ULASAN FILEM: VALAK KEMBALI MENGGANAS DI DALAM "THE NUN"



Filem The Nun ini menyelami dengan lebih dalam ke ceruk alam “Conjuring” di mana filem-filem sebelumnya telah berjaya mencipta rekod kutipan box office di serata dunia. Empat filem sebelum ini, selain The Conjuring, adalah Annabelle, The Conjuring 2, dan Annabelle: Creation.

The Nun adalah prequel kepada The Conjuring 2, yang berlatar belakangkan tahun 1952.

Ia mengisahkan seorang pelatih biarawati, lakonan Taissa Farmiga, dan seorang paderi Katolik, lakonan Damien Bachir, yang diperintahkan oleh Vatican untuk menyiasat kes bunuh diri yang berlaku di dalam sebuah biara di pedalaman Romania.

Mereka dibantu oleh penduduk lokal bernama Frenchie, lakonan Jonas Bloquet. Di dalam biara tersebut, mereka diganggu oleh suatu entiti yang merupai biarawati.


Dari segi jalan ceritanya, The Nun tidaklah menawarkan sesuatu yang baru. Plotnya agak sama dengan filem-filem seram yang pernah anda saksikan sebelum ini, di mana penyiasat kes paranormal sendiri dihantui oleh entiti yang disiasat.

Para penonton yang membeli tiket mungkin tertarik dengan kehadiran biarawati iblis, Valak yang pernah menjelma di dalam filem The Conjuring 2. Jelmaannya yang penuh impak dalam The Conjuring 2 membuatkan penonton tidak senang duduk. Peminat-peminat francais Conjuring ini juga tidak mahu melepaskan peluang untuk melengkapkan siri tontonan mereka.

Mood filem ini adalah sangat gelap. Maklumlah, kisah berlaku di sebuah biara tua di kawasan pedalaman di mana sumber cahaya di waktu malam hanya dari lampu minyak tanah. Keadaan gelap ini digunakan sepenuhnya oleh pengarah, Corin Hardy untuk bermain dengan teknik sergah atau “jump scare” untuk menakutkan penonton sehingga ada yang menjerit-jerit.


Salah satu perbezaan yang utama dengan filem-filem dalam siri sebelum ini, The Nun tidak menampilkan elemen kekeluargaan yang menjadi teras di dalam The Conjuring 1 & 2, Annabelle, dan Annabelle: Creation.

Di penghujung filem ini, masih tidak banyak yang diketahui tentang iblis Valak. Elemen-elemen zombi ditampilkan dalam beberapa babak filem juga memberikan sesuatu yang baru kepada peminta-peminat filem ini.

Kesimpulannya, filem The Nun masih menghiburkan buat peminat-peminat filem seram. Bagi yang mengharapkan lebih banyak "back story" kepada asal-usul Valak mungkin merasa agak kecewa. Adakah ia akan terjawab di dalam filem francais ini seterusnya? 


Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM