"I CAN SEE YOUR VOICE" MUSIM 3 PERKENAL FORMAT BAHARU

(Dari Kiri), Mark Adam, Sean LJE, Jihan Muse, Encik Johan Ishak (Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad), Yusry Abdul Halim & Shuk Sahar

"Penyanyi sebenar atau penyamar bersuara sumbang?" "Sila perdengarkan suara sebenar anda!" Debaran menunggu pendedahan identiti sebenar penyanyi misteri dan apakah reaksi artis jemputan dan panel penyiasat di penghujung program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) sudah pasti tidak asing lagi buat peminat program hiburan TV nombor satu di Malaysia. 

Diadaptasi daripada program hiburan popular Korea Selatan, I Can See Your Voice Malaysia Musim 3 (ICSVYMY3) bakal menceriakan hujung minggu anda bermula 16 Februari 2020, setiap hari Ahad dari pukul 9.00 - 10.30 malam di TV3 dan strim dalam definisi tinggi di laman sesawang www.tonton.com.my

Menurut Encik Johan Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, “Sejak diperkenalkan, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) telah menerima sambutan yang sangat positif termasuklah dari platform media sosial. Musim yang lalu mencatatkan rating terkumpul untuk kesemua episod ICSYVMY Musim 2 berjumlah 11.4 juta penonton (sumber: Nielsen Audience Measurement). Manakala tontonan di platform digital YouTube TV3 Malaysia dan YouTube TV9 Malaysia pula berjaya meraih jumlah tontonan sebanyak 62.5 juta.”

“Uniknya program ini, kami bukan saja mahukan penyanyi sebenar tetapi kami juga mahukan penyanyi yang bersuara sumbang yang pandai menyamar (penyamar) untuk menguji para selebriti popular yang bertandang ke studio ICSYVMY. Populariti dan keunikan format ICSYVMY terbukti berjaya menarik minat orang ramai yang enggan melepaskan peluang untuk sama-sama menjayakan program ini. Oleh itu, kami berharap musim baharu ini akan terus mendapat sambutan positif dan menjadi sebuah program hiburan tontonan ramai di hujung minggu.” Tambah Encik Johan lagi. 

ICSYVMY menampilkan Oppo sebagai penaja bersama untuk kali kedua dalam musim ketiga ini, “Oppo Reno2, melangkaui imaginasi” serta mengekalkan pasangan hos dari musim lalu iaitu Shuk Sahar dan Sean LJE. Lebih mengujakan, Yusry Abdul Halim, seorang penggiat seni yang tidak asing lagi di industri seni telah dilamar untuk menyertai Jihan Muse dan Mark Adam sebagai panel penyiasat suara sumbang sepanjang siaran 10 episod dan 1 episod khas. Setiap episod, seorang artis jemputan dan dua orang penyiasat jemputan akan memeriahkan lagi suasana di studio ICSYVMY. Tugas para penyiasat bertujuan membantu artis jemputan mengenal pasti siapakah penyanyi misteri suara sumbang dalam kalangan penyanyi misteri yang ditampilkan. 

Antara artis jemputan yang menghiasi ICSYVMY Musim 3 ialah Sham Visa, Stacy, Ismail Izzani, Siti Nordiana, Erra Fazira, Dato' Hattan, Akim Ahmad, MK, Shila Amzah dan Sufian Suhaimi. Selain itu, selebriti popular tanah air seperti Mira Filzah, Ropie, Kamal Adli, Nabila Huda, Azad Jasmin, Eira Syazira dan Rozita Che’ Wan turut dijemput sebagai panel penyiasat suara sumbang.

'Susahnya nak buat keputusan, info tak cukup…' Barangkali inilah keluhan daripada artis-artis jemputan yang gagal mengenal pasti penyanyi sebenar untuk berduet di pusingan akhir. Kali ini, ICSYVMY Musim 3 memperkenalkan pembaharuan dalam format permainan. Lebih banyak info yang akan diberikan. Namun, adakah ia bertujuan untuk membantu atau lebih mengelirukan artis jemputan dan panel penyiasat suara sumbang? Anda harus saksikan sendiri untuk mengetahui jawapannya! 

