JUANG CIPTA SEJARAH, TAMPILKAN ENAM PENGARAH DALAM SATU FILEM


Pandemik Covid 19 yang melumpuhkan hampir semua sektor di dunia tidak dapat 'membunuh' satu perkara yang ada dalam diri para pelaku seni tempatan. Biarpun Malaysia ikut terkesan dengan pandemik Corona yang tersebar sejak Disember 2019, para pelaku seni tetap 'hidup' dengan idea sekali gus membawa mereka kepada pembikinan sebuah projek mega yang tak pernah direncana sebelum ini. 

Mempersembahkan buat julung kalinya dalam sejarah penerbitan dunia filem Malaysia, tiga syarikat gergasi Asia Tropical Films (Matt Lai), The Film Engine (Jack Lim) dan Suhan Movies (Datuk Rosyam Nor) bergabung dengan satu misi. 

Di bawah projek tiga rumah produksi ini, mereka merekrut enam pengarah. Mereka bukan calang calang dan telah menabur bakti serta menghasilkan beragam projek filem yang diiktiraf di dalam juga luar negara. Antaranya adalah Aziz M. Osman, Yusry Abdul Halim, Kabir Bhatia, Osman Ali, Matt Lai dan Eirma Fatima. 


‘BerJUANG’ bersama mereka adalah 200 pelaku seni serta 100 barisan pelakon yang siap memberi kejutan betapa karya yang akan dihasilkan pada musim pandemik punya nilai yang tidak mungkin dilupakan. 

Memakai nama kata JUANG yang diambil dari perkataan PERJUANGAN juga bermaksud melawan, projek mega ini kelak akan menampilkan lima kisah berlainan latar namun mengambil semangat dan cerita bagaimana setiap satu daripada rakyat Malaysia terutama perjuangan mereka di barisan hadapan bangkit dan memperjuangkan kehidupan di sebalik musibah yang melanda negara. 

Lebih istimewa, JUANG dengan bangga menampilkan enam pengarah dengan ratusan pelaku seni yang terlibat sebagai tanda solidariti terhadap dunia seni yang juga sempat ikut terkesan dengan pandemik Covid 19. 

"Memutuskan rantaian Covid 19 dalam masa yang pendek adalah kejayaan seluruh Rakyat Malaysia. "Bagaimana ianya terjadi? JUANG bakal memberi jawapan kepada kejayaan ini. Gabungan enam Pengarah Hebat akan memberi gambaran sebenar perJUANGan Barisan Hadapan," kata Datuk Rosyam Nor mengenai projek mega ini. 

Sementara itu Matt Lai mengatakan idea JUANG tercetus ketika semua rakyat Malaysia menghabiskan masa bersama keluarga kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) atau ‘lockdown’. "Namun di saat kita berdiam di rumah, ada barisan pejuang yang mempercaturkan nyawa dan hidup mereka yang tidak didendang dalam memberi khidmat kepada negara. "Kami, rakyat Malaysia cukup terharu dan sangat berterima kasih dengan pengorbanan yang dilakukan para pejuang tidak didendang ini. "Jadi pihak kami mengambil inisiatif untuk mengucapkan rasa terima kasih terhadap komitmen semua pejuang dengan menghasilkan projek julung kali ini yang diberi judul JUANG," kata Matt Lim. 

"Inilah masanya untuk kami semua bergabung dan setiap daripada kami tidak ingin terlepas untuk memberi sumbangan yang bermakna buat tanah air tercinta, Malaysia," tambah Matt Lim lagi. 


Sementara itu Jack Lim mengatakan projek mega ini mahu dilaksanakan juga sebagai sebuah apresiasi kepada semua barisan hadapan yang telah bertungkus lumus melakukan tugas mereka bagi menjaga negara dengan begitu baik sepanjang pandemik yang masih belum surut ini. Biarpun pandemik bukanlah sebuah kejadian yang manis untuk dikenang namun ia ingin menonjolkan sisi positif dan melihat sebuah kehidupan yang lebih baik di masa hadapan. 

"Mereka berhak mendapat penghormatan dan pengiktirafan dari seluruh rakyat Malaysia dan mendokumentasikan semua momen ini dalam sebuah filem adalah sebuah kebanggaan buat kami," kata Jack Lim. 

Jack juga mengatakan hal yang penting untuk industri hiburan juga adalah agar semua pihak kembali bergerak dan setiap sudut dapat memberikan sumbangan dalam sektor ini. 

Di bawah arahan enam pengarah hebat ini, ada tiga pelakon yang akan memainkan peranan utama. Mereka adalah Zizan Razak yang membawa karakter sebagai Hafiz, Jack Lim memegang peranan Lee dan Zul Ariffin menghidupkan watak Johan di dalam JUANG. Bagaimana kelak JUANG akan dipersembahkan? Jangan terlepas menyaksikannya di pawagam pada Mac 2021. 

Dapatkan info terkini JUANG di semua laman media sosial, Instagram, Twitter dan FB: @JUANGthemovie JUANG, sebuah filem untuk semua rakyat Malaysia!

Comments

Popular posts from this blog

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

ASTRO ORIGINALS PERSEMBAHKAN ‘FRAMED’ GANDINGAN MEERQEEN DAN MIMI LANA BERMULA 3 MEI DI ASTRO PREMIER