KONSERT ULANGTAHUN KE-7 LAZADA TAMPILKAN DUA LIPA



Syarikat e-Dagang terkemuka Asia Tenggara, Lazada, hari ini mengumumkan barisan bintang-bintang terkenal bagi konsert “Super Party” yang julung kali diadakan. Konsert ini akan distrimkan secara langsung menerusi aplikasi Lazada secara serentak merentas enam pasaran di rantau ini, sempena sambutan Hari Jadi ketujuhnya.

Lazada Super Party tersebut dibintangi pemenang Anugerah Grammy dan Brit dari negara Britain, Dua Lipa, yang popular dengan singles beliau yang menerajui carta seperti New Rules, IDGAF dan One Kiss. Berusia 23 tahun, Dua Lipa merupakan artis muzik wanita termuda yang pernah mencecah tontonan berjumlah 1 bilion di platform video.


Turut berkongsi pentas ialah bintang-bintang terkenal di Asia Tenggara, termasuk penyanyi berbilang platinum dan pelakon Indonesia yang masyhur, Agnes Mo; penghibur paling sensasi Filipina, Nadine Lustre dan Sam Concepcion; serta juara ‘The Remix Contest 2015’ dan pembimbing ‘The Voice Vietnam 2017’, Dong Nhi. 

Konsert tersebut, yang terbuka kepada tetamu undangan dan para peminat Lazada, akan diadakan di Jakarta, Indonesia, pada 26 Mac, 8pm (masa Jakarta) di Pameran Konvensyen Indonesia (Indonesia Convention Exhibition). Para pengguna di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam juga boleh mengikuti semua aksi, yang akan distrimkan secara langsung menerusi aplikasi Lazada masing-masing. 

Melalui pengalaman konsert yang pertama seumpamanya merentas Asia Tenggara, Lazada kini menggabungkan beli-belah dengan hiburan, sekali gus membawa sebuah era baharu ‘shoppertainment’. Ketika melayari aplikasi Lazada, pembeli juga dapat menonton penstriman langsung sambil menikmati hiburan. 

“Kami ingin melangkaui batasan pengalaman beli-belah serta menawarkan detik-detik bermakna untuk diraikan dan diingati kepada pengguna dan peminat kami, menerusi keupayaan penstriman langsung dalam aplikasi Lazada. Tentunya tiada cara yang lebih baik daripada meraikan Hari Jadi ke-7 kami bersama dengan para peminat Lazada, Dua Lipa, dan artis-artis serantau yang paling berbakat di konsert tersebut dan juga melalui aplikasi kami,” jelas Mary Zhou, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Lazada. 

Mary Zhou menambah, “Kami sentiasa memberi tumpuan terhadap usaha memperkenalkan pengalaman baharu bagi para pengguna Lazada. Dengan sokongan teknologi dan infrastruktur Alibaba, kami amat teruja untuk menggabungkan infrastruktur teknologi dan kepakaran Lazada dalam mencipta perubahan besar terhadap cara kami dan para peniaga berinteraksi dengan para pengguna melalui aplikasi Lazada, pada tahap yang belum pernah dilakukan sebelum ini.” 

Turut mengisi barisan bintang tersebut ialah pemenang Anugerah Juara Lagu 2019 dari Malaysia, iaitu Hael Husaini dan bintang berbakat, Ismail Izzani; model dan aktres Indonesia-Australia Nadya Hutagalung, Miss Universe 2015, Pia Wurtzbach, pelawak dan penyampai televisyen Vietnam, Tran Thanh, dan pengacara terkenal Allan Wu. Turut tidak ketinggalan ialah penyanyi rap Asia Tenggara dan bintang pop, Urboy TJ, Saykoji, THELIONCITYBOY, Angger Dimas, dan Dipha Barus, yang akan menghangatkan malam tersebut dengan kolaborasi rap bertenaga tinggi. 

Konsert ini merupakan sebahagian daripada sambutan Hari Jadi ke-7 Lazada dan akan memuncak dengan acara beli-belah besar pada 27 Mac. Jualan selama satu hari itu menjanjikan pengalaman beli-belah dalam talian baharu yang merangkumi pilihan baharu bagi permainan arked yang mengujakan untuk penebusan baucar selain banyak tawaran menarik bagi para pengguna di rantau ini. Dalam tempoh menjelang jualan ini, Lazada juga akan mengadakan ‘Brands Future Forum’ (BFF) yang pertama di Singapura pada 21 Mac. BFF merupakan persidangan kemuncak tahunan yang mengumpulkan eksekutif terkemuka jenama tempatan dan antarabangsa untuk bertukar-tukar pandangan dan pemahaman berkaitan dengan e-dagang.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!