'LANGIT BUDAK BIRU', SEBUAH PRODUKSI BMW SHORTIES



BMW Group Malaysia telah merungkaikan ‘Langit Budak Biru’, iaitu sebuah produksi BMW Shorties terbaharu oleh Pemenang Utama BMW Shorties 2017, Lim Kean Hian.

Sepertimana filem pendeknya, ‘Never Was The Shade’ yang turut berjaya menggarap anugerah pada tahun lepas, Kean Hian sekali lagi telah memperlihatkan kebolehan beliau sebagai seorang penglipur lara dan dengan seni sinematografinya dalam ‘Langit Budak Biru’, iaitu sebuah filem pendek yang menerokai kegiatan pembulian di sekolah dan keremajaan melalui dimensi-dimensi yang kompleks dalam konteks negara Malaysia.

“Selepas memenangi geran produksi yang bernilai RM75,000 pada tahun lepas, kami berasa terdorong untuk terus meneroka tema-tema yang lebih dinamik merentasi spektrum masyarakat Malaysia sekarang. Sebagai seorang pembikin filem, saya berpendapat ia adalah mustahak untuk kita menawarkan sudut pandangan alternatif kepada penonton untuk mendekati isu-isu berkenaan yang menyelubungi persekitaran mereka, terutamanya perspektif-perspektif yang mungkin terhakis melalui debat dan wacana yang umum,” ujar Kean Hian.

Dengan dialog, lakonan dan sinematografi yang mantap, Kean Hian memberikan kilasan terhadap realiti-realiti sosial dalam filem pendek tersebut dan menawarkan ruang kepada penonton untuk menzahirkan interpretasi mereka sendiri, melalui konklusi terbuka filem ini.

‘Langit Budak Biru’ menceritakan kisah keremajaan mengenai dua budak remaja yang mengharungi liku-liku cabaran melibatkan pembulian di sekolah dan penerokaan kendiri, ketika mereka masih berada di tahap hidup mereka yang diselubungi dengan keraguan dan ketidakpastian. Dengan penampilan pelakon-pelakon muda seperti Idan Aedan dan Muhammad Hakeem Abdul Rahim, filem pendek yang dibiayai oleh BMW ini mengajak penonton untuk mendalami pergelutan emosi yang dihadapi oleh watak-watak dalam filem tersebut sambil menilai implikasi sosial dan budaya yang tercetus daripada dilema mereka.

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “BMW Shorties komited untuk menggalakkan pembikin filem yang sedang berusaha menempah nama untuk mengongsikan visi kreatif mereka melalui kisah-kisah yang dizahirkan di Malaysia. BMW Shorties berbesar hati untuk menyaksikan banyak pembikin filem yang berbakat selama ini membawa seni pembikinan filem tempatan ke aras yang baharu. Dari filem pendek tahun lepas yang bertajuk, ‘Never Was The Shade’ hingga ke filem terbaharu untuk tahun ini, ‘Langit Budak Biru’ – kejayaan Kean Hian akan terus memberi inspirasi kepada lebih banyak pembikin filem yang mempunyai aspirasi yang sama untuk tahun-tahun yang akan datang.”

Kembali untuk tahun yang ke-12, BMW Shorties 2018 bertemakan “Drive”. Setiap insan memerlukan dorongan untuk mencapai matlamat mereka. Dorongan ini merupakan sifat semula jadi dan disemarakkan lagi lebih daripada rangsangan melalui semangat semata-mata. Ia memerlukan sebuah impian. Tema tersebut bermatlamat untuk menyoroti ‘dorongan’ sebagai kualiti yang dapat mengangkat darjat seorang artis sebagai ahli seni, menjadikannya sebuah sifat yang mendefinisikan penginovasi yang sebenar.

Barisan juri pada tahun ini merangkumi nama-nama besar dalam industri perfileman tempatan, antaranya ialah veteran BMW Shorties dan pembikin filem komersial, Lina Tan; pembikin filem yang memiliki pelbagai anugerah di bawah namanya, Isazaly Mohd Isa; pembikin filem dan penulis skrip lakon layar, Nadira Ilana; pembikin filem dan penggarap anugerah, Tan Chui Mui; serta pembikin filem dan penglipur lara yang sedang giat menempah nama, Quek Shio Chuan.

Juga untuk meraikan ulang tahun yang ke-12 ini, BMW Group Malaysia telah meningkatkan jumlah geran produksi kepada RM 80,000 bagi pemenang hadiah utama BMW Shorties. Pengiktirafan untuk bakat pembikinan filem juga akan dianugerahkan melalui pelbagai kategori sokongan yang lain, termasuk Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, Suntingan Terbaik dan Rekaan Bunyi Terbaik serta Anugerah Pilihan Popular.

Pertandingan BMW Shorties masih terbuka untuk menerima penyertaan sehingga hari Jumaat, 26 Oktober 2018 bagi para peserta untuk menghantar penyertaan filem pendek mereka. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai BMW Shorties dan cara untuk menyertainya, sila layari laman web BMW Shorties di www.bmwshorties.com.my atau kunjungi laman Facebook BMW Shorties yang rasmi di www.facebook.com/bmwshorties serta laman Instagram di www.instagram.com/bmwshorties.


Comments

Popular Posts