MEK MULUNG: LAKHON DEWA MUDA TAMPILKAN BARISAN PELAKON MUDA
Walau segelintir sahaja yang mengenali Mak Yong, tetapi tidak semua
mengetahui tentang Mek Mulung meskipun sudah menjangkau usia sekitar 400 tahun
lamanya.
Sekolah Seni Malaysia Perak bakal mementaskan "Mek Mulung: Lakhon
Dewa Muda" bermula dari 3 hingga 5 Mei di klpac sebagai sebahagian daripada acara
sambutan ulangtahun ke-30 The Actors Studio Seni Teater Rakyat, yang turut
disokong oleh Yayasan Hasanah.
Sudah lebih dari satu dekad sejak Mak Yong diakui oleh UNESCO sebagai
Satu Karya Agung Warisan Tidak Ketara Kemanusiaan (Intangible Cultural Heritage
of Humanity) yang telah melonjakkan bentuk seni tradisional ini ke persada global.
The Actors Studio Seni Teater Rakyat juga sudah dua kali mementaskan "Mak Yong
Titis Sakti" dengan pencapaian besar yang membanggakan.
Kini, sudah tiba saatnya untuk beralih ke bentuk seni tradisional lain yang
layak diberikan perhatian. Kali terakhir klpac menjadi tuan rumah persembahan Mek
Mulung adalah pada tahun 2006. Yang menariknya tentang persembahan Mek
Mulung kali ini adalah barisan pelakon muda yang berusia diantara 13 hingga 16
tahun.
Persembahan mereka mampu memukau mata seluruh dunia serta berjaya
meraih kemenangan Golden Award CCTV China Young 2019, Let’s Go Spring
Festiva Gala Night serta menggondol tempat pertama dalam Monolit Festival
International Talent di Spain.
Para pelakon muda ini adalah dari Sekolah Seni Malaysia Perak, sebuah
sekolah seni baru yang didirikan di bawah Kementerian Pendidikan dan dibimbing
oleh pasukan veteran industri termasuk dua penggiat seni terkenal tradisional
Malaysia - Zamzuriah Zahari (Skrip Adaptasi dan Penasihat) dan Kamarul Baisah
Hussin (Pengarah Musik) dan turut dibantu oleh Pengarah, Mohd Azhar bin Ariffin dan
Mohd Izzat bin Ismail juga koreografer Muhammad Zhafir Muzani (Reka Tari The
Actors Studio /Penari).
Kepada yang pernah mengikuti siri sitcom “Oh My English” sudah pastinya
mengenali Zhafir Muzani, melalui peranan dan penampilan beliau dalam siri popular
ini. Kali ini, beliau memikul tanggungjawab sebagai koreografer persembahan Mek
Mulung ini. Beliau pernah meraih kemenangan di ‘World Performing Arts
Championship 2011’.
Sungguhpun begitu seni tradisional tetap menjadi pilihan beliau
dan juga sebagai pembakar semangat.
"Mek Mulung: Lakhon Dewa Muda" adalah dongeng tentang seorang raja
muda yang melanjutkan misi berani untuk memulihkan kedamaian negaranya.
Sepanjang perjalan, dia terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dan telah
dipertemukan dengan sebiji buah yang aneh. Apa yang ada dalam buah itu? Apakah
dia akan berhasil membawa misinya?
Seperti bentuk seni tradisional lain, Mek Mulung menampilkan kombinasi
musik, tarian dan drama. Anda juga dapat melihat beberapa elemen Mak Yong,
Menora dan Hadrah di dalamnya.
Persembahan khas ini dibuka dengan ritual yang disebut 'bertabuh' yang
menampilkan perbezaan alat muzik, diikuti dengan lagu berjudul 'bertabik' yang
dinyanyikan secara berkumpulan.
Keseluruhannya, Mek Mulung menawarkan 7 gaya
tarian yang berbeza.
Penampilan berbakat dari Sekolah Seni Malaysia Perak ini mewakili harapan
kesenian tradisional seperti Mek Mulung. Selain menarik minat generasi berikutnya,
ianya berfungsi sebagai pembawa obor untuk warisan budaya negara kita yang kaya
dan unik. Semoga persembahan ini, membuka jalan serta turut mendapat
pengiktirafan UNESCO satu hari nanti.
Antara persembahan lain yang bakal dipentaskan disepanjang acara sambutan
ulangtahun ke-30 The Actors Studio Seni Teater Rakyat, termasuklah "Kandang" dan
"Transitions" dibawah arahan Omar Ali. Maklumat lanjut, sila kunjungi laman
sesawang www.klpac.org
Comments
Post a Comment