KOLABORASI ASTRO DAN LES' COPAQUE PERKASA INDUSTRI ANIMASI

Astro Malaysia Holdings Berhad (‘Astro’)
dan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. (‘Les’ Copaque’) hari ini mengumumkan kolaborasi
strategik dalam segmen perkongsian kandungan, pengedaran dan pemasaran produk animasi terbitan Les'
Copaque. Usahasama ini bakal memperkasakan lagi industri animasi di pasaran
tempatan mahupun antarabangsa dengan penerokaan menyeluruh yang meliputi
kepakaran serta aset kedua-dua syarikat.
Empat produk animasi
terbitan Les' Copaque iaitu ‘Upin & Ipin’,
‘Upin & Ipin Iqra’, ‘Puteri’ dan ‘Pada Zaman Dahulu’ boleh dinikmati oleh pelanggan Astro dan NJOI di televisyen dan platform over-the-top atau OTT termasuklah
menerusi aktiviti lapangan.
Selain dari itu,
kolaborasi ini turut melibatkan penjualan barangan eksklusif di Go Shop dan penganjuran
pelbagai aktiviti menarik buat peminat setia di bawah Astro Circle.
Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Cik Putri Yasmin Megat
Zaharuddin,
berkata, “Sejak kehadiran Astro dalam
industri penyiaran lebih dua dekad yang lalu, kami sentiasa komited dan
konsisten dalam membawakan pelbagai kandungan kekeluargaan dan ilmiah yang mampu menggalakkan proses pembelajaran
kreatif buat golongan kanak-kanak dan remaja.
Seperti kita semua sedia maklum, animasi ‘Upin & Ipin’ berpaksikan
elemen pendidikan sebagai latar utama dalam setiap jalan penceritaannya, selari
dengan matlamat Astro untuk mengungguli penggunaan pendekatan alternatif dari
aspek akademik. Justeru itu,
usahasama yang dibina bersama pemegang harta intelek ‘Upin & Ipin’ ini sudah
pasti akan memperluaskan lagi tawaran kandungan sedia ada khususnya bagi segmen
pendidikan buat para pelanggan kami bukan sahaja di Malaysia, malahan di
negara-negara serantau seperti Indonesia, Singapura dan juga Brunei.
Deretan kejayaan yang berjaya dirangkul dari dalam dan luar
negara telah membuktikan penerimaan baik animasi ‘Upin & Ipin’ dalam
pasaran Asia sekaligus meletakkan Les' Copaque di liganya tersendiri dalam
industri animasi. Saya percaya dengan gabungan kepakaran dan perkongsian aset
media di antara kedua-dua syarikat, ianya bakal memberi impak yang besar dalam industri
animasi di Malaysia mahupun di luar negara, di samping mengoptimumkan pulangan
ke atas pelaburan yang dilaksanakan dalam penghasilan sesebuah karya baharu.”
Sempena
cuti persekolahan pada November 2018 ini, siri ‘Upin & Ipin’, ‘Upin
& Ipin Iqra’; siri yang memperkenalkan pembelajaran Iqra’, ‘Puteri’ dan ‘Pada Zaman
Dahulu’ dijadualkan menemui peminat di saluran Astro Ceria dan
Astro Prima. Manakala pada Mac 2019 pula, filem ‘Upin & Ipin - Keris Siamang Tunggal’ dijangka akan ke pawagam.
Pelbagai lagi perancangan jangka masa pendek dan panjang akan diumumkan kelak.
Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn. Bhd., Tuan Haji Burhanuddin
Md. Radzi, berkata, “Kerjasama antara dua
syarikat gergasi ini telah mengubah model perniagaan industri kreatif dimana
pihak penerbit akan bekerjasama dengan pihak penyiar untuk menentukan hala tuju
dan strategi perniagaan dari segi isi kandungan, pemasaran, sasar pasaran, dan
pembangunan pasaran baru. Kejayaan animasi 'Upin & Ipin' bukan sahaja
membantu dalam peningkatan industri animasi tempatan, malah membuka jalan baru
dalam kerjasama dari segi perniagaan yang mampu menjana ekonomi negara melalui
kepakaran dalam bidang masing-masing."
Astro merupakan pembekal
utama kandungan berbentuk hiburan dan kekeluargaan yang turut merangkumi segmen
pendidikan, di mana pemasaran kandungannya melangkaui skrin televisyen dengan kehadiran
platform digital yang membantu dalam memperluaskan capaian penonton ke
negara-negara serantau. Kandungan karya animasi terbitan Les' Copaque mempunyai
tarikan global dengan penerapan nilai sejagat, ditambah pula dengan pilihan Bahasa
Inggeris yang menjadikannya lebih mudah diterima oleh penonton dari pelbagai
negara dan latar belakang.
‘Upin & Ipin’ hadir di ruangan animasi tanah air pada tahun 2007 dan ia
merupakan siri animasi versi 3D yang pertama di Malaysia. Kini, ‘Upin &
Ipin’ turut menjuarai segmen digital apabila meletakkan tanda aras tinggi
sebagai saluran nombor satu di siaran YouTube Malaysia dengan memiliki 3.3 juta
pengikut dan lebih dari 2 bilion jumlah tontonan.
Kehadiran ‘Upin &
Ipin’ turut mendapat pengiktirafan di serata dunia. Karakter pasangan kembar
ini mencipta sejarah apabila menjadi watak animasi pertama diangkat sebagai
‘Duta Pelanconganan Malaysia Yang Ke-12’ sebaris dengan ikon-ikon hebat tanah
air oleh Kementerian Pelancongan Malaysia. Di Indonesia, ‘Upin & Ipin’
mencipta fenomena apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah bagi kategori
‘Kartun Yang Paling Diminati’ dan ‘Watak Kartun Yang Paling Diminati’ selama
empat tahun berturut-turut di ‘Anugerah Ibu & Anak’ bersempena sambutan
Hari Ibu di republik tersebut. Pada Mac 2018, Upin & Ipin mengungguli
kategori “Professional Fiction Under 7”
di Southeast Asia Prix Jeunesse Awards, majlis anugerah peringkat global yang
meraikan kecemerlangan kandungan segmen kanak-kanak.
Comments
Post a Comment