DUA USAHAWAN MALAYSIA UNGGULI ANUGERAH UTAMA ACES EDISI KE-7

 

Anugerah Kelestarian & Kecemerlangan Korporat Asia (ACES) mengumumkan pemenang-pemenang bagi tahun 2020 dalam satu siaran pengstriman secara langsung. Anugerah ini diasaskan oleh Kumpulan MORS bertujuan untuk menyediakan satu platform bagi membantu syarikat, pemimpin korporat dan ahli industri untuk berkongsi kepimpinan dan kecemerlangan kelestarian. 

Dengan penularan wabak COVID-19, kecemerlangan dalam mengekalkan kelangsungan perniagaan atau kelestarian dalam masa yang mencabar ini adalah sesuatu yang harus diberi pengiktirafan. Ketua eksekutif syarikat perlu mengenal pasti cara baru untuk menjalankan perniagaan dengan bertanggung jawab kepada pemegang saham, warga kerja dan juga pelanggan. 

“Pada tahun fiskal ini, fokus kebanyakan syarikat telah bertukar daripada mementingkan keuntungan kepada cara bagaimana untuk bertahan dan meneruskan operasi perniagaan masing-masing. Apa yang kita nampak ialah ketangkasan yang diperlukan dalam kepimpinan korporat kini, dengan kebanyakan ketua eksekutif syarikat melaksanakan strategi pengurusan yang drastik supaya perniagaan mereka boleh dikekalkan,” kata Shanggari B, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MORS, penganjur ACES. 

Shanggari B, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MORS, penganjur ACES. 


Menurutnya lagi, apa yang membezakan tahun 2020 daripada tahun-tahun terdahulu ialah kesukaran akibat penularan pandemik yang dihadapi syarikat, organisasi dan ketua eksekutif yang dicalonkan ACES. 

“Seperti yang dijangkakan, terdapat peningkatan dalam jumlah calon, dan kecekalan mereka diuji oleh keadaan terkini ketika penularan pandemik Covid19,” tambahnya. 

Edisi ke tujuh ACES sepatutnya diadakan di Kuala Lumpur pada tahun ini, setelah Singapura menjadi tuan rumah sejak bermulanya ACES pada 2014, dan selepas itu di Bangkok pada 2019. 

Namun akibat penularan pandemik, majlis penganugerahan pada tahun ini terpaksa ditunda ke tarikh lain. 

“Ini adalah kekecewaan yang besar bagi saya, terutamanya kerana kami mengalu-alukan barisan pemenang yang cemerlang pada malam itu,” kata Shanggari. 

Para pemenang termasuk dua personaliti perniagaan yang tidak asing lagi, yang menggondol dua daripada tiga kategori anugerah terbesar. 

Tan Sri Datuk G. Gnanalingam, Pengerusi Eksekutif Westports Malaysia Sdn. Bhd.


Hartawan industri perkapalan Malaysia Tan Sri Datuk G. Gnanalingam, Pengerusi Eksekutif Westports Malaysia Sdn. Bhd., dianugerahkan Usahawan Tahun 2020, bagi kepimpinan beliau yang berwawasan dalam menguruskan satu-satunya pelabuhan milik persendirian di Malaysia. 

Pemberhentian seketika dalam pertumbuhan syarikat pada tahun-tahun sebelumnya telah memberikan Westports masa yang diperlukan untuk merancang dan melaksanakan fasa penambakan tanah pada kos yang lebih kompetitif untuk perluasan Terminal Kontena gergasinya. 

Ini membuktikan kemampuan ketua eksekutif Malaysia untuk terus bertahan walaupun berdepan dengan pelbagai kesukaran perniagaan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nando's Chickenland Malaysia and Singapura Mac Chung Lynn


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nando's Chickenland Malaysia and Singapura Mac Chung Lynn pula menerima anugerah Usahawan Wanita Tahun 2020 bagi kepimpinan beliau dalam pertumbuhan minda, kemampuan membuat keputusan yang berani serta pemahaman perniagaan yang kukuh. 

Setelah memulakan kerjayanya dalam bidang seni bina, Chung Lynn kembali ke Malaysia dari United Kingdom untuk membantu keuarganya memulakan perniagaan francais Nando’s. 

Selepas dua puluh satu tahun, syarikat terbabit telah berkembang menjadi rangkaian kedai makan yang berjaya di seluruh Malaysia dan Singapura. 

Di bawah hala tuju Chung Lynn, Nando’s Malaysia telah setakat ini berkembang dengan 78 restoran di seluruh Malaysia dan 9 restoran di Singapura. 

ACES 2020 adalah tahun yang luar biasa bagi perniagaan dan syarikat Malaysia, dengan jumlah calon kedua paling ramai selepas Filipina. 

Antara 14 syarikat Malaysia yang berjaya ke pusingan akhir ialah Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd, Etika Holdings Sdn Bhd, Dell Global Business Center Sdn Bhd, D Jungle People Sdn Bhd, Kumpulan RAMSSOL, Berjayapak Sdn Bhd, Suria Capital Holdings Berhad, dan Yayasan Amal Budimas. 

Coway (Malaysia) Sdn Bhd dan Kenanga Investment Bank Berhad adalah dua syarikat Malaysia yang dinamakan Juara Industri Tahun 2020. 

Terdapat 420 calon dan 150 finalis dari Malaysia, Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Taiwan, Laos, Myanmar, Kemboja, Bangladesh, Vietnam, dan Sri Lanka. 

Tahun ini juga menyaksikan calon dari 4 negara baru iaitu Maldives, Arab Saudi, Jerman dan Amerika Syarikat. 

Sementara majlis anugerah tidak dapat diadakan sehingga jumlah jangkitan di seluruh dunia menunjukkan penurunan, majlis kecil-kecilan yang dirancang penganjur dan dihadiri pemenang serta calon anugerah daripada beberapa negara individu (Kuala Lumpur, Manila, dan Bangkok) akan tetap diadakan bagi membolehkan pemenang belajar dan menjalin rangkaian antara satu sama lain.

Senarai penuh para pemenang ACES 2020:


Untuk maklumat lanjut berkenaan ACES, sila layari: https://www.acesawards.com/

Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

MULAKAN PAGI ANDA DENGAN PENUH BERTENAGA: ACARA IKONIK MILO® MALAYSIA BREAKFAST DAY KEMBALI SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-75 MILO® DI MALAYSIA