‘THE HOUSE’ MUSIM KE-5 ANGKAT BINTANG ALAF BAHARU ‘BBNU’
Bagi memberi lebih pilihan untuk kandungan alaf baharu, portal hiburan Gempak membawakan kembali program realiti digital ‘The House’ untuk musim yang kelima menerusi penerbitan ‘Gempak Original Series’ sebagai daya tarikan terbaharu di platform digital.
Masih mengekalkan format realiti yang sama tetapi kali ini dengan kisah pengembaraan yang berbeza, ‘The House’ musim kelima bakal menampilkan tiga bintang popular generasi ‘BBNU’ yang namanya kian melonjak selepas menyertai pertandingan nyanyian ‘Big Stage’ terbitan Astro Ria tahun lalu iaitu Sarah Suhairi, Sissy Imann dan Wani Kayrie sebagai tonggak utama untuk musim ini.
Seperti musim-musim sebelum ini, program ‘The House’ yang berdurasi selama 22 minit sepanjang lima episod ini bakal disiarkan secara eksklusif menerusi portal digital Gempak iaitu www.thehouse.com.my pada setiap hari Selasa mulai 19 Mac 2019 untuk pilihan yang fleksibel merentasi sempadan.
Ini diikuti dengan siaran televisyen yang akan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap hari Rabu jam 9.00 malam bermula 27 Mac 2019.
Terdahulu, program realiti ‘The House’ pernah menampilkan trio adik beradik iaitu Emma Maembong, Cha Cha Maembong & Yaya Maembong untuk menjayakan musim pertama, jutawan kosmetik Dato’ Seri Vida (musim kedua), keluarga Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta (musim ketiga) serta Fattah Amin & Alvin Chong (musim keempat).
Comments
Post a Comment