RAAGA & DIGI MULAKAN PENCARIAN ‘HERO YANG TIDAK DIDENDANG’
Perbuatan kecil yang dilakukan seringkali meninggalkan impak terbesar dan kebaikan yang dilakukan oleh individu-individu hebat ini acapkali tidak disedari.
Saathanai Hero-kkal, kempen yang berlangsung selama 1 tahun anjuran RAAGA dan Digi Telecommunications Sdn Bhd meraikan dan memberi penghormatan kepada rakyat Malaysia yang mengerjakan kebaikan dalam usaha memberi kehidupan yang lebih baik buat orang lain.
Pendengar setia RAAGA boleh mencalonkan mana-mana individu yang
mempunyai kisah penuh inspirasi untuk berkongsi dengan masyarakat di
www.raaga.my sebelum kempen berakhir pada 4 Januari 2019. Kisah yang paling memberi
inspirasi akan disenarai pendek dan ditemuramah di segmen Kalakkal Kaalai RAAGA
oleh penyampai RAAGA, Anantha dan Uthaya.
Subramanian Veerasamy,
Pengurus Kandungan RAAGA berkata, "Kami sangat
kagum dengan kebaikan rakyat Malaysia yang telah mendedikasikan hidup mereka
untuk membantu masyarakat yang memerlukan. Kami berharap dengan memaparkan kisah-kisah
mereka di radio, RAAGA dapat terus menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjadi individu
yang lebih baik. Dengan kerjasama dengan Digi, kami berharap dapat memberikan
lebih banyak cerita yang memberi inspirasi kepada 1.29 juta pendengar kami, menerusi
kandungan yang dibawakan di semua platform yang kami ada."
Rajeeswaran Vengadasalam, Ketua
Segmen Pengaktifan & Penajaan Digi berkata,
"Menjadi individu yang memberi inspirasi merupakan antara budaya kerja
kami di Digi. Kami digalakkan untuk menjadi sumber inspirasi kepada orang-orang
di sekeliling, bukan sahaja di tempat kerja tetapi juga dalam kehidupan
peribadi. Inilah yang kami mahukan ketika kami memulakan kerjasama dengan RAAGA
iaitu mencari individu yang mempunyai kisah mengagumkan mengenai kebaikan yang
dilakukan tanpa meminta apa-apa balasan. Kami berharap lebih ramai rakyat
Malaysia akan mendapat inspirasi menerusi kisah-kisah individu lain yang jarang
diperkatakan, dan mendapat idea bagaimana mereka dapat membantu membawa
perubahan yang lebih baik kepada komuniti masing-masing."
Sejak Saathanai Hero-kkal dilancarkan pada bulan Jun 2018, tujuh
individu telah dipilih untuk dipaparkan dalam segmen RAAGA Kalakkal Kaalai.
Antara individu yang terpilih ialah 'Doktor Teddy Bear' Dr S.
Madhusudhan, yang telah menyediakan rawatan perubatan percuma untuk mereka yang
tiada tempat tinggal dan tidak mampu membeli keperluan asas perubatan; Pengasas
dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Everest, Dato 'Sri Andy, yang membantu
mangsa Taufan Haiyan dan menyediakan penghantaran barangan secara percuma
kepada badan amal yang terpilih; serta Pengasas Persatuan Yoga Malaysia, Guru
Manisekaran, yang menjalankan bengkel dan kelas yoga untuk kanak-kanak kurang
bernasib baik.
Saathanai Hero-kkal juga turut memaparkan kisah Shalini, seorang individu yang penuh bersemangat membantu mereka
yang memerlukan dengan menjalankan inisiatif kitar semula dan mendermakan wang
yang berjaya diperoleh kepada pesakit kanser; Jacob Isaac, tidak terhad oleh ketidakupayaan fizikalnya, beliau
menyumbang sebahagian pendapatannya kepada beberapa sekolah Tamil; Mahendran, pemilik refleksologi yang
telah kehilangan penglihatannya namun masih mementingkan kebajikan orang lain
terlebih dahulu dengan membuat kerja amal membantu orang buta; dan, Puspa Rani, ketua organisasi bukan
kerajaan, Penyelamat Haiwan Bebas Malaysia (MIAR) yang menyelamatkan
binatang-binatang yang didera.
Untuk maklumat lanjut mengenai Saathanai Hero-kkal dan RAAGA, layari
www.raaga.my.
Comments
Post a Comment