IMUNOTERAPI BERI PELUANG BAHARU KEPADA PESAKIT KANSER HATI

 


Imunoterapi merupakan salah satu pilihan rawatan terbaru untuk pesakit kanser yang membolehkan mereka menggunakan sistem imun mereka bagi melawan kanser. Rawatan inovatif terbaru ini telah merevolusikan landskap rawatan kanser, terutamanya rawatan kanser hati. 

Kanser hati dan kesannya terhadap kita 

Kanser hati atau hepatocellular carcinoma (HCC) merupakan antara punca utama kematian di seluruh dunia, dan menyebabkan lebih daripada 700,000 kematian setiap tahun. Ia merupakan kanser ke-6 paling kerap dikesan di Malaysia, dan yang ke-4 paling banyak menyebabkan kematian. 

Kanser hati primer bermula di dalam sel hati6 dan jenis kanser hati primer yang paling kerap adalah HCC. Hampir 90% daripada jumlah kes kanser hati dijumpai di kalangan pesakit yang mengalami sirosis, lazimnya akibat daripada penyakit hati seperti jangkitan virus hepatitis B atau hepatitis C, penyakit hati berlemak bukan alkohol (NAFLD), pengambilan alkohol berlebihan, dll. 

Pesakit yang mengidap kanser hati mungkin tidak mempunyai apa-apa simptom pada peringkat awal. Apabila kanser sudah mencapai tahap lanjut, pesakit mungkin akan mengalami simptom-simptom seperti kehilangan berat badan, sakit di bahagian atas abdomen, kehilangan selera makan, rasa mual dan muntah, kembung perut, dan penyakit kuning di bahagian putih mata dan juga kulit6. Ini menyebabkan kanser hati sukar untuk dikesan dan dirawat pada peringkat awal. Jika dikesan awal, kanser hati mungkin boleh disembuhkan. Malangnya, tidak ramai daripada mereka yang berisiko tinggi menghidapi kanser hati sedar akan perkara ini. 

Bilangan kematian disebabkan kanser hati terus meningkat di seluruh dunia. Sirosis, penyebab utama kanser hati merupakan salah satu daripada 10 punca kematian utama di Malaysia pada tahun 2019. “Masalah ini memerlukan kerjasama dan tindakan segera daripada semua pihak. Pihak kerajaan dan juga sektor kesihatan swasta dan awam memainkan peranan penting untuk memastikan situasi ini tidak menjadi semakin teruk. Mereka yang berada dalam golongan berisiko tinggi perlu menjalankan pemeriksaan atau pemantauan kanser hati bagi mendapatkan pengesanan awal dan rawatan segera. Diagnosis yang lebih awal akan memberikan prognosis yang lebih bagus dan kebolehan rawatan yang lebih tinggi,” kata Profesor Dr Rosmawati, Pakar Perunding Hepatologi di Pusat Perubatan University Malaya di bengkel media “Let's Learn about Liver Cancer” baru-baru ini yang diadakan bagi meningkatkan tahap kesedaran tentang kanser hati di Malaysia. 

Imunoterapi memberikan peluang baru kepada pesakit kanser hati 

Terdapat pelbagai pilihan rawatan yang telah dibuktikan dapat meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit kanser hati seperti pembedahan, terapi ablasi setempat, dan terapi sistemik dalam bentuk terapi tersasar dan imunoterapi. 

Imunoterapi merupakan antara pilihan rawatan kanser terbaru yang membantu pesakit kanser menggunakan sistem imun mereka untuk melawan dan menghapuskan sel-sel kanser1. Bagi pesakit kanser, sistem imun badan yang melawan jangkitan penyakit mungkin tidak akan menyerang kanser berkenaan kerana sel kanser menghasilkan protein yang menyembunyikannya daripada sel sistem imun. Imunoterapi berfungsi dengan menganggu proses ini. 

Imunoterapi mungkin lebih berkesan untuk merawat sesetengah jenis kanser, terutamanya kanser yang telah menjadi kebal terhadap kemoterapi dan radioterapi. Ia juga membolehkan meredakan kanser dalam jangka masa panjang. Ini disebabkan cara rawatan ini melatih sistem imun untuk mengenal pasti sel kanser. Imunoterapi mungkin tidak akan memberikan kesan sampingan sama seperti rawatan konvensional (kemoterapi dan radioterapi) kerana fokusnya adalah terhadap menguatkan sistem imun badan. 

Rawatan imunoterapi boleh dijalankan secara sendiri atau bersama dengan rawatan lain seperti anti-VEGF untuk meningkatkan keberkesanannya. Kombinasi regimen imunoterapi ini meningkatkan kadar kelangsungan hidup tanpa penularan apabila dibandingkan dengan rawatan standard. Ia juga boleh meningkatkan keupayaan sistem imun untuk menangani pelbagai jenis kanser. 

“Kombinasi imunoterapi dengan rawatan lain memberikan pesakit kanser hati peluang baru. Keberkesanannya boleh dilihat dari beberapa kajian global. Saya amat teruja untuk melihat bagaimana imunoterapi dapat membantu pesakit kanser pada masa hadapan,” rumus Profesor Dr. Rosmawati. 

“Di Roche, kami memberi komitmen untuk menangani penyakit hati pada semua peringkat, biarpun di peringkat awal mahupun peringkat akhir, dengan tujuan utama menangani dan menghentikan penyakit hati kronik. Kami bukan saja tekad untuk mengubah kehidupan pesakit dengan menghasilkan inovasi untuk masa depan, kami juga mementingkan pesakit dalam segala aspek. Mereka merupakan teras dalam segala usaha kami. Kami yakin dengan sumbangan kami terhadap sains dan melakukan apa yang diperlukan oleh para pesakit,” kata Lance Duan, Pengurus Besar, Roche Malaysia. 

Kemajuan terkini dalam industri penjagaan kesihatan telah mengubah landskap rawatan kanser dan meningkatkan keberkesanan rawatan, kualiti kehidupan, dan memanjangkan kadar kelangsungan hidup. Pesakit kanser perlu berbincang dengan doktor untuk memilih rawatan yang paling sesuai untuk mereka.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

KECUT PERUT, PECAH PERUT DENGAN ‘DON DUKUN’: ZUL ARIFFIN TIDAK PERNAH MENGHAMPAKAN

TOURISM SELANGOR MENGADAKAN SELANGOR TRAVEL FAIR SEMPENA TAHUN MELAWAT SELANGOR 2025