RW GENTING BAWAKAN KECERIAAN KRISMAS KEPADA 300 KANAK-KANAK



Krismas bukan sekadar meraikan kegembiraan dan keriangan; ia juga adalah masa untuk memberi. Tanggal 9 Disember 2019, seramai 300 kanak-kanak kurang bernasib baik daripada 10 rumah kebajikan dirai pada ketinggian 6,000 kaki di atas paras laut di Resorts World Genting sempena Krismas. 

Kanak-kanak tersebut disambut mesra di Restoran Coffee Terrace, Genting Grand, selepas melalui perjalanan menyeronokkan ketika menuju ke puncak. Kawasan restoran juga telah berubah menjadi alam ajaib bagi meraikan kedatangan kanak-kanak itu. Awam putih gebu pelbagai saiz memenuhi setiap ruang disulam belon-belon berwarna perak, putih dan biru untuk membangkitkan lagi suasana. Santa Claus juga turut kelihatan pada acara itu beramah mesra dengan kanak-kanak terlibat. Ms Katherine Chew, Naib Presiden Komunikasi dan Perhubungan Awam Resorts World Genting menjadi tuan rumah acara itu dan dibantu para kakitangan dan sukarelawan. 

Tembakan konfeti berwarna perak menandakan permulaan parti dan kanak-kanak itu terus dijamu dengan makan tengah hari tradisional Krismas. Kesemua kanak-kanak itu dibawakan daripada 10 rumah kebajikan iaitu Persatuan Insan Istimewa Cheras, Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Insan, Good Samaritan Home, Sai Pandian Orphanage Children Home, Pusat Jahaan Bribuan Kasih, Lighthouse Children Welfare Home Association Kuala Lumpur & Selangor, Rainbow Home Cheras, Yayasan Sunbeams Home dan Lotus Charity Care Centre. Ruang dewan makan gamat dengan gelak tawa kanak-kanak ketika menjamu selera sambil berbual. Menghiburkan kumpulan kanak-kanak itu adalah pasukan penganjur daripada Resorts World Genting. Mereka menghidupkan suasana Krismas dengan menyanyikan beberapa buah lagu klasik seperti We Wish You A Merry Christmas, Jingle Bells, Feliz Navidad dan Jingle Bell Rocks.  

Katherine Chew berkata, “Sekarang adalah masa Alam Ajaib Musim Sejuk Genting dan terdapat pelbagai perkara untuk dilihat dan dilakukan sempena sambutan Krismas di resort dan kami ingin berkongsi keajaiban ini bersama semua kanak-kanak yang dijemput. Ia adalah satu tanda penghargaan daripada kami dan kami berharap ia mampu memberikan keceriaan, memori indah dan keriangan untuk kanak-kanak ini. 

Menikmati hidangan lazat termasuk meringue, gula-gula kapas dan donat salji, kanak-kanak itu turut dihiburkan dengan persembahan belon dan silap mata. Mereka juga berpeluang naik ke atas pentas untuk bersama-sama melakukan persembahan. Tidak lengkap Krismas tanpa hadiah. Chew telah dijemput naik ke pentas bagi menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak yang sebelum itu telah memilih sendiri hadiah mereka daripada senarai yang disediakan oleh para pekerja Resorts World Genting. Hadiah-hadiah itu termasuk kereta mainan kawalan jauh, blok binaan, set mekap, kasut sukan, skuter dan basikal. Setiap hadiah yang diberikan ternyata memberikan senyuman pada wajah setiap kanak-kanak tersebut. 

Selepas selesai sesi fotografi berkumpulan, masanya tiba untuk mereka bersiar-siar dan menyaksikan pelbagai acara sempena Krismas yang terdapat di Resorts World Genting. Mereka berjalan menuju ke SkyAtrium bagi melihat sendiri keindahan alam ajaib Nutcracker; melintasi pentas SkySymphony dan berdiri di bawah cahaya lampu dengan penuh kagum ketika persembahan Snowball Express bermula. Ia ditayangkan pada skrin setinggi tiga tingkat dengan gahnya. 

Keseronokkan di bahagian dalam sememangnya menghiburkan, tetapi terdapat juga tarikan lain yang boleh dilihat di sebelah luar. Kesemua mereka kemudian menuju ke kawasan luar untuk menikmati cuaca sejuk dan melihat cahaya serta mendengar bunyi-bunyi indah yang datang daripada Alam Ajaib Musim Sejuk Genting di Taman Metro. Kanak-kanak itu berpeluang untuk bersiar-siar di pasar Krismas Eropah dan melihat pokok Krismas kristal. Mereka kemudian berkumpul sebelum bergerak ke destinasi seterusnya. 

Di Snow World, mereka memakai jaket dan sarung tangan untuk bermain salji. Mereka juga berpeluang merasai sendiri membentuk bola salji, menggelongsor menggunakan tuib dan menyorok di dalam iglu. Kawasan seni 3D turut menjadi tumpuan mereka selain mengambil gambar. Ia adalah satu pengalaman yang mereka tidak akan lupakan dan akan diabadikan sepanjang hayat sebelum mereka mengucapkan selamat tinggal dengan senyuman, sorakan dan pelukan.

Comments