“JOM BALIK RAYA” ANGKAT DIALEK NOGORI, GANDINGAN EBBY YUS, USOP GAHAI & FUAD NASIR
Suasana raya tahun ini pastinya lebih meriah dengan gabungan 'otai' dan bakat baru! Pelawak legenda, Ebby Yus, menyuntik elemen segar dalam dunia muzik apabila bergabung suara dengan Usop Gahai dan Fuad Nasir menerusi lagu raya terbaharu, 'Jom Balik Raya'. Satu kolaborasi rentas generasi yang wajib ada dalam playlist anda!
Lagu ciptaan komposer Pakya ini lahir daripada idea asal Fuad Nasir dan mendapat sokongan penuh daripada Luncai Emas selaku pengedar digital serta pentadbir hakcipta. Menariknya, projek ini turut menyatukan semula hubungan “cikgu dan murid” kerana Ebby Yus pernah menjadi tenaga pengajar kepada Usop dan Fuad ketika mereka menyertai program Mencari Sepahtu Yang Hilang.
Pakya mendedahkan sisi berbeza Ebby Yus yang jarang diketahui ramai – kemampuan vokalnya yang merdu. Ebby sendiri mengakui keterujaan kerana dapat berganding dengan dua anak jati Negeri Sembilan, sekali gus mengangkat semula dialek “Nogori” yang semakin jarang diketengahkan dalam industri muzik.
Lirik lagu ini diolah secara kolektif oleh ketiga-tiga artis, dengan sentuhan humor, nostalgia dan mesej nasihat ringan. Fuad Nasir, yang dikenali sebagai content creator di TikTok, menyifatkan peluang bekerjasama dengan Ebby Yus sebagai penghormatan besar, manakala Usop Gahai pula menekankan inspirasi lirik daripada ragam perantau yang rindu kampung halaman.
“Harapan saya agar lagu ini menjadi siulan semua golongan dan memberi peringatan kepada anak-anak supaya tidak melupakan ibu bapa di kampung,” ujar Ebby Yus penuh harapan.
“Jom Balik Raya” bukan sekadar lagu bermusim, tetapi simbolik kepada kemenangan dan kegembiraan selepas sebulan berpuasa. Video muzik rasmi akan dilancarkan di YouTube pada 6 Mac, manakala versi audio boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 13 Mac.
Aidilfitri kali ini dijanjikan lebih bermakna dengan kehangatan dialek Nogori dan semangat pulang beraya bersama keluarga.
.jpg)
Comments
Post a Comment