FILEM AKSI ATHIGAARI TEMUI PENONTON ISTIMEWA DEEPAVALI INI


Baru-baru ini memperlihatkan filem tempatan kembali rancak dan berjaya mencipta fenomena dengan meraih kutipan memberangsangkan meskipun menonton dalam suasana normal baharu. Rentetan kejayaan tersebut membuktikan penonton sentiasa inginkan filem-filem yang segar dan menghiburkan. Bersempena Deepavali yang akan tiba, Astro Shaw membawakan buat pertama kali sebuah filem Tamil, ATHIGAARI terus ke pawagam rumah anda, Astro First.


Bakal menemui penonton mulai 11 November 2020 di saluran 480, menariknya filem suspen thriller ini memaparkan kisah siasatan seorang polis dalam menjejak pembunuh misteri. Sepanjang 2 jam 9 minit, penonton bakal menikmati emosi berbeza menerusi babak aksi, suspen, komedi, romantik dan menyentuh perasaan. Malah melengkapkan lagi jalan cerita, turut diselitkan babak nyanyian dan menari. Setiap susunan filem telah mendapat sentuhan hebat oleh pengarah Kabilan Plondran yang juga merupakan Pengarah Tebaik menerusi filem Jhangri di Anugerah Tamil Kalainyar 2018. Rata-rata peminat juga tdak sabar menantikan kehadiran filem ini, lebih-lebih lagi setelah menonton teaser rasmi yang telah dikongsikan di platform Youtube oleh pihak penerbit.


Sementara itu, mutu lakonan setiap pelakon telah mendapat khidmat tunjuk ajar daripada guru lakonan Fared Ayam atau nama sebenarnya Mohd Fared Jamaluddin. Nama beliau ternyata tidak asing dalam industri seni di mana beliau juga adalah guru lakonan untuk filem Polis Evo 2 dan turut aktif terlibat dengan pengarahan serta lakonan teater.

Setiap watak telah digerakkan dengan baik oleh barisan pelakon berbakat besar dan popular seperti Bala Ganapathi William, Karnan Kanapathy, Nanthini Ganasen, Sasikumar Kandasamy, Sri Kumaran Munusamy, Thilaag Nair, Akshara Nair, Vishalini Siva, Kuben Mahadevan, Pramilla, Saha, Havoc Jega dan Khirthy.


Penerbit Filem Athigaari, Nanthini Ganasen berkata, “Filem ini pada mulanya dirancang untuk tayangan di pawagam pada bulan Mac lalu, namun oleh kerana pandemik Covid-19 ia terpaksa ditunda. Tetapi kini, filem Athigaari akhirnya akan menemui penonton dan lebih istimewa di hari perayaan Deepavali. Filem ini sesuai untuk tontonan semua peringkat usia dan tidak hanya untuk peminat filem Tamil sahaja tetapi buat semua penonton berbilang bangsa. Selain itu, antara kelainan di dalam filem ini adalah, watak utama membawakan karakter yang menggunakan bahasa isyarat tangan sebagai salah satu medium berkomunikasi. Jadi, kami berharap dengan kehadiran filem Athigaari, ia mampu mengisi masa lapang penonton serta menceriakan lagi Deepavali anda dengan berhibur dengan jalan cerita yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar. Bagi kami sokongan penonton terhadap filem sebegini amat penting dalam usaha memastikan filem Tamil terus ‘bernafas.’”


Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Dalam usaha membuka ruang buat penerbit-penerbit filem Malaysia untuk tampilkan filem mereka kepada para penonton dalam gaya normal baharu ini, Astro Shaw tidak hanya tertumpu kepada filem melayu sahaja, malah kami amat terbuka dan memberi sokongan padu kepada semua hasil karya tempatan. Bersempena perayaan Deepavali yang akan tiba pada bulan ini, Astro Shaw terus melangkah ke hadapan dengan buat kali pertamanya membawakan filem Tamil tempatan terus ke pawagam rumah anda, Astro First. Kami percaya filem Tamil mempunyai peminat tersendiri, tetapi jika sesebuah filem itu bagus jadi ia mampu menarik lebih ramai penonton untuk menyaksikannya. Seperti filem Athigaari, ia mempunyai jalan cerita yang menarik dengan gabungan elemen pelbagai dan kami merasakan ia mampu berdiri setanding dengan filem-filem terbaik tempatan yang lain. Kami harap dengan membawakan filem ini ke Astro First, ia mampu menjadi permulaan yang baik dalam memperluaskan lagi filem Tamil kepada peminat filem, sekaligus merancakkan lagi industri perfileman tanah air.”

Athigaari mengisahkan tentang seorang anggota polis yang mengambil alih kes pegawai yang telah mati dibunuh. Dia percaya pembunuh tersebut mempunyai kaitan dengan kes-kes terdahulu. Dengan bantuan anak mangsa, dia menjejak setiap langkah pembunuh itu sehingga membawanya kepada rancangan besar yang bakal dilakukan oleh pembunuh itu.


Jangan lepaskan peluang untuk saksikan filem Athigaari yang akan berada di pawagam rumah anda, Astro First, untuk melanggan sila ke saluran 480. Anda juga boleh strim Athigaari di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.

Comments