THE STARHILL PERKENAL ESLITE SPECTRUM SEBAGAI PENYEWA UTAMA

 

The Starhill mengalu-alukan kemasukan eslite spectrum (誠品生活), sebahagian daripada eslite Group, syarikat yang telah melancarkan kedai buku 24 jam pertama di dunia, dari Taiwan ke Kuala Lumpur pada tahun 2022. Ia bakal menjadi cawangan eslite yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, susulan penyempurnaan majlis menandatangani perjanjian penyewaan di antara Naib Presiden YTL Land & Development Bhd, Encik Joseph Yeoh dengan Pengerusi eslite Group, Cik Mercy Wu hari ini. 

Bukan hanya sekadar sebuah kedai buku, eslite spectrum bakal menjadi lokasi kebudayaan kreatif yang kaya dengan pilihan buku-buku berbahasa Cina, Inggeris dan Melayu, serta muzik, barangan reka bentuk dan kraftangan, persembahan kesenian, restoran tema dan kedai kopi, jenama gaya hidup serta pelbagai jenama kebudayaan dan kreatif terkini. Tumpuan akan diberikan terhadap usaha memaparkan kedinamikan dan semangat bertenaga pertukaran budaya dan kreativiti di antara Malaysia dan Taiwan. 


Terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, gedung seluas 70,191 kaki persegi ini akan menjadi penyewa utama The Starhill, memenuhi sepenuhnya ruangan di aras Level 1 serta menampilkan kedai makanan dan minuman yang menghadap jalan di aras Ground Level bersebelahan dengan The Starhill Piazza, tempat di mana pelbagai acara dan program kreatif akan diadakan pada sepanjang tahun. Gedung utama ini juga akan menampilkan ruangan laman kafe pada aras Level 1 berdepan dengan The Starhill Piazza yang berdekatan dengan Jalan Bukit Bintang, menjadikannya tempat yang paling sesuai untuk berkumpul, bersantai dan melihat orang ramai. Sebuah eskalator eksklusif turut ditempatkan secara strategik bagi membawa para pengunjung dari pintu masuk atrium The Starhill yang baru, terus ke eslite spectrum di tingkat atas. 

Sebagai ikon kebudayaan terkemuka Taiwan, eslite spectrum pernah dipilih oleh Time Magazine dan CNN sebagai "Kedai Buku Terbaik di Asia" dan “Kedai Buku Paling Cool di Dunia”. Gedung eslite spectrum cawangan Songyan di Taipei juga telah dinamakan sebagai salah satu daripada “14 kedai serbaneka paling menarik di dunia” oleh CNN. eslite spectrum dianggap sebagai gedung yang paling menjiwai kebudayaan Taiwan oleh rakyat di negara itu serta para pelancong, menjadikannya sebagai salah sebuah destinasi membeli-belah dan menjamu selera yang wajib dikunjungi di Taiwan. eslite spectrum bakal mengubah landskap sektor peruncitan di Kuala Lumpur, memberikan idea dan mencipta pengalaman peruncitan baru bersama-sama dengan rakyat Malaysia dengan menawarkan pelbagai penawaran terbaik serta layanan mesra Taiwan kepada Malaysia, semuanya hanya di The Starhill. 


“Kami dengan berbesar hatinya mengalu-alukan penyertaan eslite sebagai rakan niaga jangka panjang bagi The Starhill. Kehadiran eslite spectrum sebagai penyewa utama merealisasikan cita-cita kami untuk mewujudkan sebuah perpustakaan gaya hidup sebagai elemen penting di ‘Home of the Tastemakers’ atau lokasi tumpuan para pencetus trend di mana pelanggan boleh berjumpa, berkumpul dan berbincang mengenai minat mereka di dalam ruangan kehidupan bersama yang serba baru ini. eslite spectrum melambangkan kearifan cita rasa pencetus trend sejati, sebagai penggiat yang berpengalaman dalam sektor peruncitan yang sentiasa mencipta penanda aras baru dan menawarkan pelbagai konsep serta pengalaman peruncitan kreatif yang tiada tolok bandingannya, selain menyediakan sebuah platform aktif untuk pencipta kandungan kebudayaan. Aspirasi mereka menepati cita-cita The Starhill dalam mewujudkan destinasi sosial premium terulung di Kuala Lumpur untuk semua meraikan acara kesusasteraan, kesenian, fesyen, reka cipta, muzik, makanan dan kreatif. Kami amat teruja dan tidak sabar menantikan pembukaannya yang akan benar-benar melengkapi keunikan pengalaman The Starhill yang berusaha mewujudkan pengalaman membeli-belah yang berbeza, dengan menerapkan konsep jenama eksklusif yang tiada tandingannya di Kuala Lumpur,” kata Naib Presiden YTL Land & Development Bhd, Encik Joseph Yeoh. 