Setiap episod, 6 penyanyi misteri akan diperkenalkan. Artis jemputan perlu menyingkirkan penyanyi misteri yang telah dikenal pasti sebagai penyamar bersuara sumbang di setiap pusingan. 

Terdapat empat pusingan dalam ICSYVMY Musim 3:

Pertama
6 penyanyi misteri diberikan 2 identiti iaitu penyanyi sebenar dan penyamar yang mengandungi bayangan untuk membantu artis jemputan mengenal pasti siapakah penyamar. 
1 penyanyi misteri akan disingkirkan dalam pusingan pertama. 
Kedua
5 penyanyi misteri akan melakukan persembahan secara lip sync. 
2 suara berbeza akan diperdengarkan iaitu nyanyian yang merdu dan sumbang menerusi persembahan ini. Artis jemputan perlu mengenal pasti dan menyingkirkan 2 penyanyi misteri di dalam pusingan ini. 
Ketiga
Maklumat berkaitan dengan 3 penyanyi misteri akan diberikan. Artis jemputan hanya boleh memilih 1 antara 3 pilihan yang diberikan bagi setiap penyanyi misteri. Setiap pilihan hanya boleh digunakan sekali saja, bermakna pilihan yang sama tidak boleh diulangi pada penyanyi misteri seterusnya dalam pusingan ini.
  1. Lagu yang berkaitan dengan penyanyi misteri 
  2. Maklumat tambahan yang menunjukkan penyanyi misteri ini ialah penyanyi sebenar. 
  3. Penyanyi misteri diperiksa secara dekat oleh artis jemputan.
1 penyanyi misteri akan disingkirkan. 
Keempat
Artis jemputan perlu memilih pasangan duetnya antara 2 penyanyi misteri di pusingan penentuan ini. Beliau boleh merujuk kepada pendapat panel penyiasat suara sumbang dan undian penonton studio.

Di penghujung program, sekiranya penyanyi misteri itu seorang penyamar suara sumbang, beliau akan membawa pulang hadiah wang tunai RM 3,000.00 (RINGGIT MALAYSIA TIGA RIBU). Jikalau beliau ialah penyanyi sebenar, penyanyi misteri tersebut akan merebut peluang bersaing dengan penyanyi-penyanyi sebenar yang lain untuk menjadi artis di bawah naungan Monkey Bone dan Warner Music serta layak untuk merakamkan sebuah single. 

Penangan hebat program ICSYVMY dan kejayaan Mu’izz Zulqarnain iaitu Juara Showcase ICSYVMY Musim 2, yang telah melancarkan sebuah single bertajuk “Andai Nanti” berserta muzik video telah mendorong muda-mudi untuk mencuba nasib dalam musim ketiga. Sambutan luar biasa yang tidak dijangka menyaksikan hampir 3,000 peserta telah hadir dan mendaftar pada hari pertama ketika berlangsungnya sesi uji bakat musim 3 pada bulan Oktober 2019.

ICSYVMY 3 menampilkan Oppo sebagai penaja bersama, “Oppo Reno2, melangkaui imaginasi”, disokong oleh Hot FM sebagai radio rasmi, manakala xtra, Oh Bulan! dan Senang Terhibur ialah rakan digital. Kru penerbitan ICSYVMY 3 diketuai oleh Mas Ayu Haji Ali sebagai penerbit eksekutif dan Lucent Chong Kien Wen sebagai penerbit dari Primeworks Studios. 


Berhibur dengan pelbagai gelagat dan kejutan dalam ICSYVMY 3 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam bermula 16 Februari 2020 di TV3 dan strim dalam definisi tinggi di laman sesawang www.tonton.com.my . Gunakan tanda pagar #ICSYVMY dalam merancakkan perbualan di platform media sosial. 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA