DEMAM "PETTA" DIHANGATKAN LAGI DENGAN LAGU "ULLALA"



Dua penyanyi nasyid tempatan diberi peluang menyanyikan lagu Tamil bertajuk ‘Ullala’ dari filem ‘Petta’, filem terbaru lakonan lagenda filem Tamil, Rajinikanth, yang akan digunakan untuk video promosi filem terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation (syarikat pemegang hak pengedaran filem itu untuk seluruh dunia kecuali India), Datuk Abdul Malik Dasthigeer, berkata lagu dinyanyikan Mu’adz Dzulkefly dan Azwan Ibrahim itu akan digunakan untuk klip video bagi mempromosikan filem itu di negara-negara Asean.​​​​​​​

“Filem yang akan ditayangkan 10 Januari ini sempena perayaan ‘Ponggal’ adalah kerjasama pertama Rajinikanth dengan pengarah muda, Karthik Subbaraj, dengan barisan pelakon termasuk pelakon Bollywood Nawazuddin Siddiqui, Vijay Sethupathi, Simran, Trisha dan Bobby Simha”, katanya pada pelancaran album nyanyian Mu’adz dan Azwan di sini, baru-baru ini.

Terdapat desas-desus yang menyatakan filem itu adalah filem terakhir SuperStar Kollywood itu sebelum beliau secara rasminya menyertai bidang politik.

Abdul Malik berkata Petta, yang bermaksud tempat tinggal, dijadual akan ditayangkan di 140 pawagam di seluruh negara dalam tiga bahasa iaitu Tamil, Hindi dan Telugu.

Abdul Malik berkata lagu nyanyain Mu’adz dan Azwan itu akan dihantar untuk diperdengarkan kepada Rajinikanth esok. ​​​​​​​Penyanyi lagu itu di dalam filem Petta ialah Nakash Aziz dan Inno Genga.

Sementara itu, Mu’adz memberitahu Bernama walaupun beliau pernah menyanyikan lagu Tamil sebelum ini, peluang menyanyikan lagu ‘Ullala’ disifatkan sebagai pengiktirafan buat dirinya.

“Kami mengambil masa lima hari untuk merakamkan lagu ini. Cabaran utama adalah sebutan dan ekspresi yang perlu diluahkan mengikut maksud perkataan selain mengejar masa untuk berlatih,” katanya.

Mereka dilatih komposer dan penulis lirik serta skrip popular tanah air, Kavilnayagan Yuwaji sementara Saran Z bertindak selaku pengarah bagi projek lagu itu.

Mu’adz dan Azwan pernah berganding bahu menyanyikan lagu Tamil tempatan bertajuk ‘Azhagu’ pada 2014 menerusi kumpulan SALAAM.​​​​​​​

​​​​​​​Azwan berkata beliau adalah peminat Rajinikanth dan ia menjadi antara motivasi untuknya bersetuju menyanyikan lagu yang digubah komposer muzik terkenal India, Anirudh Ravichander itu.

Mu’adz adalah penyanyi solo nasyid yang pernah menerbitkan album ‘Rindukan Cahaya’ pada 2013, manakala Azwan pula adalah ahli kumpulan nasyid ‘Fareast’ dan sudah menghasilkan lapan album setakat ini.



Petta, filem Tamil lakonan superstar India itu akan ditayangkan di seluruh dunia secara serentak pada 10 Januari ini.




Comments

Popular posts from this blog

THE EXPERTS - FILEM AKSI HEIST YANG DINANTIKAN 2024, TAMPILKAN BARISAN PELAKON HEBAT TANAH AIR

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!