Tambah beliau, eslite Group dan YTL Group berkongsi komitmen yang sama iaitu untuk memperkasakan pendidikan serta nilai buku sebagai alat untuk menggalakkan pertukaran budaya dan kreativiti. “Ini adalah satu kerjasama yang amat bermakna di antara dua perniagaan keluarga yang kaya dengan warisan serta semangat terhadap pendidikan dan ilmu pengetahuan sebagai peneraju perubahan. Saya percaya kerjasama ini berpotensi untuk menjadi pemangkin kepada pertukaran budaya yang lebih erat di antara Malaysia dan Taiwan menerusi pengalaman peruncitan dan gedung yang berorientasikan komuniti yang mendapat tempat di kalangan masyarakat tanpa mengira demografi dan usia,” ujar Joseph. 

“eslite ditubuhkan pada tahun 1989. Nilai teras kami berpaksikan kepada keinginan untuk ‘menyepadukan kemanusiaan, kesenian dan kreativiti ke dalam kehidupan,’ dan kepentingan menyediakan lokasi yang ‘menjiwai tempat berkenaan’. Yakni, menerusi interaksi di antara ruang, aktiviti dan orang ramai, eslite berharap untuk ‘membolehkan orang ramai menemui semangat di dalam diri mereka di ruangan yang disediakan’. Bermula daripada komuniti Taiwan hinggalah kepada komuniti China dan kini Asia, kami gembira kerana dapat mewujudkan cawangan utama kami yang terbaru serta gedung pertama kami di Asia Tenggara, di tengah-tengah ibu kota Malaysia. eslite komited untuk menjadi jenama pelancongan kebudayaan yang paling berpengaruh, unik, merangkumi semua saluran serta menjadi sebuah platform untuk industri kebudayaan dan kreatif dalam kalangan komuniti China dan Asia,” kata Pengerusi eslite Group, Cik Mercy Wu. 



Jelas beliau, “Menerusi gedung di Kuala Lumpur ini, kami berharap untuk menggalakkan pertukaran dan interaksi yang melibatkan penerbitan Asia serta kandungan kebudayaan dan kreatif di rantau ini. Kami juga ingin mencipta lebih banyak peluang untuk dialog rentas sempadan di antara penulis Taiwan dan Malaysia serta karya mereka, dan memberikan para pembaca satu perspektif pembacaan yang baru. Malaysia adalah sebuah negara yang amat menarik, yang mempunyai ciri-ciri estetika reka bentuk dan kreativiti kebudayaannya yang tersendiri, dan kami tidak sabar untuk menyepadukan ciri-ciri kepelbagaian etnik dan rentas budaya Asia Tenggara dan mencetuskan kepelbagaian kreativiti menarik di dalam gedung kami.” 

“Kami tidak sabar dan berasa teruja untuk memulakan perjalanan ini di Kuala Lumpur memandangkan rakyat Malaysia adalah segmen pelancong dari Asia Tenggara yang terbesar di Taiwan selama 10 tahun berturut-turut dan menjadi penyokong kuat gedung kami di Taiwan. Selain daripada itu, YTL mempunyai pengalaman pembangunan dan pengurusan yang luas di peringkat tempatan dan antarabangsa, dan kami juga merasai pertalian yang istimewa dengan mereka kerana nenek moyang keluarga YTL berasal dari Kinmen, Taiwan. Kami amat berbesar hati kerana mempunyai YTL sebagai rakan niaga dalam usaha merealisasikan konsep serta wawasan pembangunan kami di Malaysia. Pengasas eslite, Encik Robert C. Y. Wu pernah berkata, ‘keutamaan eslite ialah masyarakat; aset paling penting sesebuah bandar adalah masyarakatnya; dan pemandangan paling indah dalam sesebuah bandar adalah masyarakatnya’. eslite, bersama-sama dengan masyarakat tempatan Malaysia, akan mencipta suatu kemungkinan yang baru. Kami berharap semoga dengan perancangan dan pembangunan jangka panjang yang baik, ia akan menjadi tempat tumpuan pertukaran budaya di Asia Tenggara!” 

eslite spectrum dijangka akan dibuka di The Starhill menjelang 2022. 

Maklumat lanjut mengenai pembukaan gedung terbaru ini akan diumumkan apabila tiba masanya. 

 

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

SLOT AKASIA TV3 TAMPILKAN DRAMA 'PINJAMAN SYURGA' LAKONAN JANNA NICK & KEITH FOO