ALIF & SOFIA – PROGRAM BARU UNTUK KANAK-KANAK PRA- SEKOLAH



Primeworks Studios dan Blindspot Studios mengumumkan secara rasmi pelancaran kolaborasi siri program terbaharu Alif & Sofia, iaitu sebuah animasi 3D yang boleh didapati di laman YouTube, menampilkan kandungan interaktif yang menarik khas untuk kanak-kanak prasekolah. 

Siri animasi ini berkisarkan karakter dua orang adik beradik bernama Alif dan Sofia. Alif berumur 5 tahun, seorang budak lelaki yang mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, aktif bertanya kepada kakaknya Sofia yang berusia 7 tahun. Sebagai kakak yang bertanggungjawab, Sofia cuba melakukan yang terbaik untuk membimbing dan menggalakkan adiknya berkongsi dan mencari jawapan bersama. Sebagai kanak-kanak, mereka sangat gembira dan kagum meneroka dunia di sekeliling mereka dan secara tidak langsung mereka belajar akan nilai-nilai yang baik melalui cerita, muzik, tarian dan permainan imaginatif. Siri ini juga memupuk nilai-nilai murni mengenai Islam dalam menjalani kehidupan seharian, membantu dan memberi panduan kepada ibu bapa untuk berhubung dengan anak-anak mereka dan berkongsi pengalaman menerusi kandungan pembelajaran yang menghiburkan serta secara tidak langsung dapat menggalakkan perkembangan minda anak yang baik. 

Siri animasi Alif & Sofia yang diperkenalkan di laman Youtube pada tahun 2017 mencapai lebih 60 juta tontonan sehingga kini. Kejayaan siri YouTube asal membuktikan bahawa dengan kemampuan Blindspot Studios mengolah dan merombak idea yang lebih kontemporari pada penampilan watak-watak bukan sahaja kerana kecomelan watak yang ada tetapi juga kerana kandungan informatif yang diberikan dapat menarik perhatian kanak-kanak sekaligus para ibu bapa diluar sana untuk menonton siri ini. Inisiatif baharu ini juga mendapat perhatian Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) yang mana MDEC berbesar hati menganugerahkan geran pelaburan bagi menerbitkan 104 buah lagi siri episod Alif & Sofia dalam memperkembangkan hasil usahasama dengan Primeworks Studios. 

Kerjasama erat antara Blindspot Studios dan Primeworks Studios berjaya meletakkan dua entiti syarikat yang saling memerlukan. Blindspot Studio mewujudkan kandungan rancangan prasekolah yang menarik manakala Primeworks Studios pula membangunkan jenama Alif & Sofia dari perspektif komersial, dengan menyumbang kepakaran dari pelbagai bidang seperti pemasaran, pengedaran kandungan, perlesenan dan perdagangan untuk membawa jenama itu lebih jauh. 

Datuk Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios berkata, “Kami di Primeworks Studios sangat teruja dengan pelancaran animasi terbaharu dan pertama di platform digital ini. Pelaburan yang diletakkan untuk memajukan Alif & Sofia ini adalah sebahagian daripada misi kami dalam pembangunan dan memgembangkan IP (Harta Intelek) animasi Primeworks Studios, juga untuk mengembangkan portfolio perlesenan dan perdagangan sebagai salah satu strategi perniagaan syarikat di masa hadapan. Selepas berjaya membawa Ejen Ali ke mata dunia, kini kami berharap dapat mengulangi kejayaan yang sama dengan memperkenalkan animasi baharu khas buat kanak-kanak prasekolah dan ibu bapa.” 

Lukman Nul Hakim, Ketua Pegawai Eksekutif Blindspot Studios menambah, “Kami tidak sabar untuk berkongsi versi Alif & Sofia dengan suntikkan nafas baru dengan pengikut setia yang sudah bersama kami selama dua tahun. Kami berharap mendapat sokongan yang berterusan daripada peminat, tambahan pula, dengan kerjasama Primeworks Studios mengusahakan IP ini bersama kami, dan sokongan daripada rangkaian media yang luas di Media Prima. Kami teruja untuk melihat bagaimana langkah ini boleh membuka peluang baru bagi kami dari segi pengeluaran produk dan memecah masuk ke dalam arus perdana media dengan jangkauan penonton yang lebih banyak dan baharu.” 

Turut hadir pada acara pelancaran hari ini adalah tetamu selebriti, adik Rykarl Iskandar, peminjam suara (voice cast) di sebalik karakter Alif dan Sofia iaitu Rayyan Iman sebagai Alif dan Intan Syuhadah sebagai Sofia. Diperkenalkan juga buat kali pertama, maskot karakter Alif & Sofia yang menghiburkan penonton yang hadir dengan rutin tarian mereka dengan berlatarkan himpunan muzik menarik dari rancangan itu. 

Pada acara tersebut, Rykarl berkata, “saya merasa bertuah menjadi sebahagian daripada pelancaran siri animasi Alif & Sofia ini. Bertepatan sekali pelancaran Alif & Sofia di bulan Ramadan yang mulia ini yang mana siri Alif & Sofia yang boleh didapati di laman Youtube boleh menjadi pendorong dan panduan kepada adik-adik kecil yang ingin mengambil langkah pertama berpuasa buat kali pertama. Semestinya Alif & Sofia menjadi pilihan utama bukan sahaja untuk adik-adik saya tetapi juga keseluruhan keluarga saya.” 


Alif & Sofia kini boleh dilayari di laman rasmi Youtube www.youtube.com/alifsofia dengan episod baharu yang akan dimuatnaik setiap hari Jumaat (tengahari). Ikuti Alif & Sofia di Instagram - @alif.sofia dan Facebook di www.facebook.com/AlifDanSofia, atau klik pada #AlifSofia di setiap platform media sosial. 

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN

LOSYEN DAILY MOISTURIZING ENERGIZING AVEENO® – STANDARD BAHARU DALAM PENGHIDRATAN KULIT DAN PENYEGARAN DERIA!