COVID-19: AIA BERI BANTUAN KEPADA PETUGAS KESIHATAN BARISAN DEPAN
AIA Malaysia hari ini mengumumkan tawaran bantuan kewangan kepada semua doktor, jururawat dan kakitangan hospital yang berkhidmat di hospital-hospital rujukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terlibat dalam pemeriksaan dan rawatan pesakit COVID-19 di Malaysia. Tawaran ini adalah sebagai tanda penghargaan AIA atas pengorbanan dan sumbangan yang diberikan oleh komuniti perubatan dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai petugas barisan hadapan bagi mengekang penularan wabak tersebut.
Bantuan kewangan yang ditawarkan merangkumi manfaat-manfaat berikut:
- Elaun Kesulitan: Sekiranya mana-mana doktor, jururawat atau kakitangan hospital disahkan positif COVID-19 akibat menjalankan tugas, mereka akan menerima elaun kesulitan sebanyak RM1,000 yang dibayar sekali sahaja.
- Bantuan Ihsan: Sekiranya berlaku kematian kepada mana-mana doktor, jururawat atau kakitangan hospital akibat COVID-19, pembayaran sekaligus sebanyak RM10,000 akan dibayar kepada waris mereka.
Ben Ng, Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd., berkata: “Usaha gigih dan dedikasi yang ditunjukkan para doktor, jururawat dan kakitangan hospital negara kita adalah amat mengharukan dan dikagumi. Wira-wira negara ini merupakan barisan pertahanan pertama dalam usaha kita untuk memerangi penularan COVID-19 dan kami berharap melalui sumbangan ini, kami dapat membantu memberi ketenangan fikiran kepada mereka serta ahli keluarga mereka dalam perjuangan menentang wabak ini.
“Kami menghargai dan berterima kasih kepada semua doktor, jururawat dan kakitangan hospital atas pengorbanan mereka sepanjang tempoh sukar ini. Sebagai rakyat Malaysia, kita turut bersatu mengharungi cabaran ini dan berharap agar kita dapat mengatasinya bersama-sama,” tambah beliau.
Bantuan kewangan yang ditawarkan kepada para doktor, jururawat dan kakitangan hospital bermula dari 1 Mac 2020 hingga 30 Jun 2020, atau apabila jumlah dana sebanyak RM2 juta telah diagihkan sepenuhnya (yang mana lebih awal), tanpa sebarang tempoh menunggu.
Sumbangan ini merupakan susulan daripada pengumumuan awal AIA untuk memberikan perlindungan insurans dan takaful tambahan secara percuma kepada para pelanggan, kakitangan dan Perancang Hayat AIA. Perlindungan tersebut juga menyediakan manfaat kemasukan hospital dan manfaat kematian yang merupakan sebahagian daripada komitmen AIA dalam menjaga kebajikan para pelanggan, kakitangan dan tenaga agensinya agar mereka kekal dilindungi.
Untuk maklumat lanjut mengenai bantuan kewangan ini, sila layari www.aia.com.my/en/aiacares.html.
Comments
Post a Comment