SELEPAS ‘BUNGA’ ARA BERIKAN ‘PAKU’ KEPADA PEMINAT



Biarpun muncul di arena seni tempatan pada usia yang agak muda, pemilik nama Nurfarrah Izzatie Johari atau lebih mesra dipanggil Ara Johari di kalangan peminatnya tidak pernah mengenal erti penat untuk memberikan yang terbaik. Bekas peserta AF Megastar dan finalis Akademi Fantasia 2016 ini kembali memeriahkan industri muzik tanah air dengan sebuah lagi lagu terbaru berjudul ‘Paku’.


Selepas berjaya mencuri perhatian peminat muzik Malaysia dan mencipta fenomena dengan dua buah singlenya terdahulu iaitu ‘Warkah Untukku’ dan juga ‘Bunga’, kali ini Ara tampil dengan mempertaruhkan sebuah lagu yang dicipta oleh Kadok dan Tukang Musik manakala liriknya dinukil sendiri oleh Ara serta Shasha K.

Lagu ‘Paku’ ini mengisahkan perasaan cinta seorang lelaki yang terpendam terhadap pasangannya. Si lelaki tersebut sanggup menunggu bertahun lama dan tetap berusaha untuk menambat hati perempuan tersebut. Berkat doa dan kesabaran, akhirnya mereka bersatu dan membina mahligai bersama.

Menurut Feros, Ketua Label Muzik, Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.,

“Ara merupakan seorang penyanyi muda wanita yang berbakat besar. Kehebatan vocal beliau tidak perlu lagi dipersoalkan. Kita boleh lihat menerusi dua singlenya sebelum ini yang berjaya menaikkan nama Ara Johari sendiri. Jadi, saya berharap ‘Paku’ bakal mengulangi kejayaan dua buah lagunya yang terdahulu.”



Single ‘Paku’ ini diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. dan bakal menemui peminat-peminat di corong-corong radio seluruh Malaysia tidak lama lagi. Selain itu, muzik video rasmi ‘Paku’ juga akan mulai berada di saluran YouTube Rocketfuel Network bermula pada 19 Oktober 2018.

Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.


Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING