RYNN LIM TUJUKAN "WIRA HATIKU" KEPADA PETUGAS BARISAN PERTAMA
Penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak Rynn Lim menghasilkan sebuah lagu berbahasa Malaysia berjudul Wira Hatiku sebagai tanda penghormatan kepada petugas-petugas yang mengorbankan masa dan bekerja keras di barisan hadapan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
“Bukan senang mereka menjalankan tugas. Usaha dan jasa mereka memberi saya ilham untuk menulis lirik lagu dan merakamnya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka, Ini mesej saya nak kongsikan dengan rakyat” katanya.
Sejak video ini dimuat naik ke Facebook, ianya telah mendapat perhatian ramai.
Rynn memulakan kerjaya seninya pada tahun 2002 dan mula dikenali apabila lagu-lagu hits ciptaannya dinyanyikan oleh penyanyi Hong Kong, Singapura, Taiwan dan China seperti JJ Lin, Coco Lee, Gigi Leung Wing Kei, Andy Hui, Jordan Chan dan ramai lagi. Bakatnya dalam mencipta lagu-lagu popular membolehkan dia menempa nama sebagai seorang komposer dan pencipta lagu yang mendapat sanjungan tinggi masyarakat seni dalam dan luar negara.
Tidak lama kemudian, Rynn memperluaskan bakatnya melalui album sulung yang berjudul “1st’, ini secara tidak langsung membuka peluang keemasan kepadanya untuk melebarkan sayap seninya hingga berjaya memenangi anugerah bagi kategori Artis Baru Terbaik (Lelaki) pada majlis berprestij The 17th Taiwan Golden Melody Awards, sekaligus menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama meraih gelaran itu.
Pada tahun 2007, Rynn bergabung tenaga dengan Sheila Majid menghasilkan satu lagu duet berjudul Melodi. Lagu tersebut dimuatkan dalam album kedua Rynn dan mendapat sambutaan hangat daripada peminat. “Saya berbesar hati kerana dapat menyanyi bersama Kak Sheila. Saya amat menghargai peluang itu.” ujarnya.
Sepanjang kerjayanya bergelar sebagai penyanyi, komposer dan pelakon, Rynn berjaya memenangi banyak anugerah, antara anugerah termasuk penghibur terbaik, persembahan vocal lelaki terbaik, rakaman album terbaik, artis baru terbaik, lagu paling popular dan banyak lagi.
Comments
Post a Comment