SINOPSIS DRAMA NTV7 "DIAN" LAKONAN ELIZAD SHARIFUDDIN

Selepas
10 tahun meringkuk dalam penjara, Dian akhirnya dibebaskan apabila tempoh
hukumannya telah tamat. Kini, Dian ingin memulakan kehidupan yang baharu, namun
dia juga mempunyai beberapa misi yang perlu diselesaikan...
Mula bersiaran di ntv7 pada 28 November, drama
‘Dian’ menampilkan pelakon jelita Elizad Sharifuddin sebagai watak utama
yang terpaksa mengharungi pelbagai panca roba dan halangan dalam hidup. Sebuah
karya arahan Kyoll Hamzah terbitan A-10 Alliance Sdn. Bhd., drama ini pastinya akan menyentuh
jiwa serta emosi para penonton. Lebih menarik lagi, barisan pelakon hebat
seperti Qi Razali, Erra Fazira, Yasmin
Hani, Tony Eusoff, Mimi Lana dan ramai lagi turut terlibat untuk menjayakan
drama siri ini.
Drama 20
episod ini memaparkan kisah seorang wanita bernama Dian, yang berhasrat
untuk berkahwin dengan pilihan hatinya iaitu Hisham (Qi Razali) tetapi mendapat tentangan oleh ibunya, Yon Aishah (Fazlina Ahmad Daud). Sebenarnya, ibu
Dian sudah merancang untuk mengahwinkan anak perempuannya itu dengan Faris (Tony Eusoff) yang merupakan seorang
doktor yang berjaya, Tapi apakan daya, Dian keras kepala dan tetap berpegang teguh dengan pilihannya.
Dian dan Hisham telah dikurniakan dengan
dua orang anak iaitu Fiqa (Mimi Lana)
dan Aiman (Izzy Reef Izzu) selepas
mereka mendirikan rumahtangga. Dian tidak sangka bahawa Hisham ialah seorang
kaki judi dan suka membazir masa dan wang di kelab-kelab judi setiap malam.
Ketagihan berjudi Hisham semakin menjadi-jadi sehingga Dian terpaksa memilih
cara alternatif untuk memberi wang kepada suaminya itu.
Suatu hari, Hisham bertengkar besar dengan
Dian setelah Dian sudah tidak dapat bertahan dengan perangai buruk suaminya
itu. Dalam pergelutan, Hisham tertikam dan Dian pula dipenjarakan selama 10
tahun atas cubaan untuk membunuh serta mencederakan suaminya sendiri.
Ketika Dian meringkuk dalam penjara,
Hisham telah mengambil kesempatan untuk berkahwin dengan Nisa (Yasmin Hani). Nisa terpaksa menjadi
ibu tiri kepada Fiqa dan Aiman walaupun dia sebenarnya benci mereka berdua.
Tabiat buruk Hisham yang obses dengan judi itu masih belum dapat dibuang, dia
masih kerap membuang masa di kelab judi.
Siapa sangka walaupun sudah berbini dua,
Hisham berkahwin pula dengan Eva Raisya (Erra
Fazira). Malangnya, Eva tidak tahu bahawa Hisham hanya ingin mengambil
kesempatan terhadap kekayaannya.
Masa berlalu dengan pantas sekali. Pejam
celik, sudah 10 tahun Dian dipenjarakan. Selepas dibebaskan, Dian mempunyai
misi untuk mencari kedua-dua anaknya semula. Hisham yang gila talak pula ingin
memenangi hati Dian kembali setelah mengetahui bahawa Dian kini sudah bebas.
Pelbagai kejadian telah berlaku ketika
Dian cuba untuk menjejaki anak-anaknya semula. Adakah Dian cukup tabah untuk
mengharungi segala ujian yang menimpa hidupnya ini? Inginkah Dian maafkan
Hisham dan pulang semula ke pangkuan suaminya itu? Jangan ketinggalan untuk
menonton drama Dian, setiap hari Isnin
hingga Jumaat, pukul 8.30 malam, hanya di ntv7! Ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, YouTube, Instagram ntv7 iaitu
@ntv7malaysia, dan juga Instagram
rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.
Comments
Post a Comment