RM500 JUTA UNTUK PENGEMBANGAN SETIA CITY MALL
Mitch Wilson, Ketua Runcit Lendlease Malaysia (kiri) dan Datuk HL Tan, Naib Presiden Eksekutif S.P. Setia (kiri) |
Menjelang tahun hadapan, penduduk Lembah Klang mempunyai lebih banyak alasan untuk mengunjungi Setia City Mall. Pusat membeli-belah yang berkeluasan 730,000 kaki persegi, kini sedang menjalani proses menaik taraf dan penambahan keluasan sebanyak 450,000 kaki persegi, menjadikannya sebagai destinasi beli-belah dan santai terbesar di Shah Alam apabila siap sepenuhnya kelak. Lebih 80% ruang runcit Setia City Mall yang sedia ada dan dalam fasa penambahan telah disewa atau dalam proses perundingan lanjut.
Terletak di koridor selatan Setia Alam, Setia City Mall adalah usahasama di antara S.P. Setia dan Lendlease. Lebih RM500 juta telah diperuntukkan untuk pengembangan pusat membeli-belah berkenaan bagi meningkatkan lagi kepelbagaian penyewa dan kemudahan, serta membawakan pengalaman membeli-belah yang lebih menarik dengan pelbagai tawaran fesyen, makanan, aktiviti santai dan hiburan.
Menurut Datuk Tan Hon Lim, Naib Presiden Eksekutif S.P. Setia, “Pengembangan Setia City Mall buat masa ini adalah selaras dengan wawasan jangka panjang bahagian pelaburan hartanah S.P. Setia. Dengan lokasi di dalam perbandaran utama Setia Group yang berkeluasan 4,000 ekar, pusat membeli-belah ini dijangka dapat berkembang dengan konsisten apabila lebih ramai penduduk berpindah ke sini, dengan jangkaan populasi 200,000 orang apabila ia siap sepenuhnya.”
Kerja menaik taraf dan pengembangan ini bakal membawakan pengalaman membeli-belah yang lebih menarik kepada setiap pengunjung Setia City Mall. Sayap baru pusat membeli-belah yang setinggi tiga tingkat ini akan menambahkan lagi 150 kedai runcit kepada 235 peruncit sedia ada, termasuk penyewa utama seperti Parkson, Urban Fresh, Golden Screen Cinemas, Zara, H&M, Uniqlo dan Fitness First.
Dihubungkan melalui lebuh-lebuh raya utama, lokasi Setia City Mall adalah strategik di pusat perbandaran Setia Alam yang menghijau dan lestari, serta menampilkan sebuah taman dengan lanskap yang indah, presint selera terbuka atau al fresco, plaza jet air dan Pusat Konvensyen Setia City.
Pengunjung bakal disajikan dengan jenama tempatan dan antarabangsa yang popular apabila fasa pengembangan siap nanti, termasuk pilihan peruncit berkualiti, makanan dan fesyen. Lulu Hypermarket and Departmental Store dari Timur Tengah, yang menguasai 32% bahagian pasaran di rantau Timur Tengah dan Utara Afrika (MENA), bakal menghuni ruang runcit berkeluasan 150,000 kaki persegi. Lulu Hypermarket yang berkonsepkan 100% halal menawarkan pelbagai barangan import premium berkualiti termasuk jenamanya sendiri seperti Teh Lulu, Koi Lulu, Minyak Kelapa Lulu dan sebagainya. Ia juga turut menawarkan pelbagai barangan yang unik di bawah satu bumbung seperti barangan elektrik, fesyen, kasut dan beg tangan wanita.
Untuk menarik pengunjung-pengunjung berkeluarga, Kidz Zone, sebuah taman permainan sambil belajar kanak-kanak yang berkeluasan 12,000 kaki persegi bakal disediakan di Aras 1. Turut disediakan adalah pelbagai citarasa kulinari yang unik, merangkumi restoran dengan pilihan tempat duduk terbuka (al fresco), rantaian restoran makanan segera yang ternama dan juga jenama makanan kasual.
Fasa pengembangan bakal menambahkan sebanyak 1,800 tempat letak kereta kepada 2,500 unit sedia ada. Dengan adanya 4,300 tempat letak kereta nanti, pemandu yang berkunjung ke pusat membeli-belah ini dapat menjimatkan masa dan meletak kereta dengan mudah. Akses yang mudah dari tempat letak kereta ke bangunan pusat membeli-belah juga akan meningkatkan kepuasan para pengunjung di sana kelak.
Sebahagian daripada jutaan pelawat ke Pusat Konvensyen Setia City juga telah berkunjung ke Setia City Mall sepanjang tahun. Sementara itu, komuniti yang berhampiran seperti NIH (National Institute of Health), pejabat-pejabat S.P. Setia, bangunan Top Glove, Tenby dan Sekolah Antarabangsa Peninsular turut menyumbang kepada jumlah bilangan pengunjung ke pusat membeli-belah tersebut.
Maklumat lanjut tentang Setia City Mall boleh didapati di www.setiacitymall.com.
Comments
Post a Comment