ASTRO BAKAL SAJIKAN LEBIH BANYAK PROGRAM BERFORMAT 4K UHD
Astro dengan berbesar hati mengumumkan yang ia sekali lagi berjaya mengorak langkah ke hadapan sekaligus melakar sejarah membanggakan dalam dunia penyiaran apabila muncul sebagai satu-satunya syarikat penyiar yang menawarkan siaran kandungan televisyen tempatan pertama di Malaysia dalam format resolusi 4K UHD menerusi penganjuran ‘Anugerah MeleTOP ERA 2020’ (AME 2020).
Untuk penganjuran tahun ketujuh ini, AME 2020 dijangka bakal menarik 4 juta peminat dan mereka akan disajikan dengan persembahan dan hiburan terbaik oleh barisan selebriti kesayangan tanah air menerusi siaran berkualiti hebat dengan paparan visual yang lebih menakjubkan dalam versi 4K UHD, secara langsung pada 12 April ini.
Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, “Sebelum ini, kami telah memperkenalkan pelbagai saluran 4K UHD yang memberi tumpuan khusus kepada filem-filem pecah panggung Hollywood dan acara-acara sukan terbesar dunia, yang mana rata-rata menerima respon positif dari penonton. Kami kini merancang untuk melahirkan lebih banyak program ‘signatures’ tempatan atau program-program berbentuk realiti dalam format resolusi 4K UHD. ‘AME 2020’ menjadi taruhan pertama Astro dalam membawakan program televisyen yang bersiaran secara langsung menggunakan teknologi format 4K UHD. Majlis penganjuran acara berskala besar dan berprestij seperti AME ini dilihat sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan pengalaman menonton yang dilengkapi dengan ciri teknologi terbaharu kepada para pelanggan. Ini kerana program tersebut bukan sahaja melibatkan barisan artis terkemuka dan selebriti media sosial yang cukup berpengaruh dengan bilangan pengikut yang besar, malah turut disaksikan oleh jutaan peminat di kesemua rangkaian termasuklah platform televisyen, online dan acara lapangan. Harapan kami agar penganjuran AME 2020 bakal menjadi sebuah lagi testimoni hebat dalam usaha mengangkat dan meraikan bakat dan karya seni hiburan terbaik di Malaysia merangkumi cabang filem, muzik dan televisyen - segalanya kini lebih jelas menerusi paparan format resolusi 4K UHD!
Kami dengan ini mengalu-alukan kehadiran rakan niaga dan penaja untuk turut sama melakar sejarah baharu dalam dunia penyiaran di Malaysia.
Astro akan berusaha untuk terus menyajikan lebih banyak program-program berbentuk 4K UHD – selain menerusi rancangan tempatan popular, kami akan turut memberi tumpuan kepada acara perlumbaan Formula 1 (F1), memperbanyakkan siaran perlawanan Liga Perdana, menyiarkan kesemua 51 perlawanan UEFA Euro 2020 dan filem-filem pecah panggung terhebat Hollywood. Rancangan seterusnya adalah untuk menawarkan siaran 4K UHD di platform on demand pula.”
Penganjuran ‘AME 2020’ dalam versi 4K UHD bakal menjadi sebuah testimoni ulung yang mengesahkan keupayaan produksi Astro dalam membuat peralihan atau transisi format sedia ada ke satu versi lebih tinggi iaitu 4K.
Ini merupakan langkah penting dari aspek teknologi termasuklah unit Kawalan Pengeluaran Mudah Alih Native 4K, yang mana pada masa yang sama membuka peluang kepada pekerja di bahagian teknikal meningkatkan kemahiran masing-masing, dan terus kekal meletakkan Astro di posisi hadapan sebagai perintis industri di negara ini, mahupun di rantau sekitarnya.
4K UHD meningkatkan pengalaman tontonan ke satu dimensi yang lebih hebat dan menawarkan definisi warna yang amat menakjubkan, dengan 4 kali lebih kejelasan. Menerusi 4K UHD, paparan warna di kaca televisyen lebih terang dan meningkatkan ketajaman resolusi HDTV kepada empat kali ganda, menjadikan butiran lebih jelas serta mempunyai lebih kepelbagaian dalam palet warna.
‘AME 2020’ yang akan disiarkan dalam format paparan lapan juta piksel dan diapit dengan elemen-elemen lain yang menyokongnya, kejelasan paparan akan menjadi sangat hebat sehinggakan anda boleh melihat sendiri ekspresi atau momen terperinci setiap pemenang pada malam itu kelak.
Comments
Post a Comment