MEMBINA KEHIDUPAN LEBIH BAIK MENERUSI KECANTIKAN
Program Beauty For a Better Life L'Oréal Malaysia bertujuan untuk memberi kursus mendandan rambut dan penjagaan kecantikan profesional kepada gadis-gadis kurang bernasib baik tanpa mengenakan sebarang bayaran. Pada tahun ini, seramai 22 orang gadis telah lulus dari program ini selepas menjalani latihan selama 12 bulan.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) melalui Pusat Peluang Latihan Vokasional YWCA dan dengan sokongan Yayasan L'Oréal mempunyai cita-cita untuk mendidik gadis-gadis yang tidak mendapat akses kepada pendidikan dengan kursus mendandan rambut dan penjagaan kecantikan yang diiktiraf untuk membantu mereka membina kehidupan yang lebih baik untuk diri sendiri.
Program Beauty For a Better Life dikendalikan oleh para profesional kecantikan yang berkelayakan tinggi untuk memastikan setiap pelatih mempunyai kemahiran yang mereka perlukan untuk memulakan kerjaya mereka dalam bidang penjagaan rambut dan kecantikan.
Sejak program bermula pada tahun 2016 di Malaysia, seramai 51 orang pelajar telah menamatkan latihan mereka yang merangkumi peluang-peluang dalam latihan sambil belajar di pusat-pusat dandanan rambut dan kecantikan profesional di Kuala Lumpur.
Yayasan L'Oréal mempunyai cita-cita untuk mendidik gadis tanpa akses kepada pendidikan dengan kursus pensijilan kecantikan dan dandanan rambut yang diiktiraf untuk membantu mereka membina kerjaya mereka sendiri untuk kehidupan yang lebih baik. Program ini kini dijalankan di lebih dari 20 buah negara di seluruh dunia dengan lebih daripada 30 rakan kongsi utama dan telah memberi manfaat kepada lebih daripada 4300 penerima di seluruh dunia.
L'Oréal Malaysia telah memilih untuk bekerjasama dengan NCWO dalam program ini kerana selama ini mereka telah memainkan peranan penting dalam memacu perkembangan wanita di Malaysia menerusi semua rakan sekutu sejak penubuhannya pada tahun 1962.
Melalui perkongsian dengan NCWO, L'Oréal Malaysia menaja kursus dandanan rambut dan penjagaan kecantikan profesional yang dijalankan oleh Pusat Peluang Latihan Vokasional (VTOC) YWCA. VTOC telah menjadi perintis dalam menyediakan latihan vokasional dan kemahiran untuk wanita muda dari masyarakat yang kurang bernasib baik sejak tahun 1998 dan sejak itu telah melatih 1,594 orang gadis dalam pelbagai kemahiran yang dapat memberikan mereka peluang pekerjaan.
“Teras utama visi NCWO adalah kemajuan wanita di Malaysia. Program Beauty For a Better Life L'Oréal Malaysia menambah nilai kepada visi NCWO. Program latihan kemahiran mereka memperkasakan para wanita dengan membina keupayaan diri dan membolehkan mereka berdikari selain meningkatkan kehidupan keluarga dan masyarakat,” kata Puan Omna Sreeni-Ong, Setiausaha Agung Kehormat, NCWO.
“Pujian wajar diberikan kepada YWCA KL yang telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan VTOC dua puluh tahun lalu untuk memberikan kemahiran keusahawanan kepada wanita muda dan gadis-gadis daripada kumpulan masyarakat yang kurang bernasib baik di negara kita. Projek ini menyokong usaha Kerajaan untuk menyediakan latihan vokasional kepada masyarakat yang terpinggir di negara kita, ” kata YB Puan Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat.
Sebagai sebahagian daripada perkongsian, komitmen L'Oréal Malaysia termasuklah mengubahsuai studio dandanan rambut dengan peralatan terkini untuk keselesaan dan kemudahan pelatih dan memberikan kemahiran kepada jurulatih VTOC dengan teknik dan produk terkini oleh L'Oréal Professional. Duta Artistik Profesional L'Oréal turut dijemput untuk memberikan tunjuk ajar dan inspirasi kepada pelatih semasa program latihan.
“Penajaan L'Oréal Malaysia sememangnya menambah nilai kepada program dandanan rambut dan kecantikan yang ada sekarang. Mereka telah mengubahsuai dan melengkapkan studio dandanan rambut yang baharu dan telah menyediakan latihan tambahan untuk meningkatkan kurikulum kami yang akhirnya memberi manfaat kepada semua pelatih dan memastikan mereka mencapai tahap profesionalisme yang diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik apabila tamat kursus,” Puan June Yeoh, Pengerusi VTOC YWCA menambah.
Selepas program selama 12 bulan, 22 orang peserta program Beauty For A Better Life 2018 berjaya menamatkan kursus dalam satu majlis meriah yang diadakan di Majlis Olimpik Malaysia dengan dihadiri para pengajar dan ahli keluarga para peserta. Semua 22 orang graduan turut diberikan sijil masing-masing pada majlis tersebut. Mereka kini bersedia untuk mencapai cita-cita dalam industri kecantikan dan masa depan yang lebih cerah untuk diri mereka sendiri.
Anugerah Pelajar Terbaik telah dimenangi oleh Slyvia Lyn Francis dari Kuala Lumpur. Beliau mengucapkan terima kasih kepada L'Oreal dan VTOC atas peluang yang diberikan dan menyatakan bahawa dia bersedia menghadapi masa depan dengan lebih yakin.
"Sepanjang satu tahun latihan, kami diberi peluang untuk menghadiri Pameran Rambut dan Kecantikan Antarabangsa untuk memperluas minda kami, selain memberi gambaran yang lebih jelas tentang standard rambut yang digemari di peringkat antarabangsa! Kami sedar peluang ini diberikan kepada kami kerana kepercayaan korporat L'Oreal terhadap kecantikan dengan tujuan, dan itu adalah untuk kehidupan yang lebih baik; serta slogan VTOC Y.W.C.A. iaitu “Memperkasa Wanita Muda”. Kami sememangnya mendapat inspirasi dan kekuatan untuk menghadapi dunia,” kata Slyvia.
Perniagaan dandanan rambut merupakan sebuah industri dinamik di mana peluang pekerjaan sangat besar dan pendandan rambut yang baik dianggap sebagai aset yang berharga. Terdapat permintaan tinggi untuk pelatih dandanan rambut yang mahir apabila industri berkembang.
“Dengan permintaan yang tinggi dalam industri ini, kami berharap para wanita muda ini dapat memperoleh pekerjaan dan memulakan kerjaya mereka dalam bidang kecantikan,” kata Zaireen Ibrahim, Pengarah Komunikasi Korporat, L'Oréal Malaysia.
“Kami di L'Oréal percaya bahawa kecantikan menyumbang kepada perasaan yang lebih baik dan kehidupan yang lebih ceria. Program Beauty For a Better Life dimulakan untuk membantu wanita muda yang kurang bernasib baik untuk mendapatkan kembali maruah, semangat kehidupan dan kewanitaan mereka serta mengintegrasikan semula ke dalam masyarakat,” jelas Malek Bekdache, Pengarah Urusan, L'Oréal Malaysia dan Singapura.
Comments
Post a Comment