MERDEKA 118 MENERIMA ANUGERAH BEST TALL BUILDING (KATEGORI 300-M DAN KE ATAS)
Menara Merdeka 118 telah diiktiraf secara rasmi sebagai Best Tall Building bagi kategori 300 Meter dan Ke Atas oleh Council on Vertical Urbanism (CVU). Dahulunya dikenali sebagai Council on Tall Buildings and Urban Habitat (CTBUH), CVU merupakan salah satu badan terkemuka dunia dalam bidang pencakar langit dan pembangunan bandar.
Pengiktirafan ini meraikan keunggulan seni bina, inovasi kejuruteraan serta komitmen Merdeka 118 terhadap kelestarian, sekali gus menandakan detik membanggakan buat Malaysia di pentas global. Tersergam megah setinggi 678.9 meter di tengah bandaraya Kuala Lumpur, Merdeka 118 berdiri sebagai bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan menara kedua tertinggi di dunia, melambangkan kemajuan serta aspirasi negara.
“Pengiktirafan ini merupakan satu penghormatan besar buat Malaysia dan semua yang terlibat dalam merealisasikan Merdeka 118. Sejak awal lagi, visi kami bukan sekadar membina sebuah menara ikonik, tetapi membentuk sebuah presint yang menghubungkan komuniti, meraikan warisan, serta menyumbang kepada bandar yang lebih mampan dan inklusif. Menara Merdeka 118 mencerminkan semangat kemerdekaan, ketahanan Malaysia, dan keyakinan terhadap masa depan. Kami amat berbangga apabila visi ini diiktiraf di peringkat antarabangsa,” kata Dato’ Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV).
Karl Fender, Arkitek Utama di Fender Katsalidis berkata, “Reka bentuk Merdeka 118 bukan sekadar mengenai ketinggian luar biasa, tetapi tentang mencipta sebuah simbol yang menghormati warisan Malaysia sambil meraikan kemajuan masa hadapan. Anugerah ini mengukuhkan lagi keyakinan kami bahawa seni bina yang unggul dibina dengan tujuan yang jelas, bagi dinikmati oleh generasi mendatang.”
Shonn Mills, Pengerusi Council on Vertical Urbanism, berkata, “Merdeka 118 mewakili kemuncak reka bentuk bersepadu, iaitu sebuah projek yang menggabungkan ketelitian teknikal, penceritaan budaya dan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Ia menjadi contoh bagaimana bangunan tinggi mampu menjadi pemangkin kepada pembaharuan bandar sambil mencerminkan identiti serta aspirasi sesebuah negara.”
Anugerah ini telah disampaikan semasa Majlis Anugerah CVU 2025 yang berlangsung di Toronto, Kanada, bagi meraikan kecemerlangan seni bina bangunan tinggi dan reka bentuk bandar di seluruh dunia. Merdeka 118 turut diiktiraf bersama pembangunan global lain atas kepimpinannya dalam reka bentuk, inovasi, dan sumbangan terhadap pembangunan bandar yang mampan.
Dibangunkan oleh PNB Merdeka Ventures, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Menara Merdeka 118 merupakan komponen utama kepada presint Merdeka 118, pembangunan pelbagai guna yang berteraskan dua stadium bersejarah, ruang komuniti, serta reka bentuk yang menekankan kelestarian. Komponen utama seperti Stadium Merdeka dan 118 Mall yang bakal dilancarkan kelak diilhamkan sebagai destinasi inklusif untuk orang awam. Usaha ini turut disokong oleh inisiatif berasaskan komuniti seperti Program Penambahbaikan Ruang Awam Merdeka 118 dan Program Geran Komuniti Merdeka 118, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Warisan KL bagi memperbaharui kawasan sekitar serta mengukuhkan hubungan komuniti di bandar.
Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pembangunan yang mampan dan inklusif.
.jpg)
.jpeg)
.jpg)
Comments
Post a Comment