LEGO MY PLAY FESTIVAL CETUS FENOMENA DI SURIA KLCC DAN KLCC PARK, RAI SAMBUTAN LEGO TERBESAR DI MALAYSIA


Sempena musim cuti sekolah ini, ibu kota bakal berwajah baharu sebagai sebuah taman permainan besar apabila LEGO MY Play Festival menghidupkan presint KLCC bermula dari 21 Mei hingga 7 Jun 2026. Menghimpunkan replika binaan interaktif, instalasi berskala besar, zon permainan kreatif, serta acara Suria KLCC x LEGO “Play Run 2026” yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, festival ini melakar sejarah sebagai festival LEGO terbesar di Malaysia setakat ini dan menjemput seisi keluarga daripada semua lapisan umur untuk kembali merasai keseronokan aktiviti bermain secara fizikal.


Direka sebagai satu pengalaman bermain interaktif berskala besar untuk kanak-kanak dan golongan dewasa, festival ini mencerminkan pegangan The LEGO Group terhadap kepentingan aktiviti bermain di luar skrin digital. Bagi melengkapkan usaha ini, Suria KLCC menerapkan festival tersebut ke dalam inisiatif kesejahteraan mental dan fizikal tahunannya. 

Melalui gabungan acara bertenaga tinggi Suria KLCC x LEGO "Run in the Park" dengan kembalinya ruang ikonik "Safe Space" di Park Mall Entrance, kempen ini menekankan bagaimana aktiviti fizikal yang aktif dan sokongan kesihatan mental komuniti dapat menyumbang kepada kesejahteraan menyeluruh.


Memandangkan trend bermain kini semakin beralih ke ruang digital, LEGO MY Play Festival bertujuan menggalakkan institusi keluarga untuk mengeratkan semula hubungan melalui pengalaman sebenar yang dikongsi bersama. Menerusi aktiviti binaan kolaboratif, penceritaan kreatif dan permainan fizikal, festival ini membuka ruang buat kanak-kanak mahupun golongan dewasa untuk meneroka kreativiti bersama-sama dalam suasana yang bermakna dan penuh kenangan.


“Walaupun peranti digital merupakan sebahagian daripada kehidupan kanak-kanak moden hari ini, festival ini membuktikan bagaimana aktiviti penerokaan fizikal menggunakan permainan LEGO mampu memupuk kreativiti, pembelajaran dan hubungan yang bermakna,” kata Nina Patricia Da Costa, Pengurus Besar Singapura, Malaysia, dan APAC Travel Retail bagi The LEGO Group.


“LEGO MY Play Festival ialah satu sambutan berteraskan imaginasi yang diispirasikan oleh keunikan budaya Malaysia. Kami berharap keluarga di luar sana akan mengambil peluang ini untuk meluangkan masa, beramah mesra dan berkarya bersama-sama dalam dunia LEGO yang nyata, di mana segala idea dan impian menjadi realiti,” tambah beliau. “Kami juga amat berterima kasih kepada Suria KLCC atas kerjasama dan sokongan padu mereka dalam menjayakan pengalaman ini di salah satu mercu tanda paling ikonik di Kuala Lumpur, yang menjadi tumpuan keluarga dan pengunjung untuk berkumpul dan merasai keseronokan bermain LEGO.”


Francis Tan, Pengarah Eksekutif dan CEO Suria KLCC Sdn Bhd, berkata, "Di Suria KLCC, kami sentiasa melangkaui sempadan ruang runcit konvensional dengan membawakan acara berorientasikan pengalaman bertaraf dunia yang dekat di hati pengunjung. Kerjasama dengan The LEGO Group ini adalah contoh terbaik bagaimana kami menyusun strategi bersama penyewa runcit kami untuk memainkan peranan yang lebih besar dan berimpak kepada masyarakat. Dengan menerapkan falsafah permainan LEGO ke dalam inisiatif kesihatan mental dan fizikal tahunan kami, kami mengubah sebuah acara cuti sekolah menjadi sesuatu yang jauh lebih bermakna. LEGO hanyalah jenama besar pertama daripada senarai kolaborasi berformat sebegini yang kami rancang, dalam usaha berterusan kami untuk mentakrifkan semula bagaimana destinasi beli-belah mampu memacu impak sosial yang positif."

Taman Permainan Utama Kota

Merangkumi pelbagai lokasi di sekitar presint Suria KLCC, LEGO MY Play Festival membawakan rangkaian zon permainan interaktif berskala besar yang diinspirasikan daripada dunia fantasi serta pemandangan ikonik bandar raya.


Suria KLCC Centre Court: Kenali Kuala Lumpur Gaya LEGO

Pengunjung akan disambut oleh replika menakjubkan pemandangan latar langit Kuala Lumpur berteraskan LEGO, yang menampilkan binaan utama Menara Kembar Petronas berskala besar. Ia diserikan lagi dengan latar belakang Menara KL, Merdeka 118, dan Dataran Merdeka, di samping gerai makanan LEGO kreatif yang membawakan suasana budaya pasar malam tempatan. Antara tarikan utama termasuklah binaan LEGO 3D pertama penjual teh tarik yang sedang memusingkan cawan, serta penjual durian LEGO 3D.

Selain keindahan latar langit tersebut, Centre Court turut mengajak pengunjung meneroka empat pengalaman bertema interaktif yang diinspirasikan daripada siri LEGO Friends, NINJAGO, Creator, dan City:


Pengalaman LEGO Friends: Langkah masuk ke zon permainan dinamik bertema rumah anak patung yang diinspirasikan daripada set 42676 Fun At The Waterpark. Tarikan utama termasuk gelongsor berskala sebenar ke dalam kolam bola “splash zone”, permainan pusingan ala air pancut, serta kolam bongkah LEGO yang dipenuhi dengan haiwan LEGO tersembunyi.

Pengalaman LEGO Ninjago: Alami replika berskala sebenar yang diispirasikan daripada set 71866 Ninja Character Display. Terokai ruang bergambar biara yang unik, bilik teh tenang dengan perincian bertema, dan sertai pertempuran interaktif sebagai watak Ninjago, Arin atau Ras, menggunakan patung mini (minifigures) dan gasing LEGO.


Pengalaman LEGO Creator: Selami ruang bertema karnival berwarna-warni yang menampilkan model roda ferris berputar daripada set 31389 Iconic Ferris Wheel, lengkap dengan lampu, pergerakan, dan paparan yang menarik. Kanak-kanak juga boleh membina dan memamerkan aiskrim LEGO impian mereka.

Pengalaman LEGO City: Terokai kilang piza yang sibuk diispirasikan daripada set 60496 Pizza Delivery Service, di mana kanak-kanak boleh menghasilkan piza LEGO sendiri menggunakan "bahan-bahan" bongkah berwarna-warni mengikut kreativiti masing-masing.

Bagi memeriahkan lagi suasana, acara ini turut menampilkan zon khas LEGO Minifigure Converter di Centre Court. Menerusi pengalaman eksklusif yang pertama kali diperkenalkan ini, pengunjung boleh mengambil foto sendiri untuk menghasilkan patung mini (minifigure) LEGO digital yang diperibadikan, berlatarbelakangkan poster utama acara. Foto digital yang dihasilkan boleh disimpan sebagai kenang-kenangan digital yang unik buat para pengunjung.


Esplanade, KLCC Park: The LEGO Football Play Arena

Peminat sukan bola sepak boleh melangkah masuk ke LEGO Football Play Arena bertemakan stadium yang terletak di tengah-tengah Esplanade. Bermula daripada laluan masuk terowong yang dramatik sehinggalah kepada pencahayaan stadium dan gema sorakan penonton, pengalaman ini membawakan kehangatan hari perlawanan sebenar.


Diinspirasikan oleh kehangatan global menjelang FIFA World Cup 2026™, pengalaman luar bangunan ini menggabungkan tenaga komuniti bola sepak dengan kreativiti permainan LEGO, menawarkan persekitaran yang imersif buat pengunjung di mana sukan, imaginasi dan hiburan keluarga bersatu dalam suasana yang luar biasa.

Pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti interaktif termasuk segmen Make & Take LEGO Trophy, permainan Kicker Manusia (Human Foosball), serta pelbagai ruang bergambar yang menampilkan bola sepak LEGO setinggi 8 kaki diispirasikan daripada set 43019 Football, replika trofi FIFA daripada set 43020 FIFA World Cup™ Official Trophy, di samping pameran set LEGO baharu yang diispirasikan daripada ikon bola sepak global termasuk Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Kylian Mbappé, dan Vini Jr.


Kumpul, Teroka dan Selesaikan Misi LEGO Anda

Setiap keluarga boleh meningkatkan keseronokan dengan kad misi festival, bagi memulakan kembara penuh aktiviti bersama-sama sambil menyelesaikan cabaran di lima zon sekitar Centre Court dan Esplanade, KLCC Park. Sepanjang laluan, mereka boleh mengumpul setem, mengeratkan hubungan keluarga, dan menebus ganjaran eksklusif sambil meneroka festival berkenaan.


Suria KLCC x LEGO “Play Run 2026”

Membuat kemunculan sulung di Asia Tenggara, acara Suria KLCC x LEGO “Play Run 2026” bakal membawakan dimensi baharu dalam aktiviti kekeluargaan di KLCC Park pada 6 Jun 2026, menggabungkan larian, kreativiti dan penceritaan interaktif dalam satu pengalaman larian berkonsepkan LEGO yang unik. Larian mesra keluarga sejauh 2KM ini akan membawa peserta melalui laluan penuh cabaran santai dan hentian santai (play-stops) interaktif, yang direka khusus untuk menyuntik kreativiti dan keseronokan.

Peserta boleh menyertai sesi pelepasan (flag-off) yang fleksibel sepanjang hari bermula dari jam 9 pagi hingga 7 malam. Setiap pelari juga akan menerima kit larian eksklusif bertema LEGO, termasuk baju-T, beg jerut, botol air, tuala sukan dan pingat penamat Suria KLCC x LEGO “Play Run 2026” yang unik.

Di luar trek larian, kawasan Esplanade, KLCC Park akan berfungsi sebagai zon aktiviti yang meriah bagi menyediakan pengalaman acara yang menyeluruh. Dengan kerjasama para penyewa Suria KLCC, kawasan ini akan menampilkan ruang interaktif, bengkel kecantikan dan kesejahteraan, serta aktiviti menarik untuk semua peringkat umur. Peserta dan pengunjung boleh menyertai keseronokan ini dan berpeluang menebus makanan serta minuman yang menyegarkan.


Butiran pendaftaran untuk Suria KLCC x LEGO “Play Run 2026”, termasuk slot penyertaan dan maklumat acara, boleh didapati di saluran rasmi LEGO Malaysia dan Suria KLCC. Pendaftaran awal amat digalakkan memandangkan tempat adalah terhad dan dijangka penuh dengan cepat.

Acara Suria KLCC x LEGO “Play Run 2026” akan diakhiri dengan segmen kemuncak, di mana orang ramai boleh menyaksikan pancaran unjuran bertema LEGO yang menakjubkan pada dinding bangunan Suria KLCC, dari jam 8 malam hingga 10 malam pada 6 dan 7 Jun.


LEGO MY Play Festival ini dijayakan hasil kerjasama KLCC selaku Rakan Lokasi Rasmi. Menyokong acara Suria KLCC x LEGO “Play Run 2026" sebagai Rakan Penjagaan Kesihatan Rasmi ialah IHH Healthcare, dengan bantuan perubatan pada hari acara disediakan oleh Gleneagles Hospitals, Pantai Hospitals, dan Prince Court Medical Centre bagi memastikan pengalaman yang seguro dan menyeronokkan untuk semua peserta dan keluarga.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi LEGO Malaysia dan Suria KLCC.


Comments

Popular posts from this blog

AEDY ASHRAF, SKY ISKANDAR & 90 INDIVIDU DIPILIH PEGANG WATAK DALAM FILEM ‘KAHAR KAPLA HIGH COUNCIL’

FORUM AI & PERUNDANGAN 2026 MENEROKA MASA DEPAN BIDANG PERUNDANGAN