IBU BAPA, JAGALAH JANTUNGMU DEMI ANAK-ANAK KECIL TERSAYANG!



Kehilangan ibu bapa yang muda memberikan impak jauh lebih besar berbanding kehilangan ibu bapa yang lebih tua. Bagi seorang kanak-kanak, ini bermaksud kehilangan kasih sayang, kepercayaan dan model peranan ketika usia pembentukan mereka masih lagi kritikal. Begitu juga impak terhadap mata pencarian sekeluarga.

Ini bukanlah satu senario yang baharu. Di Malaysia, penyakit jantung kekal sebagai punca utama kematian dalam kalangan orang dewasa[1]. Kolesterol tinggi, iaitu faktor risiko utama penyakit jantung, menjejaskan 8 juta atau 40% orang dewasa di Malaysia[2]. Dengan peranan, harapan dan tuntutan terhadap ibu bapa yang kian mencabar serta gaya hidup yang serba pantas, tidak hairanlah golongan ibu bapa berhadapan dengan risiko kolesterol tinggi yang semakin meningkat.

“Pilihan gaya hidup yang tidak sihat sudah menjadi norma ibu bapa muda generasi baharu,” kata Dr Beni Rusani, perunding kardiologi di Institut Jantung Negara (IJN). Tabiat makan yang tidak sihat, peningkatan tahap stres, gaya hidup sedentari, dan merokok – sebahagian besarnya disebabkan oleh jadual kerja yang sibuk – mendedahkan ibu bapa muda kepada risiko kolesterol tinggi dan penyakit kronik tidak berjangkit (NCD). “Kronik merupakan kata kunci di sini,” tambahnya yang bermaksud masalah ini merupakan hasil faktor risiko yang terkumpul bertahun-tahun lamanya.

“Penyakit jantung lazimnya dikesan dalam kumpulan usia 50-60 tahun. Namun begitu, NCD bukan penyakit yang berlaku dalam masa sehari, malah ianya berpunca akibat tabiat buruk yang berlarutan selama kira-kira 20 tahun.”

Lebih membimbangkan lagi, pesakit jantung di Malaysia adalah yang termuda berbanding negara-negara lain di Asia Tenggara.

“Ibu bapa kini mempunyai lebih banyak sebab untuk mengambil berat tentang kesihatan jantung dan kolesterol tinggi sejak awal lagi,” katanya.

“Bagi memerangi kolesterol tinggi, sememangnya mencegah adalah lebih baik daripada mengubati,” kata Dr Beni. “Malahan, cara ini sebenarnya lebih murah. Oleh sebab kolesterol tinggi merupakan kesan tabiat buruk jangka panjang, semakin lama diabaikan, semakin sukar untuk dirawat. Ini pula akan menyebabkan kos ubat-ubatan dan rawatan melambung.”

Mungkin ramai yang mengeluh, pencegahan lebih mudah dikatakan daripada dilakukan. “Jika ibu bapa sukar untuk mendapatkan motivasi, lakukanlah demi anak-anak mereka.”

Ini adalah kerana kanak-kanak cenderung untuk meniru tingkah laku ibu bapa mereka. “Dalam erti kata lain, ibu bapa harus menunjukkan teladan yang lebih baik seperti mengamalkan diet yang seimbang dan bersenam secara konsisten supaya menjadi ikutan anak-anak mereka. Dengan cara ini, kita dapat memutuskan kitaran negatif di mana mereka mengulangi tabiat buruk ibu bapa mereka, bahkan sebelum mereka menempuh alam dewasa.”

“Perkara ini tidak lebih daripada akal budi (common sense) dan keupayaan membuat keputusan secara bertanggungjawab – dalam erti kata lain, sifat-sifat keibubapaan yang baik.”

Memutuskan kitaran negatif mungkin kedengaran seperti satu tanggungjawab yang besar, namun Rozanna M Rosly, Ketua Perkhidmatan Dietetik, Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC) percaya perkara itu bermula dengan menambah baik tabiat makan seseorang. “Sebagai rakyat Malaysia, tidak dinafikan selera makan kita memang ‘sihat’, apatah lagi dengan pilihan makanan segera, makan di luar, dan khidmat penghantaran makanan yang semakin berleluasa.”

“Namun, terdapat beberapa perubahan gaya hidup positif berikutan perintah kawalan pergerakan baru-baru ini, seperti amalan memasak di rumah dan peningkatan masa untuk mengeratkan ikatan keluarga. Ini meyakinkan saya bahawa kita sebenarnya mampu menjadikan tabiat makan yang sihat suatu kebiasaan baharu,” katanya.

Menurut Rozanna, diet sihat jantung tidak rumit untuk diamalkan, malahan tidak memerlukan perubahan yang drastik. “Cuma beberapa petua yang sangat mudah, sehinggakan ibu bapa dengan jadual yang padat pun dapat mengamalkannya.”

Mulakan dengan Pinggan Sihat Malaysia, petua yang berdasarkan konsep membahagikan satu pinggan makan kepada tiga bahagian, iaitu ‘Suku-Suku-Separuh’. Suku pertama diisi dengan protein (seperti ikan, ayam, daging dan kekacang), manakala suku kedua diisi dengan karbohidrat (seperti nasi, mi, roti dan bijirin). Separuh yang selebihnya pula terdiri daripada buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Fokus adalah pada yang Separuh, kerana 95% orang dewasa di Malaysia tidak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran seperti yang disyorkan setiap hari,” tegasnya. Buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan serat, vitamin dan mineral. Diet yang tinggi dengan serat makanan dapat membantu mengurangkan risiko NCD termasuk kolesterol tinggi.


Satu lagi penambahan kepada diet yang seimbang, ibu bapa juga boleh mempertimbangkan makanan yang diperkaya dengan sterol tumbuhan. Sterol tumbuhan mempunyai struktur yang serupa dengan kolesterol dan berfungsi mengurangkan penyerapan kolesterol ke dalam darah.

Walaupun boleh didapati secara semula jadi dalam semua tumbuh-tumbuhan, amat sukar untuk seseorang mendapat sterol tumbuhan yang mencukupi untuk mendapatkan kesan penurunan kolesterol daripada diet Malaysia yang biasa. Sterol tumbuhan ditambahkan ke dalam pelbagai produk makanan, termasuk susu yang diperkaya di Malaysia. Kajian menunjukkan pengambilan harian 2 hingga 3 g sterol tumbuhan dapat menurunkan kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) ataupun kolesterol tidak baik setinggi 10%, termasuk mereka yang menghidap kolesterol tinggi[3].

Satu lagi petua berguna ialah ‘pertukaran’ makanan. “Anda pasti terkejut betapa banyaknya pilihan pertukaran makanan yang lebih sihat dalam makanan seharian kita di Malaysia. Peraturan umum petua ini adalah mengurangkan makanan berminyak atau bergoreng, makanan yang tinggi garam, serta memberikan perhatian kepada jumlah pengambilan kalori anda,” jelasnya.

Mengulas tentang tabiat makan tidak sihat yang harus ditinggalkan oleh rakyat Malaysia, Rozanna berkongsi nasihat berikut: Amalkan tabiat snek yang sihat dengan membuat pilihan yang lebih sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Daging yang diproses dan makanan segera juga harus dikurangkan. Berikan perhatian bukan sahaja pada makanan bahkan minuman anda. Pengambilan minuman berkarbonat dan bergula yang berlebihan akan meningkatkan jumlah kalori anda. Malahan menurut kajian terkini, ia juga akan meningkatkan risiko penyakit jantung.

Bak kata pepatah, ‘Kota Rom tidak dibina dalam sehari’, tiada jalan pintas untuk mencapai kesihatan jantung. Bagaimanapun, kedua-dua pakar bersetuju bahawa setiap langkah kecil yang diambil adalah penting, dan ibu bapa harus mula mengubah gaya hidup mereka dan mengamalkan rutin penjagaan kesihatan jantung mereka sekarang, demi menuju kehidupan yang bermakna dengan orang yang tersayang.



[1] Jabatan Statistik Malaysia - Perangkaan Sebab Kematian Malaysia (2019).
[2] Kementerian Kesihatan Malaysia - Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (2019).
[3] Gylling, H. et al (2014). Sterol tumbuhan dan stanol tumbuhan dalam pengurusan dislipidaemia serta pencegahan penyakit kardiovaskular. Aterosklerosis, 232 (2): 346-60.

Comments

Popular Posts