FESTIVAL GAMELAN ISTANA BUDAYA 25-27 MAC 2019



Istana Budaya mengumumkan festival gamelan pertama mereka - “Festival Gamelan Istana Budaya 2019” bakal diadakan mulai 25hb sehingga 27hb Mac di Lambang Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Pihak Istana Budaya telah lama merancang untuk mengadakan festival gamelan ini setelah Pertandingan Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan tidak lagi diadakan sejak tahun 2017 dan juga berkurangnya program-program yang berkaitan, namun menanti masa yang sesuai untuk mengembalikan festival ini dan kini bakal dilangsungkan tidak lama lagi. Bagi konsep festival kali ini, selain lagu-lagu tradisional yang tidak asing lagi dengan irama Gamelan Melayu, pihak pengurusan festival juga mewajibkan untuk setiap kumpulan membawakan satu gubahan lagu kontemporari. Bukan sahaja untuk menarik minat orang ramai, tetapi juga untuk menunjukkan bahawa alatan Gamelan Melayu juga mampu disesuaikan dengan lagu-lagu serta alatan moden terkini.

Menurut Cikgu Ku Zahir Ku Ahmad selaku Penasihat FesGIB19 “Keputusan Istana Budaya untuk mengembalikan festival gamelan ini amatlah dihargai kerana kita ingin menunjukkan tentang seni warisan kita kepada semua rakyat Malaysia terutama sekali anak-anak muda supaya seni tidak hilang luput ditelan zaman. Pemilihan lokasi Istana Budaya adalah amat sesuai dengan konsep festival kali ini selain pentas, sistem bunyi dan penataan cahaya yang baru dinaik-taraf, suasana eksklusif di Istana Budaya juga akan memberi keselesaan kepada penonton bagi menghayati setiap bait irama gamelan ini. Sebanyak 7 buah pasukan bakal mengambil alih pentas ini bagi menunjukkan kehebatan dan keunikan masing-masing dan saya yakin setiap antara mereka mempunyai kelebihan tersendiri.”

Menurut Cikgu Ku Zahir lagi, selain daripada wakil Istana Budaya sendiri, antara pasukan yang akan menyertai festival kali ini adalah daripada Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan juga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Selama tiga hari festival ini dijalankan, penonton bukan sahaja bakal dihiburkan dengan persembahan daripada setiap pasukan tersebut malah mereka juga boleh turut sama menghadiri satu bengkel berbentuk bual bicara yang membincangkan tentang seni Gamelan Melayu oleh salah seorang penggiat utama seni Gamelan Melayu. Beliau akan berkongsi lebih mendalam mengenai asal usul serta sejarah mengenai alat muzik ini melalui pengalaman beliau menuntut ilmu Gamelan Melayu di Istana Kolam, antara tempat bermulanya berkembang seni Gamelan Melayu. 



Sebarang pertanyaan tentang pembelian tiket dari harga RM10 sehingga RM20 (termasuk SST) boleh dibuat melalui talian 012-9852609 (Rafiq).





Comments

Popular posts from this blog

ANTA MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN SUMBANGAN KASUT SEMPENA RAMADAN

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA