ANDI BERNADEE TAMPIL DENGAN SINGLE KE-4 "DONDE"



Penyanyi remaja Andi Bernadee yang semakin mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan kini tampil dengan single keempatnya “Donde”. Taruhan terbarunya ini bakal mengukuhkan lagi tempat penyanyi ini sebagai satu-satunya penyanyi lelaki generasi baharu dalam barisan pelapis pejuang muzik urban di arena muzik arus perdana Malaysia.

Andi Bernadee atau mesra disapa Andi memulakan kerjaya seninya pada tahun 2017 dengan balada ‘Tiada Lagi Maaf’. Percubaan Andi dalam membawakan irama muzik urban apabila Andi diberikan kepercayaan oleh penyanyi rap terkenal Indonesia, Roy Ricardo untuk merakam semula lagu hits rapper tersebut, ‘Semalem Sahur Dimana’ pada bulan Ramadhan tahun lalu.

Kecenderungannya dalam membawakan irama muzik urban seperti hip hop, EDM dan seumpamanya, Andi kemudiannya muncul pula dengan single ketiganya ‘Satu Peluang’ yang turut membawa konsep muzik urban. ‘Satu Peluang’ mendapat sambutan luar biasa peminat muzik tempatan apabila video muzik rasminya yang di muatnaik di saluran Youtube Warner Music Malaysia sudah mencapai lebih 14 juta tontonan.

Populariti mendadak yang diterimanya itu telah melayakkan Andi tercalon dalam kategori ‘Artis Baharu MeleTOP’ dalam Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME2019) yang bakal berlangsung pada pada 21 April depan.

Menerusi “Donde”, Andi sekali lagi bekerjasama dengan rapper dan penerbit tersohor, Alif yang juga bertindak sebagai komposer, penulis lirik dan penerbit rakaman lagu ini. Lagu ini turut menyuntik elemen muzik latin dalam susunan muziknya.

Penggunaan muzik latin ini seiring dengan penggunaan istilah ‘donde’ yang membawa maksud ‘di mana’ dalam Bahasa Sepanyol, sekaligus bertepatan dengan tema pencarian dalam lagu ini. Andi yang sebelum ini masih tercari-cari hala tuju muziknya kini tampak semakin selesa membawakan konsep muzik urban dalam “Donde”. Andi mengharapkan agar “Donde” dapat menaikkan profilnya sebagai penyanyi muzik urban dan sekali lagi diterima baik oleh peminat muzik tempatan.


Single “Donde” terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 29 MAC 2019.

IKUTI PERKEMBANGAN LANJUT ANDI BERNADEE DI MEDIA SOSIAL

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!