SINOPSIS FILEM "SANGKAR" LAKONAN ZUL ARIFFIN & REMY ISHAK



Buat julung kalinya syarikat media Malaysia, Media Prima dan Astro – melalui bahagian penerbit filem masing-masing, Primeworks Studios dan Astro Shaw - bersama produksi Infinitus Gold dan mm2 Entertainment bergabung usaha dalam menerbitkan sebuah filem MMA (Mixed Martial Arts) Melayu pertama Malaysia, SANGKAR. 

Filem yang bakal menggegarkan pawagam pada Ogos 2019 ini merupakan kolaborasi mega di antara empat penerbit dan dijangka merangsang lagi industri filem tempatan dengan pergabungan visi dan bakat kreatif keempat-empat rakan kongsi ini. 

Pengarah yang berasal dari Mumbai dan menetap di Malaysia, Kabir Bhatia menjadi teraju utama memikul tanggungjawab yang berat dalam memastikan keupayaan untuk menzahirkan lakon layar yang terbaik, tambahan pula ini adalah kali pertama beliau memberi sentuhan pada filem bergenre aksi drama. Sebelum ini, Kabir juga pernah bekerjasama dengan Astro Shaw dan Primeworks Studios dalam menjayakan projek-projek seperti filem ‘Bisik Pada Langit’ serta filem ‘Pulang’. 

Sangkar membariskan pelakon terkenal Zul Ariffin, Remy Ishak, Mira Filzah, Fadlan Hazim, Ray, Aman Graseka, Carliff Carleel, Andy Teh dan atlet peninju profesional MMA sebenar iaitu James “Sledgehammer” Mcsweeney. 

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid berkata, “Selain penampilan bakat bakat-bakat terbaik di Malaysia seperti Remy Ishak, Zul Ariffin, Mira Filzah dan atlet MMA terkenal James “Sledgehammer” Mcsweeney, SANGKAR juga menyaksikan kerjasama dengan empat buah syarikat penghasilan filem utama negara. Kerjasama ini telah Berjaya menghasilkan satu filem epik yang kami yakin mampu untuk meneruskan kejayaan yang dicapai oleh filem-filem Malaysia pada tahun 2018 di pasaran Malaysia dan luar negara.” 

Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan berkata, “Astro amat komited bekerjasama dengan rakan kongsi yang mempunyai hala tuju yang sama untuk menghasilkan filem Malaysia yang berkualiti tinggi dengan isi kandungan yang penuh dengan elemen keterujaan, serta disokong oleh sentuhan pengarah hebat, barisan pelakon berbakat besar, dan penerbit yang mampu menepati cita rasa penonton tempatan dan luar negara.” 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Infinitus Gold, TP Lim menyifatkan kerjasama ini memberi peluang buat produksi baru untuk terus berdiri kukuh di dalam industri filem tanah air. “Sebelum ini kami pernah bekerjasama dengan kedua-dua syarikat ini menerusi filem ‘Hantu Kak Limah’ (Astro Shaw) dan filem ‘JRevolusi’ (Primeworks Studios). Kerjasama ini diteruskan dengan bergabung sekali lagi menerusi filem SANGKAR. Kami rasa berbesar hati kerana menerusi projek ini umum dapat melihat gabungan kolaborasi dua syarikat media utama di Malaysia. Lebih menarik, projek ini turut mendapat sokongan dari penerbit prolifik dalam perfileman tempatan dan luar negara, mm2. Kami harap kerjasama ini dapat menggabungkan pengalaman dan semua tenaga kepakaran yang ada dalam menghasilkan kerjasama yang lebih strategik dan secara tidak langsung mampu memberi perkembangan positif buat industri filem kita.” 

Ketua Pegawai Eksekutif, mm2 Asia Ltd, Chang Long Jong, pula berkata “Kerjasama ini menyaksikan kolaborasi terbesar kami bagi tahun 2019. Kami berbangga menjadi rakan kerjasama untuk filem SANGKAR dan yakin jalan cerita yang mengangkat elemen menebus kesilapan lalu mampu menyemarakkan lagi penantian peminat filem tempatan dan luar negara untuk menonton kehebatan filem ini.”

SINOPSIS 
Sangkar menceritakan kisah watak Adam dan Johan yang berlawan di luar gelanggang sehingga menyebabkan Johan cedera parah. Untuk menebus kesalahannya, Adam kembali dalam pertarungan jalanan demi dapatkan habuan untuk membantu Johan sekeluarga. Johan pula bertarung dengan hidupnya sendiri demi keluarganya. 

Adam membuat keputusan untuk bertarung dengan atlet MMA luar negara bagi mendapat habuan lebih besar. Mampukah Adam dan Johan bergelut keadaan serta menebus dosa lalu dalam berdepan cabaran masing-masing? 


Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI