangan suaminya dan akhirnya Hana nekad untuk bercerai. Harta, syarikat dan anak-anaknya telah dirampas oleh Azlan kerana Hana tidak bersetuju untuk rujuk semula.
Hana rasa kehilangan yang amat besar dalam hidupnya dan mula mengalami kemurungan. Nik Zachary (Dato’ Adi Putra) muncul ketika hidup Hana kucar-kacir.
Wajarkah Hana membida kasih sayang Nik apabila dia tahu ada nama lain dalam hatinya? Mampukah Hana bangkit daripada kemurungannya dan mengecapi kebahagiaan yang diidamkan?
Bahagia Bukan Bidaan merupakan drama adaptasi novel karya Hessa Widad selama 12 episod.
Eoon Shuhaini bertanggungjawab dalam mengarah siri drama ini dengan garapan yang begitu menarik di bawah terbitan Country & Universal Sdn Bhd.
Ikuti kisah Ain Farhana dalam drama adaptasi novel BAHAGIA BUKAN BIDAAN menerusi slot Samarinda, bermula 3 September, setiap hari Isnin hingga Rabu, pukul 10.00 malam.
Comments
Post a Comment