KISAH HIDUP DATO' SRI SITI NURHALIZA DALAM ‘KUASA CINTAMU’


Siapa boleh menafikan aura figura muzik tersohor tanahair Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Video muzik rasmi ‘Siapa Tak Mahu’ yang baharu sahaja dimuatnaik pada 16 Oktober lalu, menjadikan peminat seni tanahair teruja sehinggakan video muzik tersebut berjaya mencapai 1 juta tontonan dalam tempoh 72 jam. Malah video tersebut turut tersenarai dikedudukan #1 Video Muzik Paling Trending di YouTube Malaysia.

Jika peminat teruja dengan keindahan visual video muzik ‘Siapa Tak Mahu’, pastinya mereka akan lebih tertarik dengan penceritaan video muzik rasmi KUASA CINTAMU. Lagu ciptaan Melly Goeslow dan lirik tulisan bersama Dato’ Sri Siti ini menjadi video muzik ke-7 dari album ‘ManifestaSITI2020’.

Bagi menterjemah secara visual maksud di sebalik lirik lagu ini, pengarahnya, Adriana Tunku, memfokuskan cerita perjalanan hidup Dato’ Sri Siti dari zaman kelahiran beliau sehingga dikurniakan cahayamata sendiri, Siti Aafiyah.

Menjelaskan idea disebalik konsep video muzik ini, Adriana Tunku berkata, “Bila diteliti, lagu KUASA CINTAMU ini sebenarnya sarat dengan emosi yang bercerita tentang cinta yang bersifat universal. Ia boleh merujuk kepada beberapa bentuk cinta yang ada dalam kehidupan kita – cinta kepada Tuhan, cinta kepada pasangan, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada keluarga dan cinta kepada anak. Menerusi video muzik ini, kami mengambil tema yang lebih luas dalam menggambarkan kuasa cinta dalam kehidupan seseorang itu. Menampilkan kisah hidup Dato’ Siti sendiri sebagai tema utama dalam video muzik ini, kami cuba menyorot kembali perjalanan hidup Dato’ Siti dari kecil hingga dewasa dan setiap bentuk cinta yang pernah dirasainya dari dahulu hingga kini.”


“Bagi menggambarkan perjalanan berterusan dalam kehidupan Dato’ Siti, kami merakam keseluruhan video muzik ini dalam satu urutan tanpa sebarang gangguan. Teknik penggambaran sekali rakam ini, memerlukan perancangan yang rapi kerana ia dirakam dari perspektif satu kamera dalam satu masa dan ruang yang sama. Setiap butiran kecil melibatkan apa-apa perubahan di hadapan lensa kamera perlu dirancang rapi agar penonton tidak menyedari apa yang berlaku di belakang lensa kamera. Untuk mendapatkan ‘shot’ yang sempurna, kami terpaksa melakukannya berulang kali,” jelas Adriana lagi tentang pendekatan kreatif yang diambil dalam merealisasikan idea asal video muzik ini dari papan cerita ke skrin.

Menyifatkan Dato’ Siti adalah penyanyi yang paling profesional yang pernah beliau bekerjasama, penerbit Razlan Shah berkata, “Bekerjasama dengan Dato’ Siti adalah suatu pengalaman yang sangat berharga buat pasukan kami. Dato’ Siti cukup komited ketika pembikinan video muzik ini dan sentiasa memberikan yang terbaik ketika beraksi di hadapan lensa kamera. Sikap rendah diri dan profesionalisme beliau sememangnya melayakkan Dato’ Siti bergelar #1 di Malaysia. Saya berterima kasih kepada Dato’ Siti kerana memberi peluang kepada pasukan kami untuk memaparkan kisah peribadi hidupnya dalam video muzik sekali rakam ini. Saya juga berterima kasih kepada pasukan produksi Denhouse, Studio Selepas Ribut serta penata gaya Kel Wen dan Abu Shaef Hamza yang banyak membantu dalam merealisasikan visi artistik video muzik ini.”

Video muzik rasmi KUASA CINTAMU bukan sahaja membawakan kelainan dari segi teknik penggambaran, lebih istimewa apabila Siti Aafiyah turut terlibat menjayakannya. Bertepatan dengan lirik yang dihasilkan, Dato’ Sri Siti meluahkan penantiannya untuk memiliki Siti Aafiyah adalah satu anugerah daripada Yang Maha Berkuasa.

Mengulas tentang video muzik terbaharunya ini, Dato’ Siti ini berkata, “Ini merupakan satu pengalaman baru buat saya kerana menjayakan penggambaran dalam satu urutan tanpa henti serta dalam masa yang sama saya harus menukar persalinan dalam masa beberapa saat sahaja. Kami mencuba beberapa kali dan akhirnya pihak pengarah mengambil hasil yang terbaik daripada penggambaran tersebut. Siti Aafiyah juga turut menyerikan video ini dan saya mendedikasikan video ini buat anakanda saya,’’.

Video muzik rasmi KUASA CINTAMU boleh dilayari di saluran YouTube Siti Nurhaliza bermula 1 DISEMBER 2020. Album ‘ManifestaSITI2020’ boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer sejak 3 JULAI 2020.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING