HOTEL INDIGO BAKAL MEMBUKA PINTUNYA DI KUALA LUMPUR


IHG® (InterContinental Hotels Group), salah sebuah syarikat perhotelan yang terkemuka di dunia telah menandatangani perjanjian untuk membawakan Hotel Indigo®, sebuah jenama hotel butik mewah, ke Kuala Lumpur menerusi kerjasama dengan Techvance Properties Management Sdn. Bhd. 

Hotel Indigo Kuala Lumpur on the Park yang mempunyai 180 buah bilik dan dijadualkan dibuka pada tahun 2023 ini terletak di pinggir Bukit Nanas, berhampiran dengan Menara KL dan Taman Eko Rimba KL di tengah-tengah ibu kota Malaysia. 

Tiada dua Hotel Indigo® yang sama dan hotel terbaharu dalam portfolio jenama ini akan memiliki ciri berbilang budaya seperti Kuala Lumpur dalam DNA hotel. Ini dibawakan menerusi reka bentuk yang menyerlahkan ciri bangunan warisan tempatan yang digabungkan dengan seni bina moden bandar raya. Kelestarian menjadi keutamaan dalam membina Hotel Indigo Kuala Lumpur on the Park. 


Pelbagai kaedah pembinaan yang mesra alam telah disertakan antara termasuklah penggunaan bahan yang dikitar semula dari tapaktapak yang berdekatan, panel tenaga solar di bahagian bumbung dan sistem pengumpulan air hujan. Selaras dengan usaha kelestarian IHG yang lebih menyeluruh, hotel ini juga bebas daripada penggunaan penyedut minuman plastik dan akan menggunakan bahan-bahan secara pukal di semua bilik tetamu hotel. 

Memandangkan kedudukan hotel bersebelahan dengan hutan simpan yang tertua di negara ini, ciri-ciri istimewa seperti Tembok Hijau interaktif di lobi hotel dan Taman Rahsia yang tenang dan senyap di tengah-tengah kesibukan bandar raya disediakan bagi menyerlahkan keistimewaan hutan hujan tropika. Para tetamu berpeluang menikmati pengalaman yang mengagumkan di seluruh hotel (dan berkongsinya menerusi media sosial). 


Serena Lim, Naib Presiden, Pembangunan untuk Asia Tenggara dan Korea, IHG, berkata: “Kami sangat teruja membawa jenama Hotel Indigo® ke ibu kota Malaysia. Hotel ini memberikan kami peluang yang sempurna untuk membuka sebuah hotel butik yang benar-benar eksklusif untuk para pengunjung yang mahukan inspirasi daripada tempat, orang dan idea yang baharu. “Semua tetamu kami, tidak kira yang menginap untuk berlibur atau berurusan, akan ditawarkan dengan gabungan unik untuk bersantai di kawasan hutan hujan dan juga menikmati kemeriahan kota raya secara serentak. Kami bukan sahaja menawarkan percutian yang menjadi kenangan setiap pengunjung, malah pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh mereka. Kami merasa bertuah dapat bekerjasama dengan Techvance Properties Management Sdn. Bhd. dan mengembangkan portfolio jenama kami di Kuala Lumpur dengan cara yang hebat ini.” 

Dato' Edward Lau, Pengarah Urusan, Techvance Properties Management Sdn Bhd, berkata: “Kami telah mengkaji beberapa pilihan untuk projek hotel ini tetapi akhirnya memilih untuk bekerjasama dengan IHG selepas kami diperkenalkan dengan Hotel Indigo®. Jenama ini memiliki falsafah dan nilai yang selari dengan visi kami untuk hartanah butik ini iaitu membina sesuatu yang unik dan tidak lapuk ditelan zaman. Kami yakin perkongsian ini bukan sahaja dapat memenuhi malah menjangkau jangkaan pelanggan kami.” 

Bermula dengan penggunaan ramuan tempatan yang unik untuk pilihan hidangan hinggalah dinding grafiti yang disediakan dengan kerjasama para pelajar tempatan, Hotel Indigo Kuala Lumpur on the Park menjanjikan tetamu dengan pengalaman budaya yang sangat menarik. 

Pilihan dua buah restoran dan bar di hotel ini dipengaruhi oleh kedudukannya di negara yang berbilang kaum. Neighbourhood Café dengan penampilan klasik dan ringkas menawarkan pilihan makanan tempatan Malaysia dengan gubahan moden, manakala Char Bistro and Bar pula membawakan penampilan yang lebih kasual untuk pengunjung menikmati koktel sambil menyaksikan pemandangan matahari jatuh berlatarbelakangkan Menara KL, Menara Berkembar Petronas dan landskap bandar raya KL. 


Bilik majlis, ruang yang fleksibel untuk acara, kolam renang atas bumbung, gimnasium dan kawasan untuk bekerja juga disediakan untuk pengunjung yang bercuti dan yang mempunyai urusan. Hotel Indigo Kuala Lumpur on the Park berada dalam jarak berjalan kaki dari daerah kewangan utama, kawasan membeli-belah KLCC dan Pavilion Mall serta pelbagai pilihan makanan termasuk Jalan Alor dan Petaling Street yang menawarkan pelbagai pilihan gerai makanan yang enak. Kawasan persekitaran juga memiliki daya tarikan bersejarah dengan bangunan dan ikon warisan dikelilingi dengan restoran dan bar yang bergaya di sepanjang kawasan Changkat dan Chinatown. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berada hanya 45km dari hotel. 

Sejak dulu lagi, IHG mempunyai komitmen terhadap prosedur pembersihan yang ketat di semua hotel di seluruh dunia dan menyedari bahawa kebersihan, kesihatan dan keselamatan merupakan keutamaan bagi para pelanggan khususnya dalam tempoh yang mencabar ini. Amalan ini diperluaskan lagi dengan protokol dan amalan terbaik tambahan untuk COVID-19, serta kerjasama dengan pakar terkemuka industri Cleveland Clinic, Ecolab, dan Diversey, serta pelancaran IHG Clean Promise. Apabila dibuka dan menjadi sebahagian daripada keluarga IHG, Hotel Indigo Kuala Lumpur on the Park akan mengamalkan Way of Clean IHG dan menawarkan Clean Promise IHG kepada semua tetamu. Kini terdapat empat buah Hotel Indigo di Asia Tenggara dan Korea. Ini termasuklah di Bangkok, Bali, Phuket dan Singapura. Hotel Indigo Kuala Lumpur on the Park akan menyertai kumpulan jenama yang semakin berkembang termasuk hartanah di Indonesia, Thailand dan Vietnam. Terdapat 126 buah Hotel Indigo di seluruh dunia dan hampir 100 buah lagi bakal dibina dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang. 

*Angka pada 30 September 2020

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?

NESTLÉ MALAYSIA DAN BSMM BERGANDING BAHU MEMBANTU PENDUDUK TERJEJAS BANJIR : 5,000 KOTAK BARANGAN MAKANAN ASAS DISEDIAKAN BARISAN SUKARELAWAN