MISTERI "7UJUH" TERBONGKAR DI PAWAGAM 8 NOVEMBER INI

Primeworks
Studios bakal menayangkan sebuah filem seram-thriller yang bertajuk 7UJUH tidak lama lagi. Filem ini merupakan
filem pertama yang diarahkan oleh Raja Mukhriz, penerima anugerah Pengarah
Harapan di Festival Filem Malaysia ke-27.
Berlatarbelakangkan zaman 70an, 7UJUH mengisahkan kisah tragik di mana tujuh orang sahabat yang mengadakan parti di sebuah rumah banglo di atas bukit. Mereka meminta Suri, anak Tok Batin yang selama ini menjaga banglo itu bersama bapanya untuk membantu mereka menghidangkan minuman kepada tetamu, namun parti bertukar liar dan sesuatu yang tidak diduga terjadi kepada Suri.
“Sokongan yang kami terima untuk 7UJUH sejak
pelancaran iklan acah dan poster filem amat memberangsangkan. Kami mengambil
kesempatan ini ingin berterima kasih kepada semua yang terlibat sepanjang
pembikinan filem 7UJUH. Primeworks Studios akan meneruskan tradisi untuk
sentiasa memberi peluang untuk pembikin filem menzahirkan bakat mereka. 7UJUH
merupakan filem pertama Raja Mukhriz, dengan barisan pelakon dan krew yang
hebat, beliau telah berjaya menghasilkan sebuah filem seram yang akan terus
menjadi bualan para penonton selepas menonton filem ini”, kata Penerbit
Eksekutif Tengku Iesta Tengku Alaudin.
Filem
ini juga dibarisi pelakon-pelakon berbakat tanahair, dengan penampilan istimewa
dua pelakon veteran. Diterajui oleh Johan As’ari sebagai Sam, Siti Saleha sebagai
Tina, Cristina Suzanne sebagai Yasmin, Aeril Zafril sebagai Ilyas, Deedee Nash
sebagai Emma, Pekin Ibrahim sebagai Mus, Riz Amin sebagai Ray dan Marsha Milan
sebagai Suri, di samping penampilan khas oleh Wan Hanafi Su dan Faizal Hussein.
Majoriti set penggambaran filem ini dirakamkan di Cameron Highlands, Pahang,
dan telah mengambil masa selama 35 hari untuk disiapkan.
“Sebagai seorang pengarah, saya akan sentiasa
gemuruh sebelum karya saya ditayangkan kepada umum. Tetapi pada masa yang sama,
saya sungguh gembira kerana akhirnya 7UJUH akan ditayangkan ketika musim ramai penonton
berkunjung ke pawagam untuk menonton filem tempatan. Kami berharap 7UJUH akan
mendapat tempat di hati mereka,” ujar Raja Mukhriz, Pengarah filem 7UJUH.
7UJUH
bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 8 November 2018. Untuk
maklumat terkini tentang 7UJUH, layari www.facebook.com/primeworks.film
Comments
Post a Comment