PERLINDUNGAN PERJALANAN AIRASIA KINI MERANGKUMI COVID-19

 

Tune Protect telah melancarkan secara rasmi pelan perlindungan perjalanan AirAsia Travel Protection by Tune Protect yang dipertingkatkan untuk pelanggan AirAsia, kini dengan manfaat perlindungan COVID-19. Perlindungan Perjalanan tersebut ditawarkan dalam bentuk pelan Tunggal dan Tahunan untuk disesuaikan dengan kekerapan perjalanan pelanggan, sama ada untuk perjalanan domestik atau antarabangsa.


Pelancaran Perlindungan Perjalanan yang dipertingkatkan ini adalah tepat pada masanya memandangkan perjalanan domestik telah dibenarkan semula dan perbincangan untuk membuka semula sempadan Malaysia kepada negara-negara “zon hijau” telah dimulakan apabila Malaysia memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Penyambungan semula perjalanan dan sektor pelancongan ini selari dengan usaha memacu pemulihan ekonomi negara dan menghidupkan semula industri perjalanan dan pelancongan Malaysia yang tergendala akibat COVID-19.

“Memandangkan AirAsia telah memperkenalkan penerbangan domestik dengan prosedur keselamatan dan kesihatan baharu, kami juga telah menambah beberapa manfaat yang dipertingkatkan untuk Perlindungan Perjalanan yang sedia ada. Ini termasuklah perlindungan COVID-19 bagi menjamin ketenangan pelanggan kami ketika dalam perjalanan,” kata Khoo Ai Lin (“Ai Lin”), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect.

Bermula dengan hanya RM56, Pelan Tahunan Perlindungan Perjalanan menawarkan perlindungan dengan nilai yang terbaik kerana pelanggan akan dilindungi selama setahun (dari tarikh pengaktifan), tanpa mengira kekerapan perjalanan. Bagi pelanggan AirAsia yang telah menebus beberapa penerbangan untuk perjalanan antara 25 Jun 2020 hingga 31 Mac 2021 dengan menggunakan Pas Tanpa Had AirAsia yang baru dilancarkan, inilah peluang mereka untuk mendapatkan Pelan Tahunan Perlindungan Perjalanan bagi memastikan perlindungan yang mudah dan bebas kebimbangan sepanjang tahun. Pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan perlindungan Pelan Tunggal semasa membeli tiket penerbangan AirAsia atau pada bila-bila masa sebelum memulakan perjalanan.

Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia berkata, “Walaupun penerbangan udara masih merupakan jenis pengangkutan yang paling selamat untuk perjalanan, kami menyaksikan peningkatan dalam kesedaran mengenai kepentingan produk Insurans Perjalanan dalam masa beberapa bulan kebelakangan ini melalui saluran jualan kami. Penambahan yang dibuat ini adalah pelengkap yang sesuai untuk pelbagai langkah keselamatan dari hujung-ke-hujung yang telah dilaksanakan untuk pelanggan AirAsia kembali menikmati penerbangan dengan tenang, melindungi pelanggan lebih dari semasa dalam penerbangan. Terdapat peningkatan dalam jumlah perjalanan kini, jadi kami teruja mengalu-alukan pelanggan untuk kembali terbang bersama kami.”

Manfaat Baharu dan Dipertingkatkan

Salah satu ciri unik dalam pelan Perlindungan Perjalanan yang dipertingkatkan ini adalah Elaun Kedukaan COVID-19 yang membayar sejumlah RM5,000/- sekiranya pemegang polisi meninggal dunia kerana dijangkiti COVID-19 semasa dalam perjalanan.

Perlindungan Perjalanan yang dipertingkatkan ini juga melanjutkan perlindungan untuk tiga manfaat sedia ada iaitu Pembatalan Perjalanan, Elaun Harian Hospital dan Lawatan Ihsan.

Manfaat Pembatalan Perjalanan menawarkan pembayaran balik sehingga RM5,000 untuk tiket penerbangan dan pakej perjalanan yang tidak digunakan sehingga RM5,000 untuk perjalanan domestik dan RM10,000 untuk perjalanan antarabangsa sekiranya pemegang polisi tidak dapat menaiki penerbangan yang dijadualkan kerana telah dijangkiti COVID-19. Untuk Pelan Tunggal, manfaat Elaun Harian Hospital membayar sehingga RM1,500 untuk perjalanan domestik dan RM6,000 untuk perjalanan antarabangsa, manakala Pelan Tahunan membayar sehingga RM6,000 untuk perjalanan antarabangsa sekiranya pemegang polisi disahkan positif dan dimasukkan ke hospital selama lebih 24 jam akibat COVID-19 semasa dalam perjalanan. 

Satu lagi cadangan nilai yang unik untuk produk ini adalah penambahan perlindungan Lawatan Ihsan yang membayar balik sehingga RM1,000 untuk perjalanan domestik dan RM5,000 untuk perjalanan antarabangsa bagi penerbangan pergi balik AirAsia yang membolehkan seorang ahli keluarga atau rakan menemani pemegang polisi yang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19.

“Tune Protect memahami keperluan dan kebimbangan pelanggan kerana perjuangan menentang COVID-19 masih belum selesai. Dengan perlindungan tambahan yang ditawarkan dalam Perlindungan Perjalanan kami, pelanggan boleh berlapang dada ketika merancang perjalanan bersama AirAsia,” tambah Ai Lin.

Untuk maklumat lanjut dan mendapatkan Perlindungan Perjalanan AirAsia oleh Tune Protect, pelanggan boleh melayari airasia.tuneprotect.com.

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI