KELUARGA ISKANDAR THE MOVIE BAKAL MULAKAN PENGGAMBARAN



KL Motion Pictures telah mengumumkan hari ini bahawa syarikat produksi mereka bakal menerbitkan adaptasi siri televisyen popular, Keluarga Iskandar The Movie. Berita gembira ini diumumkan oleh penerbit KL Motion Pictures Company, En. Jamaluddin Karim dalam ucapan beliau di majlis Pelancaran Keluarga Iskandar The Movie yang diadakan di Platinum Lounge, MMCineplexes ECurve, Mutiara Damansara. 

Keluarga Iskandar merupakan sebuah drama komedi bersiri tentang kehidupan seharian keluarga arwah Haji Iskandar yang terdiri daripada Mak Jah dan lima orang anaknya serta keluarga masing-masing. Menggunakan pendekatan mockumentary ala siri televisyen antarabangsa ‘The Modern Family’, siri ini berkisar tentang keluarga sederhana dalam masyarakat Malaysia moden di Johor Bahru.

Sewaktu Keluarga Iskandar memulakan musim pertama pada tahun 2012 di Astro Prima yang baru mula beroperasi, stesen televisyen itu hanya mensasarkan jumlah penonton yang sedikit. Kemunculan Mak Jah dan keluarga besarnya dalam paparan isu-isu kekeluargaan yang mudah difahami dan diselami oleh penonton serta gelagat yang bersahaja disebalik dialog-dialog santai dan lucu, menjadikan Keluarga Iskandar sebuah nama keluarga terbesar di Malaysia. 


Kekuatan Keluarga Iskandar diuji sekali lagi apabila pihak Astro memindahkan tayangan musim kedua drama komedi bersiri tersebut ke saluran berbayar, Astro Warna yang baru mula beroperasi pada tahun 2014. Keluarga Iskandar menjadi sebuah drama bersiri keluarga paling berpengaruh bagi saluran berbayar bagi musim kedua sekaligus melayakkan Keluarga Iskandar menjadi Siri Televisyen Komedi Terbaik bagi Anugerah Lawak Warna selama dua tahun berturut-turut.

Penghasilan Keluarga Iskandar The Movie ini turut disokong penuh oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang bertanggungjawab merancang, mempromosi dan memudahcara pembangunan Iskandar Malaysia yang terletak di selatan tanah air. 

"Sektor kreatif adalah salah satu daripada sembilan (9) sektor utama yang menjadi fokus dalam pembangunan di Iskandar Malaysia, terutamanya dalam membangunkan dan meningkatkan bakat dan industri kreatif di wilayah ini. Dengan adanya kerjasama ini, ia akan memberi peluang dan manfaat kepada bakat kreatif tempatan di Iskandar Malaysia untuk mendapat pendedahan dan pengalaman dalam proses rakaman filem, " kata Datuk Ismail Ibrahim, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA).


Selain itu, rakan-rakan strategik Iskandar Malaysia seperti Pinewood Iskandar Malaysia Studios (PIMS) dan Fakulti Seni Sinematik, Universiti Multimedia (MMU) turut menyumbang kepada pembangunan industri dan pertumbuhan bakat kreatif tempatan. Sebagai contoh, semasa penggambaran siri 'Marco Polo’ di Pinewood, bakat kreatif tempatan turut terlibat di dalam penerbitan siri itu.

"Kerjasama yang diberikan untuk 'Keluarga Iskandar' ini telah dimeterai sejak penerbitan awal siri drama ini pada tahun 2013 dan 2015. Bagi Keluarga Iskandar The Movie, kira-kira 70 peratus penggambaran Keluarga Iskandar The Movie akan dijalankan di sekitar Iskandar Malaysia seperti Kota Iskandar, pusat bandaraya Johor Bahru LEGOLAND Malaysia, Sanrio Hello Kitty Town, dan Kampung Kong Kong, Masai.

“Justeru, adalah hasrat kami untuk memaparkan tempat-tempat menarik hasil daripada pembangunan pesat di Iskandar Malaysia yang sekaligus dapat menjadikan Iskandar Malaysia sebagai sebuah Metropolis yang Kukuh dan Mampan Bertaraf Antarabangsa, " tambah Datuk Ismail.


Datuk Ismail juga menjelaskan bahawa sokongan ke atas Keluarga Iskandar The Movie adalah dalam bentuk in-kind, di mana IRDA membantu mencadang dan menyediakan lokasi untuk penggambaran Keluarga Iskandar The Movie dan bekerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan di sekitar wilayah ini untuk mendapatkan sokongan mereka semasa penggambaran nanti.



Di majlis pelancaran tersebut, Wan Hasliza Wan Zainuddin, produser eksekutif yang juga memikulkan tanggungjawab sebagai pengarah Keluarga Iskandar The Movie telah memperkenalkan barisan pelakon yang bakal membintangi Keluarga Iskandar The Movie yang sebahagian besarnya terdiri daripada pelakon-pelakon asal siri kegemaran ramai itu.

Antara pelakon yang diperkenalkan dan hadir di majlis pelancaran Keluarga Iskandar The Movie adalah Kismah Johar, Hilal Azman, Zain Hamid, Anita Baharom, Sobri Anuar, Hiera Hassan, Azhar Sulaiman, Iz Ilham, Khaireesya Kemal, Raja Ema, Wan Rania Humairah, Mustaqim Mohamed dan Wan Adam Danish. Turut hadir adalah Ajak Shiro yang bakal membuat penampilan khas di dalam Keluarga Iskandar The Movie.


Menurut Wan Hasliza, pihak KL Motion Pictures amat berterima kasih kepada pihak Astro kerana memberi kebenaran untuk menerbitkan Keluarga Iskandar The Movie kerana peminat-peminat siri televisyen popular itu sudah menuntut agar terdapat kesinambungan cerita keluarga ini kerana di penghujung musim kedua siri Keluarga Iskandar terdapat beberapa adegan yang sengaja digantung kesudahannya membuatkan ramai penonton teruja untuk mengetahui penghabisan kisah keluarga ini. Keluarga Iskandar The Movie bakal memulakan penggambaran minggu hadapan dan KL Motion Pictures menjangkakan akan dapat disiapkan untuk tayangan pada bulan September nanti.

Untuk informasi lanjut mengenai Keluarga Iskandar The Movie, layari laman rasmi www.keluargaiskandar.com atau ikuti akaun Facebook, Twitter dan Instagram @keluagaiskandar dan hashtag #keluargaiskandarthemovie.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING