LEFTENAN ZANA LAKONAN JANNA NICK JANA 10 JUTA TONTONAN



Belum pun habis siarannya, drama Leftenan Zana lakonan utama oleh Janna Nick telah meraih 10 juta tontonan sepanjang 10 episod bersiaran! Malah bukan sahaja di kaca TV, sambutan hangat ini turut dirasai di laman Youtube @TV3Malaysia & Drama Sangat sehingga memperoleh 6 juta tontonan.  (sumber Nielsen Audience Measurement).

Menurut Pengurus Besar, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri, “ Ternyata drama ini telah mendapat penerimaan yang sangat baik oleh rakyat Malaysia sehingga berjaya meraih 10 juta tontonan walaupun masih berbaki 3 episod lagi.  Kami menerima komen positif yang sukakan jalan cerita yang berkisarkan mengenai suka duka pelatih Angkatan Tentera Malaysia ini. Drama ini tidak hanya mendapat perhatian rakyat Malaysia, malahan drama ini turut diikuti oleh penonton daripada negara jiran seperti Singapura dan Indonesia. Lebih membanggakan lagi, ramai ibu bapa yang berkongsikan video anak-anak mereka yang melakonkan semula babak-babak ketenteraan dalam drama ini”.


Pujian juga banyak dilemparkan kepada para pelakon drama ini yang berani menyahut cabaran pihak produksi iaitu JS Pictures Sdn Bhd untuk membawakan watak yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Kami berterima kasih pada pihak produksi kerana bertungkus lumus menghasilkan naskah berkualiti dan jutaan terima kasih juga buat penonton yang menyokong drama ini. Sokongan anda amat dihargai dan diperlukan untuk menghasilkan sebuah drama yang mempunyai kelainan tersendiri.”


Leftenan Zana arahan Azman Hj. Yahya  ini mengisahkan mengenai impian Zana (Janna Nick) yang bercita-cita mahu menjadi anggota tentera tetapi cita-citanya itu tidak direstui bapanya Mejar (B) Rahmat (Hairie Othman).  Rahmat lebih mengharapkan Zaidi, anak lelaki sulungnya untuk menyambung legasinya tetapi Zaidi tidak berminat dan kerana itu juga Zaidi dan Rahmat sering bertelagah.


Walaupun dihalang, Zana tekad untuk meneruskan cita-citanya dan dalam diam telah membuat permohonan dan akhirnya terpilih untuk menjadi pelatih anggota tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Rahmat terkejut dengan tindakan Zana yang memohon tanpa pengetahuannya. Rahmat pasti Zana tidak akan bertahan lama di sana.


Ternyata apa yang dikatakan oleh bapanya tentang kepayahan di kem, semuanya benar. Selain Sarjan Qamar (Sheila Rusly) yang menggerunkan, Zana tertekan dengan pelbagai latihan yang memenatkan fizikal dan mental. Di kem juga Zana turut dibuli oleh Raz (Tunku Hanis) yang membencinya. Keazaman Zana semakin menipis lebih sehingga dia melarikan diri tetapi ditangkap dan menerima hukuman oleh Sarjan Qamar. Sejak itu Zana bertekad untuk berusaha untuk menjadi yang terbaik walau apa pun halangan yang mendatang lebih lebih lagi apabila menerima nota rahsia yang memberi kata-kata semangat kepadanya.



Teruskan menonton Leftenan Zana yang dibarisi pelakon hebat seperti Janna Nick, Sheila Rusly, Redza Rosli, Tunku Hanis, Hairie Othman yang akan tamat pada 15 Mac ini setiap hari Rabu hingga Jumat, jam 9.00 malam hanya di TV3.

Comments

Popular posts from this blog

LAGU 'BEGHAOK RAYA' MEMERIAHKAN LAGI SUASANA HARI RAYA TAHUN INI