BUKU "CONQUERING EVEREST: DO OR DIE MISSION" KINI DI PASARAN



Buku berjudul “Conquering Everest: Do or Die Mission” adalah naskhah berbahasa Inggeris kedua terbitan Kasi Terbit PLT, selepas buku pertamanya iaitu “Sublet: Make Money Without Buying House” bertema hartanah karya saudara Syahman Abu Hasan yang mula dipasarkan pada awal tahun ini. 

Buku ini adalah garapan kisah benar yang ditulis dalam bentuk kronologi tentang usaha saudara Azim Afif dan sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selama lebih enam tahun menempuhi pahit manis bagi menawan puncak gunung tertinggi di dunia, Everest. Projek ini adalah gabungan kerjasama kumpulan pendaki dengan pihak universiti dan bantuan dana awam. 


Selaku penulis buku dan juga ketua pasukan ekspedisi ini, beliau berkongsi kisah dari sudut pandang dan pengalaman melalui misi dengan secara lengkap serta penuh informasi. Tulisan yang santai dan mudah difahami membuatkan pembaca berasa seolah-olah berada di tempat penulis semasa pengembaraan berlaku. 

Pelbagai cabaran dilalui oleh mereka dalam tempoh sebelum, ketika dan sesudah pendakian gunung setinggi 8,848 meter itu. Antaranya adalah kesukaran pencarian dana, pembentukan pasukan yang mantap, latihan yang intensif, memastikan kesihatan yang optimum, perubahan peraturan pendakian dan lain-lain halangan yang mereka hadapi, turut dimuatkan dengan teliti dalam buku ini. 


Lebih menarik, tiga cubaan pendakian yang dilalui telah menguji keupayaan dan kemahiran kumpulan ini dalam membuat keputusan dengan lebih pantas serta efektif. Cubaan pertama melalui laluan Nepal pada tahun 2014 telah menyaksikan berlakunya runtuhan salji di pertengahan perjalanan yang mengakibatkan 16 kematian. Ekoran kejadian itu, kerajaan Nepal menutup laluan ke puncak dan memaksa semua ekspedisi dibatalkan. 

Mereka kembali ke tanahair dengan kehampaan dan bukan sahaja menerima pelbagai komen positif malahan sebaliknya. Namun, setiap kata negatif ditukarkan menjadi punca motivasi bagi mereka untuk terus membuat persediaan bagi cubaan seterusnya. Ekspedisi ke Cho Oyu Peak, gunung keenam tertinggi di dunia yang terletak di Tibet, dirancang dan dilaksanakan pada tahun sama. Kejayaan menawan puncak yang digelar “Turquoise Goddess (Dewi Biru Firus)” itu menambah keyakinan mereka untuk mencuba kali kedua menakluk Everest, pada tahun berikutnya. 


Walau bagaimanapun, cubaan pada tahun 2015, telah memberi pengalaman luar biasa kepada penulis dan kumpulan, apabila mereka terlibat secara langsung dengan kejadian gegaran gempa bumi di pergunungan itu. Detik cemas yang dilalui, dikatakan penentu antara hidup dan mati bagi mereka ketika itu. Pihak kerajaan Nepal, sekali lagi menutup laluan ke Everest dan misi terpaksa ditunda buat kali kedua. 

Kembalinya ke Malaysia, lebih banyak kata-kata negatif diterima supaya misi ini dilupakan. Penulis dan dua rakan yang tinggal menguatkan semangat dan membuat persediaan sekali lagi. Pengalaman mengajar mereka untuk lebih bijak membuat perancangan. Pada tahun 2016, peluang terakhir untuk menjayakan ekspedisi ini diambil sepenuhnya dengan keputusan menukar pendakian melalui laluan Tibet. Akhirnya, puncak Everest, yang digelar Qomolangma dalam bahasa tempatan itu, berjaya ditakluk! 

Sesungguhnya, sokongan yang diberikan oleh pihak universiti, kerajaan, swasta dan orang awam bagi menjayakan misi ini turut dinukilkan oleh penulis sebagai menghargai peranan individu dan institusi di luar sana yang memberi peluang dan ruang bagi anak muda sepertinya untuk merealisasikan impian. 

Selain melunaskan keinginan untuk mengharumkan nama negara Malaysia ke peringkat dunia, penulis percaya merekodkan ekspedisi ini dalam bentuk naskhah juga adalah satu usahanya bagi menyemarakkan semangat anak muda negara masa kini. Ia juga boleh menjadi satu motivasi untuk mereka supaya tidak mudah berputus asa dan lebih bersungguh-sungguh untuk melakukan sebarang usaha yang diingini walau perlu mengharungi suasana kekurangan serta cabaran. 


Buku setebal 240 muka surat ini dijual dengan harga RM35. Pembelian 500 pertama akan dihadiahkan sekeping poskad percuma edisi terhad sempena pelancaran.

Sebarang pertanyaan dan pembelian boleh dibuat dengan menghubungi Facebook atau di talian penulis, Azim Afif (0175897677),Pengurus Penulis, Puan Anis (0194818850) dan Pengarah Operasi Kasi Terbit, Puan Rohaniah Noor (0123547636).

Comments

Popular posts from this blog

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!