KEJOHANAN BADMINTON REMAJA BBSAP TARIK LEBIH 250 PESERTA



Sri Manjung, Perak, 14 Mac 2020 - Legenda badminton negara, Datuk (Dr) Haji Misbun Dato’ Haji Sidek telah merasmikan Kejohanan Badminton Remaja Terbuka Bandar Baru Setia Awan Perdana di Arena Badminton Manjung yang julung-julung kalinya diadakan pada 14 Mac lalu.

Kejohanan tersebut dibawakan oleh Bandar Baru Setia Awan Perdana, sebuah perbandaran mampu milik yang didirikan oleh Taraf Nusantara Sdn. Bhd., syarikat pemaju terbesar di negeri Perak dengan tujuan utama bagi mencungkil bakat pemain-pemain berpotensi di antara umur 9 hingga 15 tahun terutamanya di Negeri Perak.


Kejohanan ini juga telah berjaya menarik lebih daripada 250 penyertaan dari seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Perak, Kedah dan Terengganu 

Datuk Misbun Sidek mengucapkan terima kasih kepada para ibubapa yang memberi sokongan kepada anak-anaka mereka untuk menyertai kejohanan badminton tersebut. Beliau percaya penganjuran kejohanan badminton seperti Kejohanan Terbuka BBSAP dapat melahirkan lebih ramai bintang sukan badminton bertaraf dunia seperti Datuk Lee Chong Wei.

Menurut Datuk Misbun Sidek Misbun, beliau telah pun merangka satu siri modul latihan khas yang boleh digunakan oleh semua jurulatih termasuk memberi latihan yang selaras kepada pasukan jurulatih negara sebagai satu sumbangan daripada dirinya kepada negara dalam arena sukan badminton. 


“Sudah tiba masanya untuk Malaysia mencari satu formula yang mana semua jurulatih badminton menggunakan modul latihan yang sama sehingga mampu melahirkan bintang dunia. 

"Saya sudah menyediakan satu siri modul latihan yang telah diguna pakai selama ini hingga mampu melahirkan jaguh seperti Datuk Lee Chong Wei dan pemain lain yang mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya. 

Heng Jay Horng, 11, Pemain cilik berpotensi untuk digilap.

Misbun yang baru dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, modul latihan itu merupakan satu 'peninggalan' besar dalam bidang sukan berprestij itu selepas khidmat kejurulatihan beliau berakhir pada satu masa nanti. 

“Saya tidak akan berada di sini selama-lamanya, tetapi modul yang saya sediakan ini boleh digunakan oleh jurulatih lain. 

"Walaupun sampai masa saya tiada lagi, sekurang-kurangnya sumbangan saya ini boleh terus memastikan sukan badminton negara terus mendapat perhatian peminat sukan global,” tambah Misbun lagi. 

Apatah lagi katanya, kemudahan tempat latihan serba moden, Dewan Badminton Misbun Sidek yang terletak di Bandar Baru Setia Awan Perdana, Sri Manjung diyakini dapat menyuntik semangat kesukanan dalam kalangan individu berbakat selepas ia disiapkan sepenuhnya pada tahun depan. 


Pemaju Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP) yang mengambil inisiatif membina dewan yang mempunyai enam gelanggang itu berpotensi menggilap bakat pemain pelapis sekali gus boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa. 

Dalam hal itu, Misbun amat menghargai inisiatif pemaju menggunakan namanya untuk dewan badminton itu dan berharap boleh memberikan sumbangan tenaga dan ilmu kepada anak-anak muda di bandar itu melalui latihan dan juga klinik badminton.

Penghargaan:
Penganjur utama: Taraf Nusantara Sdn. Bhd.
Agensi Perhubungan Awam: Intelectasia Consultancy

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING