DIMENSI BERBEZA ‘BIG STAGE 2020’ PADA SKALA NORMA BAHARU


Program realiti ‘Big Stage’ ialah sebuah pertandingan nyanyian yang mempertaruhkan bakat muda generasi ‘Budak Baru Nak Up’ atau lebih dikenali sebagai ‘BBNU’. Kembali dengan pengisian serba mantap, penganjuran ‘Big Stage 2020’ bakal dilaksanakan mengikut SOP dan rutin kelaziman baharu dengan tagline ‘Dominasi BBNU Norma Baharu’.

Musim ketiga bakal menyaksikan persaingan sengit di antara 12 bintang ‘BBNU’ yang terdiri daripada lapan bintang lelaki dan empat bintang wanita di pentas utama selama lapan minggu. 

‘Big Stage 2020’ juga masih mengekalkan format asal penjurian yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu berdasarkan pemarkahan oleh barisan juri profesional dan undian peminat secara online. 

Untuk bahagian pertama, 100% keputusan ditentukan oleh juri yang akan menilai para bintang berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan sewaktu persembahan mingguan. Tiga bintang yang mendapat markah terendah akan melalui proses penjurian untuk bahagian kedua yang ditentukan berdasarkan undian peminat secara online menerusi laman rasmi di www.gempak.com/bigstage serta menerusi aplikasi SYOK. Bintang yang mendapat undian terendah akan disingkirkan.

Penerbitan ‘Big Stage 2020’ turut disokong oleh Adabi dengan kerjasama Kinohimitsu selaku Penaja Bersama. Portal Gempak dan aplikasi SYOK turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA pula hadir sebagai Rakan Radio Rasmi.


Tiga tokoh seni tanah air iaitu Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah dan Ajai bakal mengambil alih kerusi  ‘Juri Tetap’ yang pernah diduduki oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Cakra Khan dan Judika pada musim sebelum ini.

Ini merupakan perlantikan kali pertama buat Dayang Nurfaizah dan Ajai. Manakala Faizal Tahir pula kembali menerima mandat sebagai juri tetap ‘Big Stage 2020’ setelah setahun berehat daripada tugas penjurian musim lalu.

Sementara itu, seorang juri jemputan profesional juga turut diundang khas pada setiap minggu untuk menyertai juri tetap bagi mengadili persembahan para bintang.

Buat julung kali, khidmat empat ‘Presiden Netizen’ bakal dibawa masuk secara bergilir-gilir untuk turut mengadili persembahan para bintang bersama-sama barisan juri profesional pada setiap minggu. Kehadiran mereka di pentas ‘Big Stage 2020’ adalah untuk menjurikan pertandingan dengan kupasan perspektif yang mewakili suara ramai.

Tiga selebriti berpengaruh yang cukup aktif di media sosial iaitu Neelofa, Caprice dan Michael Ang dilantik sebagai ‘Presiden Netizen’ untuk musim ini.

Bagi merancakkan lagi penganjuran musim terbaharu, produksi ‘Big Stage 2020’ juga bakal menyerahkan kuasa perlantikan kepada para peminat untuk memilih sendiri seorang lagi calon ‘Presiden Netizen’ sebagai kelainan musim ketiga.

Para peminat boleh mencalonkan selebriti kesayangan mereka sebagai ‘Presiden Netizen’ menerusi hantaran entri di laman media sosial menggunakan hashtag #PNBigStage2020 mulai 4 hingga 22 Ogos 2020. Nama-nama selebriti yang dicadangkan akan dinilai oleh pihak produksi berdasarkan kriteria yang ditetapkan sebagai ‘Presiden Netizen’ untuk mengisi kekosongan slot keempat untuk musim ini.

Selain itu, khidmat Syafizawati Sharif atau lebih dikenali sebagai Cikgu Syafi masih dikekalkan sebagai ‘Guru Vokal’ bagi memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada para bintang. Manakala Hanafi Rosdi pula dilantik sebagai ‘Koreografer’ untuk membantu persembahan mingguan para bintang di pentas ‘Big Stage 2020’.

‘Big Stage 2020’ juga masih menerima sentuhan barisan pemuzik berpengalaman tanah air yang diketuai oleh Sharhan Syazwan atau lebih popular dengan panggilan Cha’an selaku ‘Pengarah Muzik’ untuk mengiringi persembahan secara ‘live’.

Berdasarkan maklum balas positif yang diterima, ‘Big Stage 2020’ turut mengekalkan selebriti popular Alif Satar dan Sherry Al Hadad yang akan mengendalikan pentas utama selaku ‘Hos’ untuk musim ini.

Sementara itu, alumni ‘Big Stage’ iaitu Sissy Imann (2018) dan Neeta (2019) dibawa masuk memeriahkan musim terbaharu sebagai ‘Hos’ untuk program kapsul ‘Studio Big Stage’.

Manakala personaliti ERA; Radin Amir dan hos program Gempak TV; Isha Norsham pula digandingkan sebagai ‘Hos’ program ‘Big Stage Live Plus’ yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Juara ‘Big Stage 2020’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM15 ribu, RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.


Rangkaian program ‘Big Stage 2020’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan aktiviti perkembangan para bintang ketika membuat persiapan dan latihan menjelang konsert mingguan dapat ditonton melalui liputan kapsul harian ‘Studio Big Stage’ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 10 Ogos 2020. Kompilasi liputan tersebut juga boleh ditonton menerusi ‘Kompilasi Studio Big Stage’ pada setiap hari Sabtu, jam 10.00 malam bermula 15 Ogos 2020.

Manakala konsert mingguan ‘Big Stage 2020’ pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 8 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 16 Ogos 2020.

Istimewa untuk pelanggan NJOI, konsert minggu pertama ‘Big Stage 2020’ juga bakal disiarkan secara serentak di saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105).

Untuk pengisian di platform digital pula, program ‘Big Stage Live Plus’ akan disiarkan secara langsung bermula jam 9.00 malam di laman www.gempak/bigstage ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘Big Stage 2020’ bermula 16 Ogos 2020.

Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM