AMWAY SEDIAKAN UDARA BERSIH KEPADA PETUGAS BARISAN HADAPAN

(Kiri) Ministry of Health Secretary General Datuk Seri Dr Chen Chaw Min & Mr Mike Duong Managing Director of Malaysia, Singapore and Brunei

AMWAY Malaysia menyahut seruan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan kesihatan petugas kesihatan barisan hadapan terjamin dalam usaha negara mengekang wabak pandemik COVID-19. AMWAY juga ingin memastikan pesakit, ahli keluarga, dan orang awam dapat menikmati udara yang lebih bersih di hospita-hospital kerajaan seluruh negara.

AMWAY Malaysia telah menyerahkan 150 unit penapis udara Atmosphere Air Purifier yang bernilai RM858,600 kepada KKM hari ini untuk diedarkan kepada Unit Kecemasan dan Trauma hospital-hospital awam di Semenanjung Malaysia, Labuan, Sabah dan Sarawak.

Sumbangan kedua ini adalah tambahan kepada sumbangan terdahulu yang diserahkan pada Mac lalu menjadikan jumlah penapis udara yang disumbangkan kepada KKM setakat ini sebanyak 250 unit dengan nilai RM1.4 juta.

Sebanyak 100 unit terdahulu telah diedarkan kepada 11 hospital kerajaan di Selangor pada bulan lalu. Hospital Sungai Buloh yang merupakan salah satu medan perang utama di Malaysia dalam memerangi pandemik COVID-19 ialah penerima pertama Atmosphere Air Purifier pada 17 Mac lalu.

Sebagai tanda penghargaan, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min berkata, "Usaha AMWAY Malaysia dalam menyumbangkan sistem rawatan udara serta respon yang pantas terhadap permintaan Kementerian bagi penambahan unit dalam situasi ini adalah amat bermakna buat Kementerian. Sumbangan pertama telah dihantar ke Sungai Buloh sebagai persiapan bagi krisis COVID-19. Memandangkan sekarang kita telah memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), walaupun petugas kesihatan kita masih bersemangat tinggi , namun kesihatan dan kesejahteraan mereka sentiasa menjadi keutamaan.

"Mereka telah bekerja dalam jangka masa yang panjang di unit kecemasan dan trauma. Bertugas di unit-unit tersebut dalam tempoh masa yang panjang boleh mengurangkan ketahanan mereka terhadap pelbagai penyakit dan jangkitan bakteria, " kata Datuk Seri Dr. Chen.

Encik Mike Duong, Pengarah Urusan AMWAY Malaysia, Singapura dan Brunei berkata: "AMWAY berbesar hati untuk menyokong Kementerian Kesihatan Malaysia dan petugas barisan hadapan dengan bantuan ini sebagai tambahan kepada sumbangan terdahulu pada Mac lalu. Kami amat berbangga dapat membantu negara sekali lagi dalam waktu getir begini dengan bersandarkan teknologi dan kepakaran kami dalam bidang penapisan udara.”

"Melalui penapis udara yang berkualiti tinggi, para petugas kesihatan dapat menghirup udara yang lebih baik dan bersih sekaligus dapat mengurangkan risiko pendedahan kepada jangkitan dalam fasa mencabar dan kritikal untuk mengurangkan penyebaran virus COVID-19 dalam hospital.” 

Penapis udara Atmosphere Air Purifier nirsambungan internet yang disumbangkan kepada KKM mempunyai alat penderia dalaman yang dapat mengubah kelajuan mengikut keadaan dan kualiti udara. Ia dilengkapi penapis HEPA yang mampu membasmi 99.99 peratus zarah udara tercemar yang melalui penapis tersebut, termasuklah debunga, bakteria, hama habuk, virus, asap dan kotoran sebesar 0.009 mikron.

Penapis udara Atmosphere Air Purifier AMWAY juga telah mendapat pengiktirafan dari British Allergy Foundation yang diuji oleh makmal persendirian mengikut protokol yang ditetapkan oleh pakar alergi secara khusus kepada penghidap alergi, asma, sensitiviti tinggi dan alahan. 

"AMWAY Malaysia mempunyai visi yang jelas bagi membantu masyarakat dalam menjalani kehidupan yang lebih baik dan sihat. Para petugas kesihatan memainkan peranan penting dalam memerangi pandemik COVID-19 dan terus merawat pesakit lain pada masa yang sama. Sebagai warga korporat, kami berbesar hati untuk menjalankan tanggungjawab sosial korporat pada masa ini untuk menjamin kesihatan mereka dan rakyat secara umum, " tambah Mike.

Selain daripada hospital-hospital kerajaan, AWMAY Malaysia juga telah menyumbang 25 unit penapis udara kepada cawangan utama Majlis Kanser Kebangsaan (MAKNA) dan 71 unit kepada pusat perlindungan dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan penapis udara setakat ini sebanyak 346 unit dengan jangkaan nilai RM 2 juta.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web: www.amway.my atau ikuti laman Facebook: www.facebook.com/amwaymalaysia.

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA