KEHANGATAN ‘MAHARAJA LAWAK MEGA 2019’ KEMBALI MEMBARA!



‘Maharaja Lawak Mega 2019’ (MLM 2019), sebuah program realiti pertandingan komedi yang paling dinanti-nantikan oleh peminat tegar lawak di rantau ini bakal membuka tirainya secara rasmi pada setiap hari Jumaat mulai 1 November 2019, jam 9.00 malam selama 11 minggu berturut-turut. ‘MLM 2019’ akan disiarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124) dan distrim melalui platform Astro GO dan On Demand untuk pilihan lebih fleksibel.

Antara barisan peserta yang akan menjayakan MLM 2019 terdiri daripada dua peserta solo dari Indonesia, Rahmet dan Popon, serta sembilan peserta berkumpulan – ‘Cali’ dari Brunei, ‘Bocey’, ‘Zero’, ‘Rare’, ‘Puteh’, ‘Stone’, ‘Jambus’, ‘Rojak’ dan juga juara program ‘Muzikal Lawak Superstar’ musim pertama, ‘J-Born’!

Menariknya lagi, edisi MLM kali ini membawakan satu episod istimewa, ‘Maharaja Lawak Mega 2019 – Kerusi Panas’ atau ‘Hot Seat’ yang akan bersiaran seminggu lebih awal (25 Oktober 2019, Jumaat, 9.00 malam), secara langsung di saluran Astro Warna dan Warna HD yang mana akan menyaksikan 12 peserta lawak berentap untuk meraih kedudukan di pentas utama MLM 2019. ‘MLM 2019 – Kerusi Panas’ ini akan dihoskan oleh pengacara sensasi, Nabil Ahmad, dan tiga nama besar dalam industri bakal terlibat untuk mengadili persembahan peserta. Mereka adalah pengarah tersohor, Sabri Yunus, pelakon wanita popular, Fasha Sandha dan produser filem, Mejar (K) David Teo.

Cukup sinonim dengan jenama ‘Maharaja Lawak Mega’, pengacara tersohor dan versatil tanah air, Dato’ AC Mizal buat sekian kalinya diberi tanggungjawab untuk menggalas tugas hos ‘MLM 2019’. Ini merupakan penampilan kelapan beliau sebagai pengemudi utama program ini.

Sementara itu, meneruskan tradisi pengenalan barisan juri ‘MLM’ seperti musim-musim sebelumnya, keempat-empat Juri Tetap hanya akan diumumkan secara eksklusif pada siaran langsung minggu pertama ‘MLM 2019’ kelak, yang mana tirai rasmi akan dibuka pada Jumaat, 1 November 2019. Lebih hebat, apabila 4 orang Juri Tetap ini hadir dari berlainan latar belakang, gabungan juri dari beberapa buah negara semestinya mampu menarik perhatian dan penuh dengan kejutan.

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!