LEBIH 1,000 SERTAI CANON PHOTOMARATHON MALAYSIA 2018



Canon PhotoMarathon Malaysia 2018 berakhir dalam suasana yang cukup meriah apabila lebih daripada seribu orang peminat fotografi dari pelbagai latar belakang berkumpul dalam pertandingan fotografi ‘secara langsung’ terbesar di Negara ini.

Sudah memasuki tahun ke-12 penganjurannya, Canon PhotoMarathon menjadi platform terbaik untuk menyerlahkan kemahiran dan kreativiti semua peserta dalam bidang fotografi selain berjaya menunjukkan minat mendalam orang ramai untuk merakam gambar.

Pertandingan yang berlangsung selama sehari itu mencabar sempadan kreativiti dan menyerlahkan teknik peserta menggunakan kamera masing-masing – sama ada kamera kompak, DSLR atau tanpa cermin. Mereka perlu merakam foto berdasarkan kepada tiga tema yang diumumkan pada masa berbeza sepanjang cabaran itu berlangsung.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon “Pertandingan ini juga berperanan mencungkil keupayaan jurufoto yang baru berjinak dalam bidang fotografi. Justeru itu, Canon berbangga untuk membantu mengasah minat dan kemahiran mereka ke satu tahap yang lebih tinggi,” kata Koh.

Juri pada tahun ini iaitu Duta Canon EOS dan jurufoto pengembaaran, Bonnie Yap; Ketua Jurufoto European Pressphoto Agency (EPA) di Malaysia Fazry Ismail, dan duta Wedding Portrait Photographers Asia, Chai Kok Leong mengakui bahawa pertandingan ini menyaksikan hasil rakaman foto yang amat mengagumkan dalam tema “Hidden” (Tersembunyi), “Beauty of Earth” (Keindahan Bumi) dan “Fragile” (Rapuh).

Menurut Bonnie Yap, “Peserta memanfaatkan sepenuhnya lokasi yang tersedia untuk menyerlahkan kreativiti mereka. Banyak penyertaan dihasilkan secara teliti bersama perspektif unik yang menggambarkan tema-tema tersebut.”

“Walaupun kreativiti keseluruhan sangat baik, kami juga melihat kepada aspek teknikal foto seperti fokus dan perhatian terhadap perincian inilah yang membezakan di antara yang terbaik dengan yang bagus. Kategori pelajar universiti menunjukkan bagaimana pentingnya kerja berpasukan dalam menggabungkan kemahiran individu untuk menghasilkan gambar yang hebat,” kata Yap.


Pemenang hadiah utama (terbaik) dalam Kategori Terbuka, Mohd Safuan Salahudin, 33, dari Kedah yang memperolehi skor keseluruhan paling tinggi dalam ketiga-tiga tema merangkul lawatan tajaan penuh ke Jepun untuk menyertai Kejohanan Canon PhotoMarathon Asia bersama-sama para pemenang dari 12 buah negara lain.

Beliau juga menerima kamera tanpa cermin Canon EOS R yang baru dilancarkan.

“Saya sangat teruja kerana akhirnya berjaya menjadi pemenang hadiah utama Canon PhotoMarathon Malaysia! Perjalanan saya dalam dunia fotografi bermula pada usia yang cukup muda kerana datuk dan ayah yang juga peminat fotografi. Ia bukan sekadar satu kerjaya, malah menjadi sebahagian besar daripada hidup yang membolehkan saya meluahkan perasaan saya sendiri.  Saya telah mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan Canon PhotoMarathon sejak tahun 2011 serta pernah memenangi tempat pertama pada tahun 2016 dan 2017. Sekarang, saya akhirnya berpeluang pergi ke Jepun untuk menyertai pertandingan di peringkatserantau. Saya tidak sabar untuk belajar daripada pakar-pakar Canon dan memanfaatkan peluang berkongsi pengetahuan serta pengalaman dengan rakan-rakan dari seluruh rantau ini,” kata Safuan.

Dalam Kategori Terbuka, Sadiq Asyraf Mohd Yusof muncul sebagai pemenang hadiah pertama. Diikuti oleh Nursanto Soeradi Somo dan Shahrizul Ahmad Shukri di tempat kedua dan ketiga. Manakala tiga pemenang lain membawa pulang hadiah saguhati.

Darren Lee Tze Huei, 18 tahun, menjuarai Kategori Pelajar. Sementara itu, Aliyah Zainab binti Asmady, 9, dan Muhammad Adam Mikhael bin Mohd Hafizan, 7, berada di tempat kedua dan ketiga. Hadiah khas dimenangi oleh Choon Pang Heong yang tampil sebagai juara dalam Kategori bonus, Rakan Acara Utama Canon PhotoMarathon 2018 iaitu Sunway City.

Selaras dengan usaha Canon untuk memberi inspirasi dan menggalakkan minat fotografi dalam kalangan generasi muda, Canon PhotoMarathon Malaysia pada tahun ini menampilkan Cabaran Inter-Varsiti buat pertama kalinya. Ia menyaksikan lebih 90 buah pasukan dari 20 institusi pengajian tinggi bersaing dalam kumpulan yang dianggotai oleh empat orang peserta.

Pasukan 1 dari Management and Science University yang dianggotai oleh Mohd Luqman Alif Bin Mohd Zubir, Aferedolenc Joris @ Satafanus, Mohd Rafiq Redzuan Bin Hamzah dan Nurul Ashikin Binti Razali membawa pulang hadiah pertama. Pasukan 1 dari Universiti Selangor yang dianggotai oleh Muhammad Ariff Bin Abu Zarin, Nurul Aiman Binti Mohd Amin, Hadir B. Hadiri dan Muhammad Shazwan Bin Shamarul Asrin di tempat kedua. Pasukan Harimau dari Sunway University yang terdiri daripada John Lee, Lim Jiahao, Niranjini Murugiah dan Puteri Iman Alya Ahmad Farizal berada di tempat ketiga.

Para pemenang juga membawa pulang pelbagai hadiah daripada para penaja termasuklah Western Digital, Viewsonic, Luminox, SanDisk, Grab, Digital Camera Magazine, Photobook Worldwide dan Herschel Supply.

Di Canon PhotoMarathon kali ini, Canon mengumumkan enam orang Duta Belia Canon EOS (EYA) yang telah berjaya melengkapkan satu siri bengkel dan program perantis Duta Canon EOS. Program Duta Belia Canon EOS (Canon EOS Youth Ambassadors atau EYA) yang dilancarkan pada Oktober 2017 dibentuk untuk menjangkau dan menggalakkan minat fotografi dalam kalangan generasi muda di Malaysia menerusi rakan sebaya mereka. Program ini akan meningkatkan lagi kemahiran dan bakat EYA dalam usaha menjadi jurufoto profesional.

“Selari dengan usaha memupuk dan menggalakkan minat dalam dunia fotografi, kami berbesar hati untuk memilih enam individu sebagai Duta Belia Canon EOS yang pertama. Mereka akan bercerita menerusi lensa masing-masing. Keenam-enam mereka ini datang dari latar belakang berbeza yang akan membawakan kepelbagaian teknik fotografi yang luas. Dari potret hingga fotografi jalanan dan dari seni bina hingga seni konseptual. Namun, apa yang lebih penting, mereka cukup bersedia untuk member inspirasi kepada jurufoto generasi baru,” kata Ketua Pengimejan Pengguna dan Maklumat Kumpulan, Jeffrey Kung.

Enam orang EYA ini bakal mewakili Canon dalam pelbagai acara dan bengkel di sekolah, di mana mereka akan berkongsi tip-tip fotografi serta pengetahuan fotografi:
• Annice Lyn, satu-satunya jurufoto wanita bertauliah dari Malaysia yang mengikuti Persatuan Luncur Ais Malaysia ke Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeong Chang, Korea di mana beliau mendokumentasikan perjalanan peluncur Olimpik negara, Julian Yee
• Barathan Amuthan,seorang penggaya rambut selebriti yang gemarkan fotografi potret, acara dan jalanan;
• Acacia Diana, seorang graduan seni bina dan pereka bentuk yang menjelajah seluruh dunia untuk merakam keindahan seni bina, landskap dan imej-imej gaya hidup serta bekerjasama dengan jenama-jenama terkenal;
• Reuben Liu Jia-Jun, seorang jurufoto acara yang terlibat dalam kerja-kerja produksi sepenuhnya untuk beberapa jenama terkenal tempatan;
• Samuel Goh, seorang jurufoto sambilan dan pembikin filem yang gemar mendokumentasikan budaya urban menerusi potret serta fotografi jalanan;
• Rhiannon K, seorang jurufoto seni konseptual halus yang gemar menghasilkan karyakarya luar nyata untuk berkongsi kisah-kisahnya.

Pemilihan edisi kedua program Duta Remaja Canon EOS (EYA) akan bermula pada 20 Oktober hingga 30 November 2018 dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berusia di antara 15 hingga 30 tahun. Mereka yang berminat perlu merakam dan memuat naik video berdurasi 2 hingga 6 minit tentang diri sendiri, menceritakan tentang pengalaman serta impian masingmasing.

Selain kenapa mereka patut dipilih dan apa yang ingin dicapai dalam program EYA ini. Para peserta perlu menghantar pautan URL video mereka dan (3) tiga hasil kerja fotografi mereka ke e-mel eosyouth@cmm.canon.com.my sebelum 30 November 2018.

Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

‘REAL MEN MALAYSIA: WIRA MERAH’- 8 SELEBRITI JALANI KEHIDUPAN SEBENAR JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA