SHUK JUARA SUPER BINTANG BERSAMA BINTANG 2019



Bijak memanfaatkan fenomena drama Nur 2, Shuk dinobatkan sebagai juara Super Bintang Bersama Bintang 2019 (Super BBB2019) sekaligus meraih hadiah wang tunai RM100,000! Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohammed Sahar, 33 tahun, yang bergandingan bersama sahabat baiknya, Jihan Muse, membuat persembahan parodi drama Nur 2 dimana Shuk memegang watak sebagai Ustaz Adam, manakala Jihan Muse sebagai Nur. Lebih menarik, kemunculan Ustaz Syed Hamadi lakonan Azhan Rani sebagai tetamu jemputan menggamatkan lagi pentas Super BBB 2019 yang bersiaran secara langsung di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Ahad lalu. 

Menurut Saiful Apek selaku juri tetap BBB2019 “Kelima-lima peserta telah memberikan yang terbaik untuk menjayakan persembahan mereka pada malam ini. Tetapi untuk pentas akhir, boleh dikatakan Achey dan Shuk dilihat paling menyerlah. Shuk layak diangkat sebagai juara kerana dia bijak memilih tetamu jemputan dan memilih jalan cerita yang sangat dekat dengan penonton.


Selain itu, Mark Adam yang juga juri tetap BBB2019 berkata “Gandingan Shuk bersama Jihan dan juga Azhan Rani sangat menjadi di pentas akhir ini. Kemunculan Azhan Rani memberi impak dan sangat membantu persembahan Shuk”. 

Menurut Puan Zurina Othman, Pengurus Besar, Pengurusan Jenama, Rancangan (ntv7) dan Perolehan, Rangkaian Televisyen Media Prima, “Rancangan sebegini bakal diteruskan lagi kerana kita kekurangan pelawak-pelawak pelapis untuk terus mewarnai industri seni tanah air. BBB 2019 adalah platform tepat yang memberi peluang untuk pelawak secara solo amnya menyerlahkan lagi potensi mereka untuk tidak hanya berlawak kosong tetapi mempunyai mesej yang dapat dijadikan tauladan untuk para penonton.”


Shuk menewaskan empat lagi peserta iaitu Achey (Mohd Nasir B. Hamzah, 33 tahun), Chiwan (Mohd Azwan Sabri, 33 tahun), Mamak Puteh (Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad, 34 tahun), Sharif Zero (Sharif Kadir Doli Sharif, 29 tahun). Namun mereka tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing mereka pernah dinobatkan sebagai juara mingguan yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 dengan Achey mengungguli juara mingguan sebanyak tiga kali.

Di pentas Super BBB 2019 Ahad lalu, selain Jihan Muse, antara bintang yang turut tampil bergandingan dengan para peserta akhir adalah Black, Afdlin Shauki, Fikry Ibrahim dan juga Heliza Helmi. Berikut adalah senarai persembahan peserta mengikut giliran: 
  • Chiwan & Afdlin Shauki : Lagu - Tiada Lagi & Angkat Kaki 
  • Sharif Zero & Heliza Helmi : Lagu - Assalamualaikum 
  • Achey & Black : Lagu - Seniman Menangis 
  • Mamak Puteh & Fikry Ibrahim : Lagu - Farhana & Harapan Ramadan 
  • Shuk & Jihan Muse : Lagu - Tak Pernah Hilang & Haram. 
Konsep pertandingan BBB 2019 memerlukan peserta untuk memanfaatkan masa yang diperuntukkan untuk setiap persembahan iaitu enam minit secara keseluruhannya iaitu sketsa empat minit dan persembahan nyanyian selama dua minit. Peserta juga dibenarkan membawa seorang selebriti jemputan untuk memantapkan dan menyerikan lagi persembahan mereka. 

BBB 2019 dihoskan oleh Elly Mazlein manakala Saiful Apek dan Mark Adam bertindak sebagai juri tetap. Di dalam BBB 2019, juri mahukan setiap pelawak tidak hanya berlawak semata-mata untuk membuatkan penonton tertawa malah tetap mempunyai mesej yang dapat dijadikan tauladan dalam sketsa mereka. Markah setiap pelawak ditentukan oleh juri tetap (60%) dan undian penonton di laman www.xtra.com.my/BBB2019 (40%).

Kru produksi BBB 2019 diterajui oleh Muhamad Sufian Che Isa selaku penerbit eksekutif dan Abdul Ghani Mohd Mokhtar selaku penerbit. Persembahan para peserta BBB 2019 juga dapat di tonton secara langsung di laman Youtube TV3Malaysia dan portal video tonton di www.tonton.com.my

Ikuti laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai BBB 2019.

Comments

Popular posts from this blog

ANTA MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN SUMBANGAN KASUT SEMPENA RAMADAN

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA