“SENTUHAN WIRA”: FILEM AKSI SUKAN TENTANG DETIK BERSEJARAH KEMENANGAN PIALA THOMAS 1992 KINI DILANCARKAN


Satu detik yang membakar semangat nasional kini diangkat ke layar perak. Victory Pictures secara rasmi melancarkan projek filem terbaru berjudul “Sentuhan Wira”, sebuah karya aksi sukan epik yang menyingkap detik gemilang Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992. Majlis pelancaran dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berlangsung meriah di Grand Hyatt Kuala Lumpur, disaksikan wakil FINAS, YB Dato’ Gerald Hans Isaac.

Menariknya, filem ini bukan sekadar cetusan idea produksi—ia diasaskan oleh dua lagenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit, yang turut dilantik sebagai penasihat rasmi. Dengan pengalaman sebenar di gelanggang, mereka akan memastikan naratif dan semangat perjuangan dalam filem ini benar-benar mencerminkan detik kemenangan sebenar.

Lebih Dari Sekadar Filem Sukan — Ini Naskhah Perpaduan

Tahun 1992 menyaksikan Malaysia mengalahkan gergasi badminton Indonesia dengan skor penuh emosi, 3-2. Stadium Negara bergegar dan seluruh rakyat bersatu meraikan kejayaan bersejarah. “Sentuhan Wira” cuba menghidupkan kembali semangat itu — bukan hanya kepada mereka yang menyaksikan perlawanan dahulu, tetapi juga kepada generasi baharu.

Jurucakap Victory Pictures, Datuk Rashid Sidek berkata, “Kami mahu generasi muda rasai detik kebangkitan semangat negara. Ini bukan sekadar kisah sukan tetapi simbol perpaduan.”


Aksi Dramatik, Gaya 90-an dan Jiwa Rakyat

Di bawah pengarahan Lenny Ooi, filem ini bakal menampilkan babak aksi dramatik dengan pendekatan visual terkini seperti penggunaan kamera kadar bingkai tinggi (high frame rate) dan gaya sinematografi yang moden. Namun pada masa sama, ia akan tetap mengekalkan jiwa era 90-an melalui gaya, semangat dan suasana.

Pihak produksi turut akan menjalankan sesi uji bakat terbuka seluruh negara bagi mencari pelakon generasi baharu yang bukan sahaja mampu berlakon, tetapi juga memiliki teknik badminton yang meyakinkan. Yang lebih penting, nilai seperti disiplin, semangat berpasukan dan jiwa patriotik akan menjadi faktor utama pemilihan.

Ikon Jadi Inspirasi, Skrin Jadi Legasi

Filem ini dijadualkan memulakan penggambaran penuh hujung tahun ini. Ia bukan sekadar produksi biasa, tetapi satu usaha kebudayaan nasional untuk mengabadikan sejarah penting negara melalui medium sinematik. Dan siapa tahu, dari uji bakat terbuka ini, mungkin akan lahir wira baharu yang mencerminkan semangat pejuang 1992.

“Sentuhan Wira” bukan hanya filem tentang badminton. Ia adalah filem tentang negara, tentang harapan dan tentang semangat yang tidak pernah luntur. Nantikan detik epik ini di pawagam seluruh negara tidak lama lagi.

Comments

  1. Can't wait to see the actors that will play our badminton heroes <3

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

ADAM LEE DAN SITI KHADIJAH BERSATU DALAM DI SEBALIK REDA BAKAL MENGUSIK JIWA PENONTON MULAI 30 JUN 2025