MONOLOQUE, KIMAL MARGASATWA & NJWA “SELAMATKAN LEGASI”


“Kita bersatu semarakkanlah legasi ini, kita teguh berdiri sama tinggi” – inilah antara suntingan daripada lirik lagu Selamatkan Legasi yang merupakan seolah-olah suatu ‘seruan’ kepada rakyat Malaysia khas sempena ulang tahun tahun kemerdekaan tanah air yang ke-63 tahun ini. 

‘Projek Gamelan’ yang sedekad lamanya merupakan hasil acuan daripada ilham, eksperimentasi dan air tangan monoloQue sendiri kini telah pun jejak ke garisan penamat dengan kelahiran semula Selamatkan Legasi. Mungkin ada yang belum berpengetahuan, Chinta yang digandingkan bersama NJWA diperkenalkan kepada dunia dengan tumpuan kepada seni dan ‘roh’ gamelan pada tahun 2018 dan pada tahun 2019 pula, monoloQue seterusnya menampilkan Aizat Amdan dalam Urusan Seri Paduka Baginda (Versi Agong) dengan membawa inti pati penyampaian yang sama. Pada tahun ini, Selamatkan Legasi mengambil tempat apabila dihidupkan kembali dengan penampilan Kimal Margasatwa dan NJWA.

Selamatkan Legasi bukanlah suatu lagu yang asing kepada monoloQue pada hakikatnya. Sebenarnya, lagu ini telah pun dikaryakan sejak tahun 2012 lagi oleh LoQue tetapi beliau merasakan terdapat sedikit ralat pada ketika itu. LoQue menerangkan, “Lagu Selamatkan Legasi ini sudah ada sejak 2012 tetapi ‘feel’-nya kurang kerana ‘pitch’ lagu ini sangatlah tinggi dan saya tak boleh nak sampai sehinggakan lagu ini terpaksa digugurkan dalam album Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu Di Abad ke-21)”. “Apabila diperam selama 8 tahun, kami kemudiannya bedah siasat dan merombak semula sehinggakan kami merasa amanat untuk membawa lagu ini adalah ditakdirkan bersama-sama dengan Kimal Margasatwa dan NJWA. Anggaplah ada “unfinished business”, suatu projek terbengkalai dan sekarang merupakan masa yang paling tepat untuk menzahirkannya.” tambah LoQue. 

Barisan monoloQue pada tahun 2012 (monoloQue 2.0) diterajui oleh LoQue, Loko, Dax, Ijoo “Gagak Hitam” dan Apex dan apabila Loko mengimbas kembali sejarah Selamatkan Legasi, beliau berkongsi “Lagu ini memang dah simpan lama, masuk dalam peti sejuk dan sekarang kita nak mencairkan untuk memanaskan industri”. Menurut Apex pula, “Selamatkan Legasi memang dah lama ada, sebelum kita mulakan album Inderaloka lagi.” 

Pengalaman manis buat Kimal Margasatwa yang mencoretkan pengalaman sulung beliau merakamkan lagu Selamatkan Legasi di Makmal Kg. Batu. Menurut Kimal, "Selamatkan Legasi adalah lagu yang asalnya tidak dimuatkan dalam album piring hitam vinyl Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu Abad ke-21). Kini diberi nafas baru dan dipersembahkan semula untuk tontonan umum oleh monoloQue diperkasakan dengan kehadiran saya dan NJWA”. “Quite a journey lah lagu ni. Lama nak siap, lama diperap tapi hasilnya pasti mantap!” ulas NJWA yang merupakan pemangkin kepada projek Gamelan. 

Ceritanya lain pula buat NJWA di mana suara emas beliau bukanlah asing lagi kepada monoloQue kerana ini merupakan kesinambungan daripada kolaborasi lagu Chinta dan Togok daripada album berkembar Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu Abad ke-21) yakni sebuah usaha sama ulung bersama Muzium Pahang Di Raja yang mempunyai 19 lagu serta turut menampilkan Aizat Amdan, Tomok Manifesto dan monoloQue sendiri. Mengambil semangat dan tema sentral tersebut, Selamatkan Legasi turut juga menerapkan bunyian alunan-alunan gamelan sebagai pelengkap dan simbolik cap mohor kepada identiti legasi kita. 

Hasil daripada kerjasama jitu bersama Muzium Pahang Di Raja, Selamatkan Legasi adalah antara lainnya merupakan karya bongsu setakat ini bersama lagu-lagu yang lain di dalam album Lagu Perang (Bunyian Gamelan Melayu Abad ke-21), kini bermastautin di Pahang, menyulam azam dalam mengangkat Gamelan Melayu yang berusia lebih 200 tahun ke satu tahap yang lebih tinggi dengan meletakkan Gamelan Melayu sebagai ‘watak hero’ dan ‘motif utama’ di dalam album ini tanpa lelah. 



Selamatkan Legasi bakal mendayu-dayu di ruang media elektronik pada tarikh keramat 31 Ogos 2020 nanti. Sebuah lagu yang diberi peluang kedua serta roh dan nafas yang baru bakal menjelma dan ayuh semua, kita Selamatkan Legasi!

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!