"BULAN & PRIA TERHEBAT" BERAKSI DI PAWAGAM 12 MAC 2020



Saban tahun menyaksikan satu demi satu sejarah kejayaan filem tanah air berjaya dicipta dan sekali gus mengubah lanskap industri perfileman tempatan. Terus merancakkan industri, penerbit Nizra Entertainment, Astro Shaw dan Skop Productions bekerjasama dalam menerbitkan filem Bulan & Pria Terhebat (BPT).

Filem bergenre aksi komedi, akan mula menemui penonton di pawagam di Malaysia, Brunei dan Singapura bermula 12 Mac 2020. Satu majlis Pelancaran Filem dan Sidang Media diadakan di Nicsmann 1940s By Lewre, The Starling Mall, Damansara Utama, Petaling Jaya.


Mendapat sentuhan daripada pengarah pecah panggung, Ghaz Abu Bakar, naskhah ini mempertaruhkan gandingan mantap Zahirah Macwilson sebagai Bulan dan Zizan Razak sebagai Haris. Turut membariskan pelakon handal, Khir Rahman, Bell Ngasri, Alif Hadi, Didie Alias, Mimi Ernida, Aprena Menrose, Sein Qudsi, Rashidi Ishak, Marissa Yasmin, Sofia Dendroff, Yus Noor dan penampilan khas Maya Karin.

Ketua Pegawai Eksekutif Nizra Entertainemt, Nik Iruwan Datuk Nik Izani berkata, "Visi utama Nizra Group dalam industri hiburan adalah untuk mentransformasi dan memartabatkan filem seni tanah air bukan hanya di arena tempatan, malah di mata dunia. Kami percaya dengan keupayaan, bakat dan semangat setia kawan pasukan produksi, Nizra Entertainment komited dan berharap untuk menghiburkan penonton dengan produksi berkualiti yang menampilkan keunikan tersendiri."


"Kami sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Astro Shaw dan Skop Production sebagai rakan pemasaran dan pengedaran. Sebagai penerbit yang baru berkecimpung dalam arena filem tempatan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato Yusof Haslam yang banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada saya dan jutaan terima kasih kepada Dato’ Khairul Anwar Salleh, Raja Jastina Arshad serta semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan filem ini," tambah Nik Iruwan Datuk Nik Izani lagi.

Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Arshad berkata, "Astro Shaw teruja dapat bekerjasama buat julung kali dengan penerbit Nizra Entertainment dan penerbit Skop Productions dalam mempersembahkan filem ini. Sejajar dengan perkembangan positif industri filem tanah air, Astro Shaw terus terbuka untuk berganding bersama penerbit baru serta lama demi memartabatkan filem Malaysia. Menerusi gabungan idea-idea baru, kami optimis ia mampu menampilkan naskhah yang segar untuk tontonan peminat dan penonton. BPT berbeza dengan filem aksi lain di mana ia mengangkat dan meletakkan watak wanita sebagai subjek penceritaan. Jadi, kami telah merangka aktiviti pemasaran yang seiring dengan filem."

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Skop Productions, Datuk Yusof Haslam menyifatkan kerjasama ini terjalin bagi usaha untuk meningkatkan kualiti filem tempatan. "Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan penerbit Nizra Entertainment & Astro Shaw. Harapan kami agar hubungan baik ini berterusan bagi tahun-tahun yang akan datang demi kepentingan perkembangan industri perfileman Malaysia. Kami juga menjangkakan filem BPT mampu menjadi perubahan arus perfileman negara dalam memenuhi selera penonton generasi baru."

BPT mengisahkan tentang Bulan, pelatih di dalam pasukan tentera khas Indonesia menyeludup masuk ke dalam sindiket pemerdagangan manusia bagi mencari adiknya, Melati yang telah diperdaya dan dibawa ke Malaysia untuk dijadikan gadis liburan. Bulan bertemu Haris, seorang pemandu e-hailing yang prihatin dan sudi membantu Bulan mendapatkan kembali adiknya dari genggaman bapa ayam, Agus dan ketuanya, Ricky. Ricky mengarahkan Tony, seorang pembunuh upahan untuk menghapuskan Bulan dan Haris.



Filem ini turut diiringi dengan lagu tema bertajuk ‘Roulette’, nyanyian Akim & The Majistret. Lagu berentak rancak ini dihasilkan oleh Hang Nadim, Gjie, Beby dan lirik oleh Hang Nadim.


Poster rasmi filem ini telah pun dilancarkan di platform digital Nizra Entertainment, Astro Shaw, Skop Productions dan akaun media sosial barisan pelakon pada 10 Februari lalu.

Manakala, treler rasmi berdurasi 1 minit 34 saat telah dipertontonkan secara eksklusif di program hiburan popular HLive pada 12 Februari lalu.




Layari laman sosial Facebook, Twitter, Instagram serta YouTube Nizra Entertainment, Astro Shaw dan Skop Productions untuk berita dan informasi terkini. Nantikan filem BPT yang akan menemui para penonton melalui pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei mulai 12 Mac 2020.

Pengguna laman sosial boleh menggunakan tanda pagar #BulanDanPriaTerhebat #AdaApaDenganBulan bagi berkongsi ulasan tentang filem ini.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING