FILEM ANIMASI BOBOIBOY MOVIE 2 DI PAWAGAM 5 NEGARA OGOS INI



BoBoiBoy Movie 2 (BBBM2) bakal menemui penonton bermula 8 Ogos ini. Majlis pelancaran filem ini yang diadakan di Battle Arena, Jaya Shopping Centre turut memaparkan poster dan trailer rasmi, serta lagu tema. 


BoBoiBoy Movie 2 merupakan filem animasi Malaysia pertama yang ditayangkan serentak di 5 buah negara. Filem animasi yang menggabungkan elemen Adiwira, Pengembaraan Sci-Fi dan Komedi ini akan ditayangkan di 500 pawagam seluruh Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Vietnam. Ini membuktikan bahawa ramai menanti kemunculan filem ini, bukan sahaja di Malaysia malah merangkumi negara-negara Asia Tenggara yang lain. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Abd Razak, “Sebagai penerbit, kami sangat gembira kerana ini merupakan kali pertama sebuah filem animasi Malaysia berjaya mendapat tayangan serentak di 5 buah negara. Sokongan daripada peminat-peminat antarabangsa sememangnya memberi semangat untuk kami lancarkan filem BoBoiBoy Movie 2 di serata Asia Tenggara.” 

Buat julung kalinya, Animonsta Studios bekerjasama dengan Astro Shaw. Ketua Kandungan Astro Shaw & Nusantara, Bahagian Perniagaan Melayu & Nusantara, Raja Jastina Arshad menyatakan bahawa mereka amat teruja untuk memasarkan BoBoiBoy Movie 2 di pawagam. Ini merupakan filem animasi pertama yang terlibat bersama Astro Shaw. “Astro mempunyai platform untuk mempromosi filem yang kuat dan menyeluruh. Di samping itu, kami merancang untuk membuat siri jelajah ke seluruh negara bagi membawa maskot BoBoiBoy dan kawan-kawan lebih dekat dengan peminat yang ingin menonton BoBoiBoy Movie 2.” Sebelum ini, Animonsta Studios dan Astro pernah bekerjasama melalui Astro Go Shop untuk mempromosikan barangan eksklusif BoBoiBoy Galaxy di www.goshop.com.my

Idea untuk BoBoiBoy Movie 2 terhasil selepas kejayaan BoBoiBoy The Movie (2016) yang berjaya mendapat kutipan RM18 juta. Berbekalkan pengalaman dari filem pertama, Animonsta Studios menjanjikan kelainan dari segi kualiti animasi dan juga visual yang bermutu tinggi. Kos keseluruhan filem ini adalah sebanyak RM7 juta, dan produksi memakan masa 12 bulan. 

BoBoiBoy Movie 2 mengisahkan tentang BoBoiBoy dan rakan-rakan yang diserang oleh Retak’ka, pengguna asal Kuasa Elemental. Retak’ka ingin merampas semula Kuasa Elemental daripada BoBoiBoy dan menggunakannya untuk menguasai galaksi. BoBoiBoy dan rakan-rakan perlu mencari cara untuk menghentikan Retak’ka dan menyelamatkan galaksi dari ancamannya. 


Penyanyi terkenal tanah air, Faizal Tahir, menyanyikan lagu tema BoBoiBoy Movie 2 yang berjudul 'Fire & Water'. Lagu tema yang sarat dengan mesej positif ini menekankan semangat percaya pada diri, dan tidak berputus asa. Kata Encik Nizam lagi, “Kami ingin menanam nilai murni menerusi BoBoiBoy Movie 2. Dengan memberikan superhero yang bersifat positif, BoBoiBoy merupakan contoh teladan yang baik untuk kanak-kanak.” Sebagai seorang penghibur versatil dan berkarisma, serta penglibatan beliau dalam misi kemanusiaan di serata dunia, pemilihan Faizal Tahir amat sesuai dengan imej BoBoiBoy. 



BoBoiBoy Movie 2 akan mulakan tayangan serentak pada 8 Ogos 2019 di 500 pawagam seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Vietnam. 

Comments

Popular posts from this blog

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

FIRETALK 2024 BY NOURUL DEPP KEMBALI SUNTIK MOTIVASI, UBAH MENTALITI

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA