PENARI CILIK KOWACHEE MUNCUL JUARA CERIA MEGASTAR 2020
Penari cilik profesional, Putri Armani atau lebih mesra dengan sapaan Kowachee, 11 tahun, dinobatkan sebagai juara pertandingan bakat realiti Astro, Ceria Megastar 2020! Mempersembahkan tarian lagu Tokyo Drift dan Dhoom secara remix, anak kelahiran Selangor itu membawa pulang wang tunai bernilai RM25,000, sebuah trofi, pingat ‘Star of the Week’, dan baucar bernilai RM1,000 tajaan Legoland.
Program Ceria Megastar 2020 yang disiarkan secara langsung dari Visual Three Studio, Seri Kembangan pada hari Jumaat, 18 Julai itu turut menyaksikan Nurul Maimanah atau Nana, 14 tahun, meraih gelaran naib juara dan membawa pulang RM15,000 dan trofi. Beliau menyampaikan lagu Say Something (A Great Big World ft. Christina Aguilera) dan Roar (Katy Perry).
Seterusnya, membawa pulang RM10,000 berserta trofi di tempat ketiga adalah Adinda Tasya atau Adinda, 15 tahun, yang menerima standing ovation dari juri dan penonton untuk persembahan lagu medley Ku Bersuara (Ernie Zakri) dan Rolling in The Deep (Adele). Manakala di tempat keempat pula adalah penari Fariza Amira atau Ija, 17 tahun yang mempersembahkan tarian lagu remix Work It (Missy Elliot). Beliau membawa pulang wang tunai RM5,000 bersama trofi.
Setiap persembahan peserta dinilai oleh juri tetap Ernie Zakri dan Zizan Razak bersama juri jemputan, Datuk AC Mizal yang mewakili 60 peratus markah dan manakala undian peminat secara dalam talian melengkapi baki 40 peratus. Bagi menyempurnakan lagi persembahan mereka, Datuk Syafinaz Selamat, Alam Wakaka, dan Chubb-E pula bertindak sebagai penasihat persembahan.
Bersiaran selama lapan minggu, Ceria Megastar 2020 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad disiarkan setiap hari Sabtu, jam 9 malam menerusi saluran Astro Ceria HD (611) / Astro Ceria (631) dan secara serentak di Astro Ria HD (104) / Astro Ria (124). Program ini turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO secara percuma bagi pelanggan Astro.
Comments
Post a Comment