IMPIAN RAPATKAN JURANG KETIDAKSAMAAN ANTARA BELIA



3M, syarikat sains bertaraf global telah melancarkan program IMPIAN menerusi kerjasama yang dijalin dengan sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO), iaitu Vision 2 Transform (V2T). IMPIAN bermatlamat untuk mentransformasikan kehidupan para belia dan kanak-kanak berisiko yang membesar di dalam institusi-institusi penjagaan kanak-kanak dengan melengkapkan diri mereka dengan ilmu keusahawanan dan kewangan, serta sikap yang betul agar mereka dapat mengintegrasikan diri masing-masing dalam kalangan masyarakat dan berupaya untuk hidup berdikari setelah keluar dari institusi masing-masing. 

Program ini didukung oleh geran yang bernilai RM 197,075.00 daripada 3Mgives iaitu cabang unit pelaburan sosial milik syarikat 3M, dan menyasarkan golongan belia berumur antara 16 sehingga 18 tahun yang berasal dari rumah-rumah anak yatim serta organisasi kebajikan. 3Mgives mendukung inisiatif yang memfokuskan pendidikan, alam sekitar dan masyarakat yang sejahtera untuk menaik taraf kehidupan serta menawarkan solusi-solusi yang dapat menangani cabaran utama yang dihadapi secara global. 

Program IMPIAN bermatlamat untuk memberikan bimbingan yang praktikal digandingkan dengan ilmu pengetahuan dunia sebenar serta pembangunan kendiri terhadap para remaja yang berisiko. 

Raymond Gabriel, Naib Presiden V2T berkata, “Golongan belia yang berisiko serta kanak-kanak yang dibesarkan melalui sesebuah institusi kebajikan sering kali dimomok-momokkan dengan stigma yang meremehkan keupayaan mereka untuk mengecapi kejayaan dalam kehidupan. Lebih buruk, ada antara mereka yang menjadi mangsa masalah sosial serta kegiatan jenayah. Oleh itu, kami ingin melunturkan perspektif negatif ini dan membuktikan bahawa jika diberikan peluang yang betul, golongan belia ini mampu mencipta kejayaan dan berdiri sama tinggi dengan individu-individu sebaya mereka. Program seperti IMPIAN dapat memberikan mereka peluang untuk mencapai matlamat ini.” 

“Menerusi usaha sama yang dijalin antara 3M dan V2T, inisiatif ini melambangkan jaringan kerjasama yang utuh antara sektor awam dan swasta, termasuk NGO untuk mencapai matlamat-matlamat global seperti yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), melalui objektif utama program yang menyasar untuk membekalkan pendidikan berkualiti kepada para benefisiari serta merapatkan jurang ketidaksamaan dalam masyarakat,” tambah GT Lim, Pengurus Besar 3M Malaysia. 

Menurut GT Lim, Pengurus Besar bagi 3M Malaysia, belia-belia ini mempunyai banyak potensi dalam diri mereka sama seperti insan-insan lain yang lebih bernasib baik. “Tiada insan yang lebih bernilai berbanding insan yang lain. Di 3M, kami percaya bahawa setiap belia layak diberi peluang dan atas sebab ini, kami telah memperkenalkan IMPIAN serta memilih untuk berkolaborasi dengan V2T. Kami ingin melengkapi kanak-kanak dan belia yang berisiko agar mereka dapat bersiap sedia dari segi mental dalam usaha untuk beralih dari sesebuah institusi ke dalam masyarakat. Kami juga ingin memperkasakan belia berisiko dengan ilmu keusahawanan serta kewangan yang merupakan sebahagian daripada kemahiran hidup yang penting agar mereka dapat hidup berdikari setelah mereka keluar dari institusi berkenaan,” ujar beliau. 

Statistik menunjukkan bahawa kanak-kanak dan remaja yang diinstitusi lebih terdedah kepada masalah kesihatan mental seperti stres dan kemurungan, serta lebih mudah terjebak dalam tingkah laku berisiko, iaitu tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding individu sebaya. Di Malaysia, sekurang-kurangnya 15,000 kanak-kanak dan remaja menjalani kehidupan di dalam institusi swasta serta kerajaan. Lebih daripada 80% kanak-kanak dan remaja ini bukan berstatus anak yatim, dan lazimnya kurang diberikan penjagaan secukupnya serta mudah terpengaruh.[1]

“Angka ini benar-benar membimbangkan, dan ia berpunca daripada beberapa sebab termasuk kehamilan yang tidak diinginkan, kesukaran yang dialami oleh ibu bapa tunggal, serta belia yang terpaksa melarikan diri daripada penderaan. Namun, sebab yang paling utama ialah kemiskinan. Menerusi IMPIAN, kami ingin memberikan peluang yang saksama kepada para belia yang berisiko agar mereka dapat hidup berdikari dan membina keyakinan untuk menjadi agen perubahan demi masa hadapan. Kami percaya bahawa setiap individu di Malaysia tanpa mengira latar belakang, bangsa, atau jumlah pendapatan mereka, berhak diberikan peluang untuk mengubah kehidupan masing-masing, dan V2T berbangga untuk bekerjasama dengan 3M untuk melangsungkan program ini bagi memberi impak kepada golongan belia yang berisiko,” simpul Raymond Gabriel, Naib Presiden V2T. 

IMPIAN akan menyaksikan 3M dan V2T berganding bahu untuk membentuk asas bagi keseluruhan program tersebut yang meliputi pemilihan 40 orang remaja. Seusai proses pemilihan dibuat, para peserta akan diberikan latihan dan bimbingan yang dapat membekalkan mereka keyakinan, ilmu keusahawanan dan kewangan, serta membentuk jati diri dan matlamat hidup mereka.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING